Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Tabitha Lam Impian, Keyakinan Diri, Kuasa Dolla!

Kehadirannya di dalam industri muzik bertitik tolak daripada minat yang cukup mendalam di dalam bidang ini. Tabitha Lam atau Tabby berkongsi tentang cita-cita, impian dan apa yang ingin dicapainya bersama rakan-rakannya di dalam kumpulan Dolla. 

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Dec 2022 9:58AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejujurnya, tatkala diberi tugas untuk menemu bual gadis dari ibu kota ini, hati agak gusar sementelah tiada sesi fotografi akan diadakan. Hanya menyapa secara maya, tiada pertemuan empat mata untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tabby, nama yang semakin mendapat perhatian pemain industri. 

Penyanyi, penari dan satu-satunya artis Malaysia yang tersenarai sebagai antara 100 Wajah Tercantik 2021 (100 Most Beautiful Faces of 2021). Wah! hebat juga profil artis yang kian menjadi kesayangan ramai ini!

Semasa melakukan bacaan lanjut mengenai artis berbakat ini, rupa-rupanya dia adalah peminat penyanyi pop terkenal antarabangsa Ariana Grande, seperti mana penulis. Memandangkan, kami adalah peminat sejati Ariana Grande, sesi temu ramah ini cukup dinantikan. 

Tabby adalah ahli keempat kumpulan vokal wanita,  Dolla yang turut dianggotai Sabronzo, Angel dan Syasya. Mereka kini semakin meraih populariti yang memuncak selepas memulakan debut pada tahun 2020 dengan lagu ‘Dolla Make You Wanna.”

Sepanjang sesi temu ramah ini, banyak telah Tabby kongsikan dan kerana kami sebaya, maka sesi temu ramah eksklusif itu jadi bagaikan seperti sesi lepak dengan kawan-kawan lama. Mudah rupanya berurusan dengan gadis Dolla seorang ini.

“Cuba ceritakan siapakah Tabby yang sebenar dan bagaimanakah perjalanan muzik anda bermula?” penulis memulakan pertanyaan.

Kata Tabby, dia meminati muzik sejak dari  kecil lagi kerana terikut-ikut dengan ibu bapa saya yang meminati pelbagai genre muzik. Justeru itu, pengaruh muzik mereka yang pelbagai inilah yang telah mencambahkan lagi minatnya yang lebih mendalam terhadap dunia muzik. 

“Pertama kali saya cuba menyanyi di depan awam adalah ketika saya menyertai pertunjukan bakat sekolah pada usia 8 tahun, bahkan saya masuk kelas vokal sejak saya darjah tiga lagi, dan saya pernah menyertai banyak pertandingan menyanyi meskipun tersingkir pada pusingan awal dalam setiap pertandingan.

“Namun, semuanya menyanyi sahajalah, tak pernah saya menari dan tidak pernah berfikir untuk menari. Selepas saya menyertai Dolla, saya mula kelas menari,” jelasnya membuka bicara.

Ternyata sejak di usia muda lagi, Tabby sudah tahu akan cita-citanya untuk bergelar penghibur. 

“Ini kerana, saya tahu bahawa saya ditakdirkan untuk berada dalam industri ini tanpa mempedulikan berapa banyak kegagalan yang harus saya hadapi.

“Saya mengakui kemunculan saya di dalam dunia seni banyak terinspirasi daripada Ariana Grande. Sejak kecil saya sering mengimpikan untuk bergelar sebagai seorang penghibur, sama sepertinya.

“Bagi saya, dia satu pakej yang sempurna. Dia cantik, penyanyi yang hebat, dia menari, dia membuat persembahan yang begitu baik.

“ Secara keseluruhannya, dia sangat berbakat. Dan, saya bercita-cita untuk menjadi seperti dia. Saya hanya mengagumi seseorang yang bukan sahaja boleh menyanyi dengan sangat baik, tetapi juga menyukai segala jenis muzik. 

“Impian saya menjadi realiti dengan Dolla. That’s how I make my dream come true, I’m living my dream with Dolla now,” kongsi pemilik nama penuh Tabitha Ariel Lam ini. 

 

Bersama Dolla

Sebelum kumpulan ini ditubuhkan, Tabby dan Angel sebenarnya sudah saling mengenali walaupun bertemu dengan cara berbeza. 

“Bagi saya Dolla adalah  satu panggilan sebenar, apabila dipilih sebagai salah seorang daripada empat bertuah untuk menyertai kumpulan gadis itu sewaktu menghadiri pencarian bakat dan ujian bakat. 

“Saya bimbang untuk menyertai kumpulan ini pada mulanya, kerana saya tahu  ia boleh menjadi agak rumit apabila beberapa orang daripada pelbagai latar belakang disatukan dalam kumpulan yang sama. 

“Namun bila dah saling mengenali, sebenarnya, saya agak terkejut kerana persahabatan kami menjadi agak cool. Entah bagaimana, kami semua berjaya click dengan baik.

“Walaupun, pada permulaan, agak rasa kekok sedikit, tapi akhirnya keserasian antara kami datang secara semula jadi. Mungkin faktor umur, we are almost in the same age group,” ujar Tabby sambil ketawa.

Menurut gadis berbangsa Cina itu, dia tidak pernah terasa asing dalam kumpulan tersebut, malah hubungan mereka lebih kepada sebuah keluarga.

“Mungkin bagi pandangan orang luar, kombinasi kami bagai tidak kena ekoran perbezaan latar belakang, bangsa dan agama kami.

“Namun, sebagai seorang gadis Dolla, saya tidak pernah terasa unsur diskriminasi dalam kalangan kami. Dolla tidak pernah berhadapan dengan isu tersebut. 

“Kekuatan kami adalah perpaduan serta persefahaman  antara kami,. Kami tidak pernah membiarkan mana-mana gadis Dolla berasa terasing. Itulah strategi kami dalam mencetuskan keharmonian dalam kumpulan. 

“Kami percaya setiap pencapaian, tidak kisah secara berkumpulan  sebagai Dolla mahupun perseorangan, kami tetap akan raikan  kemenangan Dolla secara keseluruhan.

“Lagipun, kami masing-masing ada kekuatan sendiri di mana setiap daripada kami kelebihan diri sendiri, dan jika salah seorang kami menjadi popular, kami bahagia, ” katanya.

Dolla
Dolla

Alang-alang bertanya,  penulis sempat memancing soalan: “Tabby dikategorikan sebagai ahli kumpulan yang paling popular dalam Dolla. Ada apa-apa yang ingin dikongsi? 

Dengan senyuman, Tabby menjawab: “Bagi saya, populariti itu sendiri datang dari Dolla sebenarnya. Ramai kenal Tabby menerusi Dolla, jadi saya rasa mungkin kelebihan vokal Tabby menyumbang kepada populariti itu.

“Kalau bukan sebab Dolla, mungkin Tabby masih struggle di luar sana untuk peluang sendiri. Jadi bagi saya. Saya berterima kasih untuk Dolla bagi populariti itu,” jelasnya.

 

Cabaran Sebagai Dolla 

Ketika disoal berkenaan cabaran yang dilalui bersama gadis Dolla, Tabby berkongsi bahawa pengalaman untuk belajar menari menjadi cabaran utamanya. 

“Sebenarnya, Tabby sangat baharu bagi bidang menari ini, walaupun telah menjadi penyanyi selama lebih daripada sepuluh tahun sekarang. 

“Dan, memandangkan Dolla ditubuhkan sebagai ensemble nyanyian dan tarian empat ahli sejak awal, ia diakui sebagai cabaran besar buat saya pada awalnya. 

“Apabila kami bertemu dengan koreografer kami iaitu Ezra, dia memang berusaha seratus peratus mengajar saya segala-galanya.

“Saya mempunyai pengalaman menari dalam muzikal sebelum ini, tetapi saya tidak pernah mempelajari teknik yang betul. 

“Beberapa hari selepas saya mula belajar, saya banyak meragui diri saya sendiri, tetapi saya tidak mudah give up

“Saya masih ingat untuk video muzik (MV) pertama kami, album Dolla Make You Wanna, selepas sahaja selesai penggambaran, habis lencun belakang baju saya sebab berpeluh! 

“Sememangnya penat satu dan gementar  sebab nak ingat semua step tarian koreografi. Sebagai seseorang yang tidak ada latar belakang dalam bidang tarian untuk mengingati tarian dan koreografi, it’s not a joke! Trust me,” ujarnya.

Ahli kumpulan Dolla paling popular itu turut berkongsi mengenai perjalanan karier mereka yang bermula pada tahun 2020 dan pada waktu yang sama terpaksa 'bergelut' dengan musuh yang tidak dapat dilihat, COVID-19.

“Selain dari menari bagi saya, cabaran utama Dolla sebagai sebuah kumpulan adalah apabila kami lancarkan lagu ’Dolla Make You Wanna’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. 

“Tak sangka, ramai juga yang memberi sokongan walaupun ketika itu sukar untuk kami jayakan promosi lagu itu dan dari situ kami mula dikenali.

“Kemudian, ketika kami lancarkan single kedua berjudul ‘Impikan’ dan sekali lagi, kami berdepan dengan situasi sama apabila kerajaan umumkan PKP Bersyarat (PKPB).

“Jadi dari situ, kami juga tidak pernah merasai pengalaman menjadi artis seperti mana yang dilalui artis lain.

“Mungkin disebabkan kami diperkenalkan ketika negara kita bergelut dengan COVID-19, jadi, kami tak berpeluang melalui proses seperti sesi temu ramah bersama media dan sebagainya. Kalau ada pun, ia menerusi panggilan telefon atau dalam talian saja.

“Bagaimanapun, ada juga peminat dan pengikut kami yang mula kenal. Contohnya, apabila berada di luar, ada yang tahu bahawa kami adalah anggota kumpulan Dolla.

“Dari saat itu, saya mula sedar bahawa walaupun kami debut ketika COVID-19 menerusi media sosial, ianya sama hebat dengan mainstream media.

“Media sosial kini turut mampu menjadi satu platform yang besar dan luas bagi bakat baharu menjadi popular dan diterima ramai,” ujarnya.

 

Budaya ‘Body Shaming’

Pernah dicop sebagai anggota Dolla paling tembam, Tabby berkata tidak sangka dan terharu apabila menjadi satu-satunya artis Malaysia yang dicalonkan dalam 100 Wajah Tercantik 2021 (100 Most Beautiful Faces of 2021).

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan itu, stigma mengenai ‘body shaming’ di kalangan masyarakat kini lebih menjadi-jadi.

“Saya masih ingat ketika remaja saya agak 'chubby', malah waktu debut Dolla pun ada yang komen mengenai pipi ‘chubby’ saya terutama dalam MV kami. 

“Ramai turut bersoal saya, bagaimana sekarang Tabby semakin kurus, dan saya jawab mungkin latihan menari yang banyak berjaya menurunkan berat saya kot (sambil ketawa). Namun, balasan saya pada komen itu dikecam ramai dan saya ambil kecaman itu sebagai nasihat.

“Dalam dunia serba terbuka ini kita bebas bersuara atau meluahkan pendapat. Namun, perlu berpada-pada kerana ia bukan sebuah lesen untuk kita menghina dan mengutuk orang lain sesuka hati.

“Bagi saya walaupun selebriti sentiasa dapat didekati menerusi laman sosial peribadi masing-masing, janganlah cetuskan lingkungan negatif dengan menggunakan bahasa kesat. Anak seni juga mempunyai perasaan.

“Ini juga ingatan kepada diri sendiri memandangkan dalam situasi pandemik COVID-19 yang meninggalkan impak kepada semua, saya percaya nilai positif sesama manusia adalah pemangkin untuk hidup tenang,” tambah Tabby.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur itu turut berkongsi bahawa, jelitawan bukan dilihat dari kecantikan luaran semata-mata tetapi lebih kepada sayangi diri sendiri, keyakinan dan menyebarkan elemen positif.

 

Sambutan Hari Natal 

Berbicara soal persiapan menjelang Krismas pula, kata Tabby, dia rindu sambutan Krismas ketika zaman kanak-kanaknya.

“Setiap kali menjelang Krismas, wajib bagi saya untuk meluangkan masa saya bersama keluarga. Lagipun keluarga saya kecil dan saya merupakan anak tunggal, jadi ibu bapa saya memang mengharapkan saya berada di rumah setiap tahun.

“Sebenarnya, ketika zaman muda saya, pada zaman bangku sekolah saya, perayaan Krismas merupakan antara perayaan yang kami meraikan secara besar-besaran, saudara-mara akan datang mengunjungi kami dan setiap tahun akan ada pohon Krismas di rumah saya.

“Namun, setelah usia saya semakin meningkat, kami mula untuk merayakan secara sederhana, hingga satu tahap dimana ketika musim COVID-19, sudah tiada pohon Krismas di rumah saya.

“Hanya luangkan masa bersama keluarga saya dan bersama gadis Dolla menjadi sambutan Krismas yang semakin normal buat saya. Tanpa saya sedar, saya mula rindu Krismas saya masa zaman kanak-kanak dulu.

“Ya, sebenarnya saya merindui akan persiapan Krismas seperti menghias pohon Krismas, membuat kek, pergi shopping Krismas dan loceng Krismas,” kongsi Tabby. 

Menurut Tabby, bagi sambutan Hari Natal tahun ini, dia bersama keluarganya ingin membeli pokok Krismas dan hiasi dengan pelbagai jenis perhiasan seperti kalungan, jurai dan gula-gula tongkat.

Kata penyanyi comel itu, dia ingin kembalikan suasana Krismas yang selalunya menjadi perayaan yang paling menggembirakannya. 

 

Tahun 2023

Melangkah ke hadapan, Tabby berkata bahawa dia merancang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjayanya. Kini setelah dia menamatkan pengajian di universiti, dia bersedia untuk terjun ke dalam industri dan mempelajari semua yang dia boleh.

“Saya mungkin mencuba menjadi hos atau berlakon, atau memulakan perniagaan saya sendiri. Saya terbuka kepada apa sahaja yang saya fikir sesuai dengan personaliti saya.

“Sebenarnya, saya sudah pun bermulamelangkah pertama untuk perancangan saya dalam perniagaan sendiri iaitu, saya bakal melancarkan sebuah produk yang masih lagi dirahsiakan. 

“Saya tunggu masa yang sesuai untuk lancarkan produk tersebut. Tapi, saya boleh bagi ‘hint’ bahawa ia adalah produk gaya hidup. 

“Selain itu, jadual  saya juga agak padat kerana Dolla bakal muncul dengan album studio pada tahun hadapan. Kami ingin berkembang lebih maju, dan matlamat kami adalah untuk mencapai pasaran Asia Tenggara menjelang tahun 2023!

“Saya rasa pencapaian seterusnya yang kami sasarkan adalah untuk membuat persembahan di festival muzik, atau konsert pertama kami di Malaysia mungkin. Perancang bagi semua matlamat itu masih dalam perbincangan. 

“Atau lebih baik lagi, mungkin Dolla akan dapat menyanyi bersama Ariana Grande and saya akan buat persembahan solo bersama Ariana (sambil ketawa).  Just joking!

“Apapun, harapan kami sangat tinggi dan matlamat Dolla adalah untuk maju ke hadapan dan menjadi kumpulan gadis yang ikonik di Malaysia.

“Sejujurnya, Dolla masih bertatih di dalam industri ini. Masih banyak yang perlu kami pelajari dan selagi kami mencuba, kami rasa kami berada di landasan yang betul. 

“Saya tidak menceburi bidang ini hanya kerana semata-mata saya mempunyai rupa. Berdirinya saya di sini adalah kerana minat yang mendalam dalam bidang muzik.

“Saya akan selalu belajar dan terus belajar. Sebagai pendatang baru, saya sedia menerima nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman daripada saya.

“Bagi saya, saya bekerja dengan ikhlas dan bukan kerana saya seorang yang cantik,” pungkas Tabby dengan penuh gemalai. – Getaran, 24 Disember 2022

DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Tabitha Lam

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali

Teks & Penyelaras : Rubini Nagarajah  

Suntingan Teks : Ili Farhana 

Reka Letak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Tabitha Lam Impian, Keyakinan Diri, Kuasa Dolla!

31 Dec 2022

Berita Berkaitan

1

Muzik 3 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

2

Muzik 3 bulan yang lalu

Akhirnya Hindia Mendarat, Bawa Representasi Anak Muda

3

Muzik 4 bulan yang lalu

Noah Tidak Pernah Mengecewakan, Lebih 5,000 Peminat Terpukau Saksikan Konsert ‘Terakhir’

4

Muzik 4 bulan yang lalu

Wings Jual Tiket Harga ‘Rahmah’, Hargai Sokongan Peminat

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok