Berita Terkini

5 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Jalan Jauh Ayda Jebat

Ikuti temu buat eksklusif Getaran yang berpeluang menjejaki Ayda Jebat di Taiwan dan bercerita lebih dalam mengenai inspirasi yang dikutipnya sepanjang pengembaraan itu serta rasa rindu yang mencengkam hatinya pada si buah hati pengarang jantung.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Jan 2023 9:45AM

Ayda Jebat - Gambar ihsan Salam Taiwan

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ada sesuatu yang menarik tentang kembara. Di tempat asing dan jauh, kita seolah-olah menjadi lebih jujur dengan suara hati sendiri. Jika selama ini kita bagai terkejar-kejar menjalani rutin harian yang tidak pernah selesai, kembara membuat kita ‘bercuti’ daripada keserabutan itu untuk kembali mengenal fungsi diri.

Kembara dan merantau mempunyai falsafah besar jika ditelusuri. Sebab itu masyarakat barat menjadikan kembara berbulan-bulan sepanjang musim panas sebagai suatu kebiasaan.

Bahkan masyarakat Minang juga mewajibkan anak lelaki untuk keluar daripada rumah dan merantau mencari pengalaman. Selepas bertahun-tahun di tempat orang, barulah mereka pulang berbakti kembali di tanah tumpah darahnya sendiri.

Pernah menapak di beberapa negara, langkah kaki pelakon dan penyanyi Ayda Jebat akhirnya mendarat di Taiwan setelah dilantik sebagai duta kempen Salam Taiwan.

Ia mungkin sebuah negara yang belum begitu popular sebagai destinasi pilihan warga muslim. Namun siapa sangka, Taiwan rupanya memberikan kejutan baru sehingga Ayda menitiskan air mata. 

“Saya sudah pernah menjejaki banyak tempat. Namun Taiwan ada persona yang sangat berbeza. Sepanjang 10 hari berada di sini, saya telah pergi ke tempat yang sangat cantik sehingga saya menangis melihat keindahannya,” cerita Ayda langsung kepada Getaran ketika kami berpeluang bertemunya sendiri di Taipei,Taiwan. 

Hehuanshan, antara kawasan pelancongan yang terkenal di Taiwan.
Hehuanshan, antara kawasan pelancongan yang terkenal di Taiwan.

Tempat yang dimaksudkan Ayda adalah Hehuanshan, sebuah pergunungan yang keemasan saat dilimpah cahaya suria, yang menghijau dan berwarna-warni ketika musim bunga, serta diselimuti salju putih ketika musim sejuk. Ayda menyifatkan keindahan itu dalam satu kata singkat,

“Ia sangat cantik, seperti sebuah lukisan”.

Alam memang selalu memberikan terapi yang sangat ajaib kepada sesiapa yang melihatnya. Ciptaan Tuhan memang selalunya begitu istimewa, seperti meniupkan sebuah perasaan syahdu dan membuat kita terpaku. Percayalah, perasaan itu tidak dapat kita temui ketika melihat puncak pencakar langit yang dibangunkan manusia.

 Ayda dilantik sebagai duta kempen Salam Taiwan.
Ayda dilantik sebagai duta kempen Salam Taiwan.

Sesekali Ayda mengeluarkan buku nota dan sebatang pen dari begnya. Duduk di atas batu melihat hamparan laut dan membiarkan bayu pantai menampar-nampar rambutnya. Taiwan memberikan ilham-ilham baharu kepada Ayda yang sudah dikenali bukan sahaja seorang penyanyi, malah komposer berbakat yang menghasilkan lagu-lagu berhantu.

“Bila tengok suasana yang begitu indah, saya ibarat tenggelam dalam keindahan itu. Ia turut memberi inspirasi sehingga saya berjaya mendapatkan melodi dan menuliskan beberapa baris lirik lagu,” kongsi Ayda.

Yuyupas, terkenal dengan penanaman teh.
Yuyupas, terkenal dengan penanaman teh.

Tidak hanya itu yang membuat pelantun lagu ‘Mata’ itu jatuh cinta, di sebuah perkampungan di pergunungan Alishan, Ayda turut terkesima melihat apa yang ditawarkan sebuah tempat bernama Yuyupas. 

Terkenal dengan pengeluaran pelbagai jenis teh, ia juga  merakam sejarah penduduk asli yang tinggal di sana. Lebih menarik lagi, Yuyupas dijaga oleh sekumpulan remaja muda yang bekerja sebagai pemandu pelancong, pembancuh teh, penjual cenderamata, penjual makanan dan paling menarik menjadi penghibur untuk acara persembahan etnik.

Rindu yang lebih padu

Seperti yang terakam dalam lirik lagu-lagu lama, sebuah ‘jarak’ akan mendedahkan kepada kita tentang mata siapa yang paling kita cinta. Ketika kembara, kita akan kerap teringat wajah seseorang yang paling kita suka. Itulah kemanisan dan juga kepahitan sebuah kembara. 

Sepanjang berada di Taiwan, Ayda sering dibedil rindu yang padu kepada anaknya, Ana Nayla yang baru berusia setahun. Inilah kali pertama Ayda berpisah dengan anaknya dalam tempoh yang lama atas urusan kerja. Di dalam beg Ayda, ada sebuah bantal kecil dan selimut yang selalu digunakan Nayla. Dipeluk dan dicium-cium berulang kali ketika rindu melanda hatinya.

Sesekali di dalam kereta, Ayda merenung keluar jendela. Matanya melihat hamparan gunung-ganang namun fikirannya melayang terkenang ketawa anak jauh di Malaysia. Tak sengaja air matanya tumpah serta-merta.

 Ayda mempunyai seorang cahaya mata, Ana Nayla yang baru berusia setahun.
Ayda mempunyai seorang cahaya mata, Ana Nayla yang baru berusia setahun.

“Saya elak buat panggilan video dengan Nayla kerana risau akan beremosi. Bila beremosi, ia akan memberi kesan kepada kerja-kerja saya. Sepanjang saya bekerja di Taiwan, ibu mertua dan pengasuh yang menjaga Ana Nayla. 

“Mujurlah dia tidak banyak ragam. Keadaannya di Malaysia baik-baik saja kerana dikelilingi sepupunya yang lain,” katanya.

Melawan skeptikal

Ketika Ayda berkongsi tentang perjalanannya di Taiwan, dia juga tidak terlepas menerima soalan skeptikal mengenai Taiwan daripada pengikutnya di Instagram. Mana tidaknya, Taiwan bukan negara Islam. Namun, tidaklah bermakna Taiwan tidak mesra muslim. 

“Bila saya kongsi saya berada di Taiwan, ada yang orang mesej saya di Instagram bertanya adakah saya makan katak semasa di Taiwan?

“Mungkin dalam pemikiran mereka jika ke Taiwan, maka kita akan makan hidangan eksotik. Sedangkan Taiwan adalah negara yang sangat mesra Muslim. Ada pelbagai hidangan halal tak kisahlah juadah asli Taiwan, makanan Thailand, Jepun dan Indonesia semuanya lengkap di sini. Semuanya boleh didapati dengan mudah.

“Sebab itu bila saya makan di restoran Indonesia yang menyediakan bakso, sate, gado-gado, saya terus akan buat video untuk tunjukkan kepada semua betapa meriahnya Taiwan dengan makanan halal. Ada juga hidangan terkenal Taiwan macam Taiwan beef noodle yang disediakan dengan konsep halal,” dedahnya. 

Ayda menikmati Taiwan beef noodle yang disediakan dengan konsep halal.
Ayda menikmati Taiwan beef noodle yang disediakan dengan konsep halal.

Sehingga hari ini, Taiwan sebenarnya sudah mencatatkan jumlah 60,000 penduduk beragama Islam. Ditambah pula dengan 250,000 pekerja asing yang turut beragama Islam. 

Oleh itu Taiwan sudah mempersiapkan negaranya dengan kemudahan mesra muslim seperti menambah restoran halal yang turut menyediakan ruang solat. Bukan itu sahaja, banyak pemilik hotel sudah mengasingkan pinggan dan mangkuk khas dengan logo halal khas buat pengunjung muslim. 

Dilantik sebagai duta Salam Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan adalah hadiah bermakna untuk Ayda. Tidak hanya berpeluang membantu mengubah stigma, namun 10 hari yang dilalui Ayda cukup memberikannya pengalaman bermakna di negara ‘Jantung Asia’ itu. Kini sudah memasuki tahun yang baru. Ayda sudah bersedia jalan lebih jauh baik dari segi kerjaya mahupun peranannya bergelar seorang ibu. 

Ditanya adakah pelakon itu akan kembali ke Taiwan semasa di akhir temu ramah, jawabnya tuntas;

“Sudah semestinya!”

Isu Pada

Jalan Jauh Ayda Jebat

28 Jan 2023

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok