Biro Pelancongan Taiwan sekali lagi telah membawakan Kempen Salam Taiwan – sebuah program percutian mesra Muslim sebagai satu usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke negara itu.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengembara ke pelbagai destinasi pelancongan menarik di seluruh Taiwan untuk melihat sendiri keistimewaan dan keindahan pulau ini.
Sepanjang berada di Taiwan, penulis menikmati pelbagai jenis makanan. Maklumlah lain negara, lain keistimewaannya. Tak sangka yang sebenarnya terdapat banyak pilihan restoran atau gerai snek yang halal serta mesra Muslim.
Untuk makluman anda, status makanan halal di Taiwan diseliakan oleh tiga badan berwibawa iaitu Persatuan Cina Muslim, Pusat Halal Taiwan dan Persatuan Islam Taiwan. Berikut adalah antara pilihan makanan, minuman dan snek halal dan mesra Muslim yang boleh anda jejaki di Taiwan.
Mi Daging - Chang Beef Noodle Shop, No. 21, Yanping South Road, Daerah Zhongzheng, Taipei

Kalau sudah jejak kaki ke Taiwan, mi daging adalah menu yang mesti ada cuba. Terdapat sebuah restoran halal yang boleh anda dikunjungi di kota Taipei. Restoran berusia 60 tahun ini, bukan sahaja popular di kalangan pengunjung beragama Islam, tetapi juga oleh pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah kerana dagingnya yang begitu empuk dan enak, serta ladunya yang amat lazat.
Menariknya, restoran ini juga mendapat pengiktirafan bintang ‘Michelin’ dek kelazatan dan kualiti hidangannya!
Sekiranya anda berkunjung ke daerah Kaohsiung di Taiwan Selatan pula, pastikan anda singgah ke restoran mi daging yang terletak bersebelahan Masjid Kaohsiung, Taiwan Selatan. Restoran ini diusahakan oleh jawatankuasa masjid sendiri.
Makanan Indonesia - Chen Lili Indonesian Restaurant, No.276, Wufu 4th Rd., Daerah Yancheng, Kaohsiung, Taiwan
Bagi yang berada di Kaohsiung, Taiwan Selatan, anda boleh jadikan Chen Lili Indonesian Restaurant sebagai pilihan untuk menjamu selera.
Restoran ini sememangnya menyajikan juadah yang menyelerakan. Ini dibuktikan oleh tandatangan ramai insan terkenal di Malaysia di bahagian dindingnya, sebagai tanda mereka pernah berada di situ!
Makanan Organik - YuYuPas Tsou Cultural Tribe Park, Daerah Chiayi, Taiwan Selatan

Ketika berkunjung ke ladang teh yang diusahakan oleh kaum orang asli Tsou di pergunungan Alisan, penulis telah mencuba beberapa hidangan berasaskan makanan organik yang amat unik, serta lazat! Tidak ketinggalan mencuba pelbagai jenis teh yang dituai dari ladang.
Teh Boba- Boleh didapati di seluruh Taiwan

Minuman yang pernah mencetus fenomena di Malaysia. Sehingga kini minuman ini masih menjadi kegemaran ramai. Taiwan adalah negara yang ‘bertanggungjawab’ mencipta minuman ini. Minuman berasaskan teh ini dicipta di Tainan dan Taichung, Taiwan pada tahun 1980-an.
Jadi jangan lepaskan peluang mencuba minuman ini di negara ini. Jika tidak, pastinya tidak sempurna kunjungan anda ke Taiwan.
Ais Kisar (Shredded Ice) & Smoothie - Boleh didapati di seluruh Taiwan
Tidak sempurna rasanya jika tidak menikmati ais kisar Taiwan yang terkenal di seluruh dunia itu. Ada banyak kedai yang menjual menu ni. Ada sedikit persamaan dengan ABC Malaysia, tetapi campuran atau kombinasi bahan- bahan yang digunakan lebih meriah.
Di Kaohsiung, ada sebuah restoran yang menyajikan ais kisar dalam mangkuk gergasi, cukup untuk dimakan oleh 10 orang.
Makanan Arab - Abdu Arabian Cuisine, 2F.-1, No. 106, Sec. 3, Xinsheng S. Rd., Daerah Da’an, Taipei
Menjadi pilihan pelajar, khususnya yang beragama islam dari universiti berhampiran, restoran Arab yang dimiliki oleh pasangan Arab-Taiwan ini sememangnya menyediakan juadah timur tengah asli yang lazat.
Walaupun terpaksa menunggu sedikit lama berikutan setiap juadah hanya akan dimasak mengikut pesanan, percayalah kelazatan pasti membuatkan penantian anda berbaloi!
Jus Betik Susu Dan Kek Nanas - Boleh didapati di seluruh Taiwan

Jus betik susu merupakan minuman yang cukup popular di Taiwan. Sekiranya anda berjalan di bazar malam, pasti anda akan melihat barisan yang panjang di setiap gerai yang menjual minuman ini. Ini menunjukkan betapa popularnya minuman ini dek kelazatannya. Jadi, jangan lupa mencubanya sendiri apabila ke sini nanti.
Satu lagi snek lazat yang mesti anda cuba ialah kek nanas. Terdapat sebuah restoran yang menghidangkan kek nanas dan teh herba oolong secara ‘percuma’ di Pelabuhan Pisang, Kaohsiung. Hakikatnya, ia adalah gimik pemasaran yang bijak.
Ini kerana, sebaik sahaja anda mencubanya, pasti anda mahu 'memborongnya' untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Satu lagi info yang anda patut tahu ialah, Taiwan memiliki lebih 1000 snek jalanan. Antaranya yang popular ialah biskut nougat, mochi, wagashi.
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kempen Salam Taiwan 2023?

Kempen Salam Taiwan 2023 adalah dianjurkan oleh Biro Pelancongan Taiwan di Malaysia bagi mempromosikan Taiwan sebagai Destinasi Sensasi Mesra Muslim kepada rakyat Malaysia. Secara asasnya, kelebihan Taiwan sebagai destinasi percutian dibahagikan kepada empat kategori :
Mesra Muslim - Taiwan adalah diiktiraf sebagai Destinasi Inklusif Tahunan (bukan OIC) dalam majlis ‘Anugerah Pelancongan Halal 2022’.
Romantik – Keindahan alam semula jadi, digandingkan pula dengan kecanggihan metropolitan, Taiwan sememangnya bagai syurga buat mereka yang ‘mabuk’ cinta!
‘Trending’ - Sesuai dengan imejnya sebagai ‘Jantung Asia’, Taiwan menawarkan pelbagai tarikan terkini dan bergaya pada harga yang menarik buat pelancong. Terdapat pelbagai destinasi membeli-belah - semuanya menjanjikan fesyen, gajet, malah mainan yang terkini!
‘Vibrant’- Lokasi-lokasi yang memiliki bangunan dengan rekabentuk unik dengan persekitaran berwarna-warni, keunikan juadah yang terdapat di sekitar tempat penginapan, gaya hidup di ladang ternakan yang diselubungi kabus, pemandangan matahari terbit menakjubkan, gaya hidup metropolitan serba moden – pelbagai aktiviti menarik menanti semua!
Nak tengok diari pengembaraan Duta Pelancongan Mesra Muslim ke Taiwan - Ayda Jebat dan pasangannya, Nabil Mahir sepanjang di Taiwan? Saksikan video Salam Taiwan melalui YouTube rasmi Biro Pelancongan Taiwan. - Getaran, 11 Mac 2023