Syawal masih lagi berbaki dan pasti ramai juga yang sedang melakukan puasa enam untuk mengumpul pahala. Jadi, hari ini sudah tahu apa menu yang diidamkan untuk berbuka puasa?
Memandangkan situasi terkini tidak memungkinkan anda menjamu selera di luar, apa kata anda masak sendiri? Hujung minggu sebegini pasti punya masa terluang.
Jika anda penggemar laksa, boleh cuba masak resepi laksa sardin daripada Ayam Brand ini. Masa penyediaan hanya 20 minit, begitu juga dengan masa memasak.

Bahan-bahan yang diberikan juga mudah untuk dicari dan kuantitinya boleh dinikmati oleh empat orang dewasa. Jika anda perlu sediakan untuk ahli keluarga yang ramai, gandakan sahaja kuantiti bahan-bahan.
Bahan-bahan:
1 paket mi laksa atau mi kuning, dibasuh, dicelur dan ditoskan air
2 batang daun selasih segar atau ketumbar, dicincang
Bawang goreng
Limau kasturi
2 biji telur direbus dan dibelah dua
Garam secukup rasa
100 ml santan
Bahan-bahan untuk dikisar:
1 tin Sardin Ayam Brand dalam Minyak Zaitun Ekstra Dara & Cili
2 sm kunyit hidup
3 batang serai
80 gm bawang merah
1 inci belacan yang sudah dibakar
3 biji cili merah
100 ml santan yang dicampur dengan 1 liter air
Cara memasak:
1) Didihkan bahan-bahan yang dikisar di atas api sederhana dan biarkan mendidih selama 15 minit. Tambah santan berlebihan dan masukkan bahan perisa secukupnya.
2) Untuk menghidang, bahagikan mi ke dalam empat mangkuk dan tuangkan kuah sardin. Hiaskan dengan selasih, bawang goreng dan telur rebus.
3) Perahkan sedikit limau kasturi sebagai pelengkap rasa.
4) Sedia dihidangkan.
Banyak orang, banyaklah ragamnya. Walaupun menu laksa menjadi perdebatan warganet baru-baru ini dek popularitinya, tapi ada juga yang tidak suka. Malah, ada yang langsung tidak mahu menjamahnya.

Seandainya anda antara orang yang tak suka laksa, boleh cuba masak resepi menggiurkan daripada cef selebriti Anis Nabilah ini. Selain boleh dimakan bersama nasi putih, Udang Karang Masam-Manis Cef Anis ini juga boleh dimakan bersama roti stim goreng (mantou).
Bahan-bahan:
2 ekor udang karang Maine direbus (simpan air rebusan)
4 ulas bawang putih dicincang halus
5 sudu besar sos tomato
5 sudu besar sos cili Lingham
1 sudu besar sos plum
1 sudu kecil sos Worcestershire
1/4 sudu kecil cuka
2 sudu kecil sos tiram
1/2 sudu kecil tepung jagung yang dicampur dengan sedikit air
3 cubit serbuk lada putih
2 biji telur putih
Gula
Garam
Minyak sayuran
Daun bawang
Cili Merah
Daun ketumbar
Cara membuatnya:
1. Panas minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga warnanya keperang-perangan dan masukkan air rebusan udang karang tadi.
2. Masukkan kesemua sos, cuka dan serbuk lada putih. Kacau hingga sekata dan masukkan udang karang. Biarkan mendidih kira-kira dua hingga lima minit.
3. Keluarkan udang karang. Masukkan tepung jagung dan putih telur ke dalam masakan. Kacau rata dan perisakan masakan dengan garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan daun bawang dan kacau seketika. Tuangkan sos ke atas udang karang dan hiaskan hidangan dengan daun ketumbar dan hirisan cili merah.
5. Sedia untuk dihidangkan.
Kredit :
Resipi laksa : Ayam Brand Malaysia
Foto : Ayam Brand
Resepi udang masam manis : Chef Anis Nabilah
Foto : Chef Anis Nabilah