Berita Terkini

9 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Search - Kembali Kepada Asal, Pulangkan Kepada Yang Berhak

Demi menyelamatkan legasi Search, Amy, Hillary dan Nasir bersama Man Keedal telah bergabung semula. Namun ia telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan segelintir pengikut kugiran ini. Apa kata Search?

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 17 Oct 2021 1:48PM

Gambar: Discogs.com dan Facebook Hillary Ang

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Mereka adalah perintis arena muzik rock di Malaysia. Tanpa band muzik tempatan yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini, tidak akan lahir kumpulan-kumpulan muzik rock seterusnya yang turut menyimpan impian yang sama untuk bermain muzik rock dan menjadi rockstar. 

Kehebatan Search saat mula menggegarkan industri muzik tanah air menerusi album pertama mereka, Cinta Buatan Malaysia yang dihasilkan pada 1985 adalah suatu permulaan perkembangan muzik rock menguasai industri muzik secara besar-besaran pada era pertengahan 80-an dan awal 90-an. 

Namun seperti band muzik di barat, Search juga melalui jatuh bangun mereka dengan pelbagai isu, keluar masuk ahli dan pergeseran dalam kalangan anggota kumpulan yang tidak berpenghujung terutama sejak sedekad kebelakangan ini. 

Hal ini telah memberikan kesan buat pengikut dan peminat tegar Search yang tidak mahu melihat mereka berpecah-belah. Namun, apabila vokalis mereka, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada band muzik tersebut pada 29 Mac tahun lalu, ia bagaikan suatu tanda bahawa Search mungkin sudah tidak dapat diselamatkan lagi. 

Amy pernah menarik diri dari band Search pada 1994 iaitu selepas menghasilkan album Cinta Buatan Malaysia, Langit Dan Bumi (1986), Mentari Merah di Ufuk Timur (1987), Fenomena (1989), Karisma (1990) dan Rampage (1992) untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya seni solonya.

Akan tetapi, alasan yang diberikan kali ini adalah untuk memberi peluang kepada anggota kumpulan yang lain untuk terus menggerakkan Search, selain usianya yang semakin membataskan dirinya untuk mencapai nyanyian yang sebaik dahulu. Sebelum membuat keputusan tersebut, Amy telah menjauhkan diri daripada Search. 

Namun perkongsian bekas gitaris Search, Hillary Ang menerusi akaun Facebooknya pada 30 September lalu telah menarik perhatian para peminat tegar Search. Tidak kurang juga dalam kalangan pemuzik dan ahli band muzik lain. 

Hillary telah memuat naik sekeping gambar dirinya bersama Amy, Nasir Daud  (pemain bass Search) dan Abdul Rahman Mahmood atau Man Keedal (pemain gitar Lefthanded) sedang duduk dan berbincang. Ia seolah-olah memberi petanda bahawa Search akan kembali semula bersama projek terbaharu mereka.

It’s a new reborn Search, “ulas salah seorang peminat Search. 

Posting yang dimuat naik Hillary ini turut dikongsi Amy Search di akaun Facebook miliknya sehari selepas itu. Ia turut diperkatakan di Facebook Page forum-forum muzik. Bahkan, mengundang perdebatan apabila kelibat Din dan Kid tidak kelihatan di dalam perbincangan tersebut. 

Segelintir pengikut dan peminat Search termasuk pemuzik-pemuzik dan rakan-rakan penyanyi sendiri beranggapan bahawa jika Search ingin kembali semula, ahli-ahli lain seperti Amy, Hillary dan Nasir tidak seharusnya menyisihkan Din dan Kid kerana mereka juga adalah sebahagian daripada Search dan mempunyai sumbangan mereka sendiri sejak sekian lama dalam band muzik tersebut. 

Pemain bass, Nasir ketika dihubungi portal Getaran berkata, dia menyedari bahawa pengikut dan peminat Search memang sangat prihatin serta ambil peduli dengan apa sahaja perkara yang mereka lakukan. 

“Tapi, apa yang sedang kita lakukan dan keputusan yang kita buat ini, kita lakukan dengan begitu cermat sekali. Kita tidak mahu buat sebarang tindakan yang mampu memberikan implikasi kepada Search nanti. 

“Gabungan semula Amy, Hillary, Man Keedal dan saya ini bukanlah dibuat secara suka-suka. Tapi, ia adalah disebabkan legasi Search itu sendiri. Kita tidak mahu legasi Search berhenti. 

“Ada sebab kita buat benda ni. Saya tidak mahu dan tidak boleh dedahkan sekarang. Sampai satu masanya, pengikut dan peminat Search akan tahu juga,” katanya. 

Nasir juga meminta supaya para pengikut dan peminat Search agar tidak berterusan mengecam mereka tanpa mengetahui motif sebenar di sebalik tindakan mereka bergabung semula tanpa Din dan Kid. 

“Ada benda yang kita buat, penyokong dan fans tidak tahu isu sebenar. Kita pun tidak mahu condemn kawan-kawan dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. 

“Mereka juga adalah kawan-kawan kita dan pernah bersama-sama dengan kita. Cuma jodoh kami hanya sampai setakat itu sahaja. 

“Kami juga tidak akan halang mereka untuk meneruskan yang mereka sedang usahakan. Kerana mereka juga ada hak pada Search sebelum ini. Tapi, untuk bekerjasama lagi, ia mungkin tidak akan terjadi,” katanya. 

Sebagai sebuah band muzik rock perintis, senior dan terpimpin, Nasir berkata lagi, adalah sangat perlu dan penting untuk mereka meneruskan legasi Search menerusi gabungan ini. 

“Search ibarat abang di dalam arena rock. Semua pihak harus hormati hakikat itu. Kalau kita tidak teruskan legasi Search, ia akan ditinggalkan dan mati begitu sahaja. 

“Tidak patut juga ada Search lama dan baru. Search adalah Search. Jika perkara itu terjadi, ia akan merosakkan sejarah rock yang dibina Search dan ini akan menjadi bahan ketawa orang. 

“Sebab itulah kita regroup Search semula dan kita akan membuat pelbagai perancangan demi legasi Search. Kita juga akan guna pendekatan baharu untuk memastikan legasi Search ini juga sampai kepada generasi baharu,” katanya. 

Menurut Nasir lagi, perancangan untuk bergabung semula ini telah dilakukan sejak hampir sebulan dan posting yang dimuat naik Amy itu secara rasminya adalah suatu pemberitahuan bahawa Search kembali semula dengan gabungan ini. 

“Tidak harus wujud pertikaian apabila Amy, Hillary, Man Keedal dan saya bergabung semula. Saya anggota asal Search dan tidak pernah keluar dari Search dari dahulu hingga sekarang. 

“Hillary juga anggota asal. Malah, dialah pencetus pemilihan nama Search menerusi sebuah majalah yang bertajuk ‘In Search Off’. Memang dia sentiasa keluar masuk di dalam Search, tapi perkara ini pun banyak berlaku di dalam band muzik di barat. Tetapi jenama Search dan legasinya di dalam Search tetap berterusan. 

“Hillary dari zaman Red Roster lagi dan waktu Search bikin album pertama Cinta Buatan Malaysia, dia sambung belajar. Tetapi, dia kembali dalam album yang seterusnya. Banyak lagu-lagu hits Search yang dimainkan Hillary. Antaranya ‘Fantasia Bulan Madu’, ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’, ‘Menanti Di Titian Usang’, ‘Pelesit Kota’ dan ‘Pawana’. 

“Bunyi gitar Search di tangan dia. Ramai yang suka skil dan bunyian Hillary dan ramai yang mahu ikut cara dia bermain. Bila Amy beritahu dia tentang gabungan ini, dia teruja,” katanya.

Tentang Man Keedal pula, kata Nasir, pemain gitaris Lefthanded itu mempunyai sejarah yang unik dengan Search kerana dialah yang menggantikan tempat Hillary sewaktu Search menghasilkan album Cinta Buatan Malaysia

Ditanya tentang status Man Keedal yang masih lagi menganggotai Lefthanded, Nasir berkata, mereka tidak pernah meminta Man Keedal untuk meninggalkan band muziknya itu. 

“Man Keedal adalah seorang gitaris profesional. Apabila Lefthanded tidak mempunyai sebarang aktiviti, dia juga bermain untuk artis-artis lain.

“Kalau dia ada show dengan Lefthanded, dia boleh main dengan Lefthanded. Kalau dia ada show dengan Search, dia akan main pula dengan Search, ia bukan suatu isu. Untuk Search, dia akan bagi cara Search. 

“Tentang status pemain drum pula tempat ini masih dikosongkan kerana kita masih belum menemui pengganti arwah Yazit Ahmad. Tapi, yang pasti Paie tidak akan bermain dengan kita. Kita sedang mencari pengganti yang boleh mengisi kekosongan ni. Pasti ada di luar sana yang hebat bermain dram. Kita akan cari sampai jumpa. 

“Apapun, selain saya, Hillary dan Man Keedal, yang paling penting di sini adalah Amy kerana dia bawa suara Search secara keseluruhan. Amy adalah Search dan Search adalah Amy,” katanya. 

Lalu, bagaimana Amy yang sudah pun mengundurkan diri daripada Search bersetuju untuk kembali semula menerusi gabungan ini? 

“Terus-terang saya katakan, saya memang telah berusaha memujuk Amy sendiri untuk kembali. Tapi, saya tidak pernah letakkan sebarang garis masa. Saya tidak henti-henti berdoa agar dia dapat kembali semula. 

“Selama setahun lebih saya menunggu dan saya pernah cuba berhubung dengan Amy melalui pihak pengurusannya. Tetapi, tidak berjaya. 

“Apabila saya dengar Amy pulang ke Johor Bahru sewaktu arwah ibunya meninggal dunia, saya kejar dia ke sana. Tapi, nasib saya kurang baik kerana Amy sudah pulang. Hati saya sungguh hampa. 

“Sehinggalah suatu hari saya telah dihubungi pihak pengurusan Amy untuk mengadakan pertemuan di antara saya dan Amy di Desaru. 

“Pertemuan itu penuh dengan emosi. Saya peluk Amy di bahunya dan saya menangis. Saya luahkan segalanya kepada Amy dan beritahu dia bahawa tiada dia tiadalah Search. Saya rindu. Amy tiada. Search tiada,” katanya sambil bercerita dengan penuh sebak. 

Nasir memberitahu bahawa dia bersyukur kerana Amy telah memberi memberi ruang untuknya berjumpa dan dalam pertemuan selama dua jam itu juga dia meminta supaya Amy kembali untuk selamatkan Search. 

Bertitik-tolak daripada pertemuan itu, mereka terus berhubung untuk berbincang langkah yang seterusnya. 

“Pepatah orang dulu-dulu ada mengatakan, jika kita sesat jalan, berpatahlah semula ke pangkal jalan dan saya beritahu kita semua harus kembali ke pangkal jalan di mana Search bermula dan pulangkan semula Search kepada orang yang sepatutnya,” katanya mengakhiri perbualan.  - Getaran, 18 Oktober 2021

Isu Pada

Dynas Tiada Gentar

16 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Muzik 3 minggu yang lalu

Selepas Berdekad Di Persada Seni, Search Akhirnya Tampil Dengan ‘Sujud Aidilfitri’

4

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan