Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Jaclyn Victor - Mekar Melakar Masa Depan

Biarpun sudah hampir dua dekad bergelar juara rancangan realiti Malaysian Idol yang pertama, Jaclyn Victor masih mekar melakar masa depannya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Feb 2022 9:06AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Maaf saya terlambat sedikit, ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan tadi. Minta maaf sangat,” ucap Jaclyn Victor berulang kali pada saya lewat panggilan telefon pagi itu.

Namun saya tidak terlalu khuatir soal masa, kerana dia tidaklah terlalu lambat, sekitar 10 minit sahaja terlewat. Lagipun kami tidak tergesa-gesa, yang saya risaukan tiap kali sesi fotografi dijalankan bersama mana-mana selebriti, adalah waktu mereka yang kami pinjam.

Saya tahu hidup mereka biasanya lebih sibuk kerana mereka yang bergelar bintang terkenal ada pelbagai urusan dan komitmen.

Waktu sangat berharga buat mereka, jadi pagi itu saya hanya mengingatkan dia untuk berhati-hati ketika memandu, kerana saat dihubungi Jaclyn Victor yang lebih mesra dipanggil Jac, dia sudah tidak jauh dari tempat penggambaran.

Jac meletakkan kereta tidak jauh dari G13 Gallery Kelana Jaya, sebuah galeri seni indah yang juga sudi menaja lokasi penggambaran kami pagi itu.

Saya menyambut Jac di luar keretanya dan membantu dia membawa beg berodanya ke dalam studio.

Dia tiba berwajah polos dan berpakaian santai namun masih mencuri perhatian saat berjalan. Berpenampilan lebih matang namun tetap menawan berkat warna rambutnya yang putih semula jadi, Jac tidak banyak berubah dengan Jaclyn Victor yang saya temui pertama kali, hampir 20 tahun dahulu.

Ya, sekitar 18 tahun yang lalu, saya berpeluang menulis lirik lagu tema rancangan realiti Malaysian Idol yang bertajuk ‘Ku Bawa Sinar’. Saat itu Jac dan 11 orang finalis lain program tersebut digabungkan dan ditampilkan dalam sebuah album kompilasi. 

Selepas itu saya juga berpeluang menulis lirik untuk sebuah lagu Inggeris berjudul ‘Love’ nukilan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi untuk album sulung Jac selepas bergelar Malaysian Idol.

Sejak detik itu lagi saya kagum dengan keramahannya. Biarpun berbakat besar dan akhirnya dijulang sebagai juara salah satu program francais mencungkil bakat terbesar dunia, Jaclyn Victor masih mencontohi resam padi, semakin tunduk namun semakin berisi.

Dengan pelbagai anugerah yang sudah dia rangkul, Jac sama sekali tidak pernah melupakan asal usulnya. Dia sangat merendah diri dan barangkali sebab itu jugalah rezekinya tidak pernah putus.

Bakatnya masih dihargai dan dia masih menjadi pilihan pelbagai pihak untuk membuat persembahan.

“Sebenarnya, saya sekarang sibuk menguruskan perniagaan yang baru saya mulakan beberapa bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020. Selain itu saya juga sibuk menjaga dua orang anak saya yang masih kecil,” kata Jac membuka wawancara.

“Semasa wabak COVID-19 melanda dunia, golongan artis juga amat terkesan kerana pelbagai aktiviti kesenian terpaksa dihentikan untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

“Itulah yang telah mendorong saya untuk membuka BATS Restaurant & Bar di Jalan Telawi, Bangsar sebagai sumber pendapatan terbaharu.

“Selain menyediakan makanan, BATS juga tempat untuk pengunjung berhibur dan menonton persembahan nyanyian. Ini juga sebab mengapa saya sangat bersemangat untuk menceburi bidang perniagaan ini.

“Saya dapat menggabungkan bidang seni persembahan dengan penyediaan makanan pada waktu yang sama.

Malah, saya dan rakan kongsi saya baru sahaja membuka cawangan kedua kami di Sunway Giza, Kota Damansara,” jelas Jac lagi tentang urusan terbaharunya.

Dengan begitu banyak tanggungjawab yang perlu digalas, saya tertanya-tanya bagaimana Jac yang kini seorang ibu tunggal dengan dua orang cahaya mata kecil, mampu membahagikan masa. Apatah lagi tanpa mempunyai pihak pengurusan.

“Saya kini ada seorang pembantu rumah yang sudah bekerja dengan saya selama beberapa tahun. Dialah yang menguruskan perihal anak-anak saya, Jonah dan Molly yang bakal menginjak usia 7 dan 5 tahun Ogos nanti. 

“Kalau mula-mula dulu saya selalu meminta bantuan ibu saya sendiri, tapi sampai bila saya nak menyusahkan dia? Jadi saya sangat gembira dengan kehadiran pembantu saya. 

“Malah, kalau saya ada undangan persembahan, saya ke acara bersendirian, atau paling tidak dengan jurusolek yang menemani saya sebelum pertunjukan,” tambahnya lagi.

Biarpun masih memenuhi undangan nyanyian dan kini bergelar usahawan, tetap ada yang berfikir Jac kini sudah jarang muncul di media massa dan seperti sudah kurang aktif menyanyi.

“Mungkin kerana tiada lagu solo dan album baharu atau projek saya sendiri, jadi ramai yang beranggapan begitu. Sedangkan saya sebenarnya ada terbabit dengan banyak projek bersama beberapa artis lain.

“Sebagai contoh, saya salah seorang penyanyi untuk lagu #Baiksemula bersama Faizal Tahir, Tuju dan Siti Nordiana yang dilancarkan tahun lalu. Ada juga lagu sempena sukan Olimpik yang sempat saya nyanyikan bersama artis lain.

“Jadi saya masih berada dalam industri dan menyanyi masih mata pencarian utama saya. Bezanya belum ada projek solo sendiri. Itu sahaja. Namun pasti ada tidak lama lagi. Harap peminat saya sabar menanti,” jelas Jac.

Biarpun dilanda pelbagai dugaan dan cabaran, Jac masih utuh malah semakin mekar melakar masa depannya. Malahan pandemik tidak mematahkan semangatnya sama sekali.

“Saya tak nafikan kami golongan artis banyak terkesan di awal PKP dahulu. Namun saya bernasib baik kerana mempunyai perancangan awal.

“Seperti yang anda tahu, saya bukan datang dari keluarga yang berada. Saya pernah hidup susah semasa kecil. 

“Lantas, semasa mula bekerja sebagai penyanyi saya telah membuat pelaburan ke atas barangan yang ada nilai supaya dapat membantu saya dari segi kewangan sekiranya terjadi sebarang kecemasan.

“Ya, saya juga tak menafikan semua orang dambakan kemewahan dan segala materi yang indah, tetapi saya sentiasa beringat bahawa sebagai penghibur, semua itu tidak akan bertahan selama-lamanya, jadi perlu ada persiapan masa depan.

“Saya sangat bersyukur, kerana berkat semua simpanan dan pelaburan yang ada, saya masih mampu menyambung kehidupan dan menyara keluarga saya,” ucap Jac penuh syukur.

Sungguhpun begitu, Jaclyn Victor barangkali satu daripada segelintir sahaja penghibur bukan Melayu yang masih aktif di bidang seni tempatan hingga ke hari ini.

Saya sempat bertanyakan Jac tentang hal ini. Apa rahsianya kekal relevan hingga sekarang?

“Saya tak nafikan, gelaran juara Malaysian Idol itu sangat membantu kerjaya saya. Biarpun ia hampir 20 tahun yang lalu, ia sesuatu yang sangat berharga.

“Semasa saya mempromosikan album Inggeris saya yang diterbitkan oleh sebuah syarikat rakaman tempatan di Los Angeles, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, saya sempat bertemu beberapa wakil media di sana untuk sesi temu ramah.

“Pada mulanya, tiada siapa yang benar-benar peduli. Namun selepas mereka tahu yang saya bekas juara Malaysian Idol, barulah mereka berikan perhatian.

“Jadi itulah yang saya maksudkan. Hingga ke hari ini saya bersyukur atas peluang itu. Gelaran juara itu membantu saya di mana sahaja saya berada. Di Malaysia dan di luar negara. Masih ada yang kenal dan ingati saya.   

“Walau bagaimanapun, ia mungkin tidak mudah buat penghibur lain yang baru hendak menempa nama. Tdak dinafikan juga, saya lihat sekarang sudah semakin ramai artis bukan Melayu yang menceburi dunia hiburan tempatan dan menyertai pertandingan bakat di TV.

“Mereka hidup di zaman media sosial dan ini satu kelebihan. Zaman saya dahulu tiada Instagram atau TikTok dan saat itu Facebook baru hendak mula. Pengaruhnya sangat berbeza.

“Kini semuanya di hujung jari. Media sosial sangat penting untuk menaikkan jenama dan perniagaan. Jadi jika bahasa mungkin menjadi masalah buat artis bukan Melayu, mereka harus lakukan sesuatu dan gunakan kelebihan media sosial dengan bijak,” jawab Jac yang sangat fasih berbahasa Malaysia, Inggeris dan juga Tamil.

Pesanan Jac buat sesiapa sahaja yang ingin berjaya adalah jangan berhenti berusaha dan bersabar. Peluang itu pasti ada.

Sambil bercakap tentang peluang dan sabar, saya sempat bertanyakan satu lagi soalan sebagai penutup bicara.

“Sampai bila Jac nak jadi ibu tunggal? Dah ada calon baru?” tanya saya sambil berjenaka.

“Buat masa ini saya bahagia dan bersyukur dengan semua yang saya miliki. Itu sahaja yang saya dapat kongsi buat waktu ini,” bingkas Jac mengakhiri wawancara kami hari itu.

Semoga kerjaya Jaclyn Victor akan terus mekar dan kami semestinya tak sabar menantikan projek terbaharunya nanti. All the best, Jac!

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Jaclyn Victor

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil 

Teks & Penyelaras : Shah Shamshiri

Suntingan Teks : Ili Farhana

Penata Gaya & Arahan Seni : Mursh Mat Som

Solekan & Dandanan : Jibs Salim

Busana : Khoon Hooi

Hiasan Bunga : Zahra by Mursh

Aksesori & Kasut : Milik penata gaya

Jurugambar : Mohd Azim Rahman

Juruvideo : Syeda Imran

Suntingan video : Muharram Kasim

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari 

Lokasi : G13 Gallery, Kelana Jaya

Penaja sajian penggambaran : Marrybrown Malaysia

(Sekalung penghargaan buat Encik Kenny Teng dan seluruh warga kerja G13 Gallery, serta pihak pemasaran Marrybrown Malaysia)  

Isu Pada

Jaclyn Victor - Mekar Melakar Masa Depan

19 Feb 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 1 tahun yang lalu

‘Saya Tetap UMNO Dulu, Kini, Selamanya, Tak Akan Kemana-Mana’ - Hishammuddin

2

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Jaclyn Victor Dinobat Sebagai Juara GV9, Ini Penjelasan Juri Tetap

3

Muzik 1 tahun yang lalu

Ini Sebab Kenapa Jaclyn Victor Pilih Aina Abdul Sebagai Rakan Duet Di Pentas GV9

4

Politik 1 tahun yang lalu

Belia India Berhak Dapat Masa Depan Yang Cerah - Vigneswaran

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA