Baru-baru ini platform sewaan percutian Airbnb mengumumkan 12 penginapan Airbnb yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penginapan Hijau Airbnb 2021.
Dari lokasi percutian di Selangor yang dibina indah menggunakan pasir pulih guna (reclaimed sand), hinggalah sebuah bas yang diubah suai menjadi rumah bergerak dan sebuah ladang permakultur yang telah dipulihara dengan penuh kasih sayang.
Dilancarkan oleh Airbnb dengan kerjasama Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Majlis Pelancongan Lestari Global (GSTC), Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY), Anugerah Penginapan Hijau Airbnb bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf penyedia penginapan pelancongan tempatan kecil yang telah menerapkan amalan kelestarian dalam operasi harian dan tawaran hospitaliti mereka.
Berikut adalah 12 penginapan yang mengungguli anugerah ini dan muncul sebagai penyedia penginapan mesra alam tempatan terbaik di Malaysia.
Pemenang Anugerah Emas
1. Terletak jauh di dalam hutan belantara yang subur di Hulu Langat, Selangor, Far Far Away merupakan lokasi percutian yang dibina menggunakan bahan tebus guna. Penginapan ini mengitar semula dan mengompos sisanya. Hartanah ini juga mempunyai bengkel yang menghasilkan perabot dan bahan binaan daripada kayu kitar semula.

2. Terletak di Janda Baik, Pahang, Plateau Farm Sustainable Treehouse Camp , penginapan ini adalah kediaman unik yang berfungsi dengan kuasa solar menggunakan perabot terpakai yang diselamatkan daripada pengubahsuaian pejabat. Tetamu yang pernah menjejakkan kaki di sini gemar menikmati masakan yang dimasak menggunakan bahan-bahan dari kebun di penginapan ini.

3. Sesuai dengan lokasinya di Pulau Perhentian, Terengganu, The Resthouse merupakan sebuah rumah era kolonial yang telah dibaik pulih dan menggunakan tenaga solar sepenuhnya. Hasil keuntungan yang diperolehi daripada sewaan turut disalurkan kepada Lang Tengah Turtle Watch untuk kerja-kerja pemuliharaan dan penyelidikan.

4. Tanah Larwina ialah sebuah resort yang lestari dan mahu membantu tetamu mengenali flora dan fauna tempatan. Ia dilengkapi sepenuhnya dengan pencahayaan cekap tenaga, pengecas kenderaan elektrik, tong kompos dan kolam air penahan ribut.

5. Melarikan diri dari hiruk-pikuk kota dan menikmati sebuah percutian desa di Durian Guesthouse, adalah keputusan yang sangat berbaloi. Lokasi percutian ini merupakan sebuah ladang permakultur seluas 7,000 kaki persegi yang membekalkan rempah-ratus segar, buah-buahan dan sayur-sayuran serta sabun mandian buatan tangan untuk tetamu.

6.Terletak di Pulau Mantanani, Sabah, Green House Eco Lodge menawarkan pantai persendirian dan hasil tanaman tempatan dari rumah hijaunya sendiri. Penggunaan plastik diharamkan sama sekali di sini.

Pemenang Anugerah Perak
7. Terletak di Gelugur, Pulau Pinang, The Nature Home menempatkan taman buah-buahan dan sayur-sayuran yang subur serta sistem pengurusan sisa yang luar biasa. Kulit buah-buahan dan sayur-sayuran dikompos dan dicampur dengan enzim untuk menghasilkan produk pembersihan isi rumah organik.

8. Dilengkapi dengan peralatan penjimatan tenaga, mentol lampu LED dan produk pembersihan mesra alam, Breezy Studio mengitar semula sisa bahan buangan mereka dengan menghasilkan pasu, baja dan sabun buatan tangan, serta menganjurkan kelas membuat sabun dan berkebun untuk tetamu yang berminat.

9. Converted Bus, berdekatan Universiti Malaya ini dibina daripada bas universiti lama yang tidak digunakan. Penginapan ini direka dengan teliti serta dilengkapi peralatan penjimatan tenaga dan sistem pengumpulan dan penapisan air hujan. Hasil daripada penginapan ini membantu membiayai usaha oleh kumpulan pemuliharaan air Universiti Water Warriors.

Pemenang Anugerah Gangsa
10. Dianugerahkan Anugerah Gangsa untuk pengurusan sisa pepejal, rumah tamu hijau, North Borneo Wooden House dihoskan oleh dua jaguh alam sekitar tempatan dengan semangat untuk menyelenggara pengurusan sisa dan bengkel pengkomposan di hartanah terbabit. Kedua-dua individu ini juga menjalankan pelbagai inisiatif untuk menyokong pemuliharaan Sungai Moyog di Sabah.

11. Meraih anugerah untuk Pemuliharaan Biodiversiti, rumah tamu yang dinamakan sebagai Rumah Tok ini menyerlahkan ciri-ciri sederhana, mewakili realiti budaya dan gaya hidup kampung tradisional Melayu lama. Pengudaraan dan pencahayaan semula jadi adalah ciri utama rumah Melayu lama, sebab itulah Rumah Tok memiliki sekatan ruang yang cukup minimum untuk mencipta aliran terbuka.

12. Bidara Beach Homestay dianugerahkan Anugerah Gangsa untuk penggunaan produk hijau dan pemuliharaan tenaga, dibina sepenuhnya daripada kayu dan lantai guna semula, serta menggunakan lampu LED yang cekap tenaga. Terletak di Kuala Dungun, Terengganu, rumah ini menghadap Teluk Bidara dan di belakang rumah ada pantai Tanjung Bidara yang menawan.

Semua pemenang dipilih berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk penggunaan produk hijau, pengurusan sisa, pemuliharaan tenaga, pemuliharaan air dan pemuliharaan biodiversiti. Setiap pemenang menerima anugerah rasmi dan kredit perjalanan Airbnb bernilai sehingga USD500, serta peluang menghadiri bengkel tertutup yang dihoskan oleh pakar Airbnb.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Green Stays Awards Malaysia, layari airbnb.com/malaysiagreenstayswinners. - Getaran, 27 Mac 2022
Gambar: Airbnb