Ketika ini, jutaan peminat pelakon legenda, Rajinikanth sedang teruja menanti tayangan filem terbaru beliau, Coolie.
Filem berkenaan dijadualkan mula ditayang serentak di seluruh dunia pada 14 Ogos nanti.
Namun demikian, kehangatan tersebut ‘dicemari’ dengan tindakan pengurusan rangkaian pawagam terbesar negara, Golden Screen Cinemas (GSC) yang dikatakan tidak meletakkan filem terbabit untuk ditayangkan di mana-mana cawangan.
Keadaan ini mencetuskan pelbagai persoalan, apatah lagi Coolie merupakan antara filem paling dinantikan tahun ini, dan dijangka mencatatkan kutipan pecah panggung.
Getaran difahamkan, filem terbitan Sun Pictures itu dan diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj sememangnya amat dinantikan peminat aktor superstar terbabit.

Sumber memberitahu, Coolie yang merupakan filem ke-171 lakonan Rajinikanth telah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat sebaik sahaja treler rasmi mula ditayangkan.
“Berbeza dengan GSC, rangkaian pawagam utama lain seperti TGV Cinemas, LFS Cinemas, MBO Cinemas, Paragon dan Dadi Cinemas telah mula menyusun tayangan awal pagi bagi memenuhi permintaan peminat.
“Kegagalan GSC menyenaraikan Coolie menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan penggiat filem Tamil tempatan, apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika menghubungi Getaran.
Jelas beliau, mereka gagal memahami rasional di sebalik keputusan GSC itu kerana aktor terbabit menjadi pujaan ramai peminat di negara ini.
“Semua pun tahu, Rajinikanth bukan sebarangan aktor. Filem ini pun bukan filem picisan. Ini filem berskala antarabangsa yang pastinya mampu menghasilkan pulangan tinggi.
“Awak pun tahu, peminat Rajinikanth bukan hanya dalam kalangan komuniti India sahaja. Popularitinya merentas sempadan kaum, agama dan negara,” katanya, kesal.
Sementara itu, tinjauan Getaran di media sosial mendapati, ketiadaan Coolie dalam senarai filem di GSC mula dipersoalkan peminat.
Majoriti meluahkan rasa kecewa dan meminta GSC menimbangkan semula keputusan dibuat.
Hak pengedaran eksklusif Coolie di Malaysia dipegang Malik Streams Corporation.
Pengasas syarikat, Datuk Abdul Malik Dashtigeer ketika dihubungi memberitahu, edaran filem tersebut dibeli pada harga RM6 juta.
“Kami mensasarkan kutipan mencecah RM60 juta untuk pasaran tempatan.
“Dengan lebih 90 pawagam di seluruh negara menyertai tayangan, Coolie dijangka mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penonton tempatan,” katanya.
Getaran sehingga kini masih menanti pihak GSC tampil dengan penjelasan berhubung keputusan tersebut. - Getaran, 9 Ogos 2925