Buletin teknovasi kali ini dimulakan dengan pelancaran Carsome Certified Lab dan pengenalan aplikasi sumber manusia yang bernama JustLogin. Seterusnya kerjasama Samsung Galaxy bersama kumpulan BTS dan pengenalan sistem baharu Grab Malaysia Scan To Order hasil usahasama bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Carsome Certified Lab
Carsome yang merupakan platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara telah melancarkan kemudahan terbaharunya yang dipanggil Carsome Certified Lab.
Ia adalah sebuah premis yang serba lengkap dan menawarkan kemudahan yang paling canggih untuk membaik pulih serta memperbaharui kereta terpakai menjadi seperti kereta baharu. Kerja-kerja baik pulih kereta akan dijalankan secara keseluruhan termasuk bahagian dalaman, luaran enjin, transmisi, suspensi, stereng, serta bahagian elektrik dan elektronik.
Setiap proses akan dilaksanakan oleh pakar yang mempunyai kemahiran dan berpengalaman luas dalam dunia automotif. Disamping mempunyai keluasan lebih daripada 185,000 kaki persegi, Carsome Certified Lab mampu melayan sehingga 2,000 kereta dibawa Carsome Certified setiap bulan.
Ia adalah satu skala yang belum pernah lagi dicapai di seluruh Asia Tenggara. Carsome merancang untuk membuka lebih banyak Carsome Certified Lab dalam tempoh 12 bulan akan datang di Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk terus menawarkan pilihan kereta terpakai yang terbesar bagi pilihan pengguna.

Aplikasi JustLogin
JustLogin adalah sebuah aplikasi yang baru diperkenalkan Februari lalu. Aplikasi ini merupakan sebuah sistem kawalan yang mengkhusus pada kerja-kerja jabatan sumber manusia di dalam sesebuah syarikat.
Aplikasi yang dicipta pada 1999 dan berasal dari Singapura ini adalah satu transformasi yang luar biasa dimana dengan hanya menggunakan aplikasi ini, pihak majikan atau ketua jabatan dapat mengendalikan maklumat butiran pekerja, permohonan cuti, tuntutan bayar dan seumpamanya tanpa perlu mencetak maklumat tersebut di atas kertas.
Malah ia juga sesuai digunakan dalam industri Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) kerana ia dapat mengurangkan kos permulaan bagi sesebuah perniagaan.
Ia juga sesuai dan seiring dengan arahan kerajaan yang menyarankan untuk bekerja dari rumah semula akibat peningkatan kes COVID-19 bagi memantau pekerja semasa bertugas.
Dengan pengalaman selama 20 tahun, JustLogin sudah mempunyai 2,500 pelanggan yang menggunakan aplikasi ini di sekitar 25 buah negara termasuk IKEA, Nippon Airways, Roquette Asia, Inside Scoop dan banyak lagi. Ia boleh dimuat turun di Google Play atau App Store secara percuma.

Samsung Galaxy X BTS
Selepas pelancaran telefon pintar model terbaharu Galaxy S22 baru-baru ini, Samsung mengambil langkah bijak dengan mengadakan kolaborasi bersama kumpulan BTS bagi menggegarkan lagi keluaran model tersebut.
Samsung akan mengadakan kolaborasi pintar bersama kumpulan terkemuka dari Korea Selatan ini dalam jangka masa yang panjang.
Pelbagai reka bentuk akan dikeluarkan dalam edisi terhad yang mempunyai ciri-ciri dan sentuhan khas daripada kumpulan BTS.
Antara keistimewaan yang terdapat dalam model Galaxy gabungan ini adalah pengguna akan mendapat foto dan pelekat digital eksklusif setiap ahli kumpulan BTS di dalam telefon pintar tersebut.

Grab Malaysia Scan To Order
Langkah aplikasi Grab bagi meningkatkan serta mengembangkan sistem mereka ke tahap yang lebih efisien telah dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Grab Malaysia bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
Grab telah menampilkan sebuah sistem baharu yang dipanggil Scan To Order dengan ciri-ciri yang mudah iaitu sistem imbas kod QR di meja untuk melayari menu melalui telefon, membuat pesanan dan membayar menerusi aplikasi Grab.
Kemudian, pesanan akan dihantar kepada peniaga melalui aplikasi GrabMerchant supaya dapur mereka boleh mula menyediakan hidangan.
Dengan pengenalan sistem terbaharu ini, restoran berpeluang untuk mengambil pekerja kurang upaya pendengaran bagi penggunaan sistem Grab ini.
Grab juga mempunyai jurulatih khas bagi membantu peniaga untuk berkomunikasi dengan pekerja yang kurang upaya pendengaran selama tiga bulan. Mereka juga menyediakan peralatan khas merangkumi buku panduan, pin untuk pekerja, kod QR dan pelekat tetingkap. - Getaran, 2 Mac 2022
Gambar: Jenama produk berkenaan