LONDON - Penampilan pertama Jack Grealish untuk Manchester City tidak membawa kemenangan selepas Kelechi Iheanacho menjaringkan penalti lewat untuk memastikan Leicester City merangkul Perisai Komuniti awal pagi tadi.
Grealish menjadi tumpuan bila masuk sebagai pemain gantian di babak kedua perlawanan selepas melengkapkan perpindahannya dari Aston Villa yang bernilai RM585 juta pada Khamis.
Selepas berlatih dengan ahli pasukan baharunya buat kali pertama pada Jumaat, Grealish masuk menggantikan Sam Edozie di minit ke-65 perlawanan dan tampil bertenaga.
Grealish, pemain Inggeris termahal dalam sejarah, lebih banyak membuat ancaman kepada pihak lawan daripada rakan sepasukannya yang lain.
Tetapi penampilan pertamanya untuk City tamat dalam nada kecewa selepas Iheanacho menjaringkan gol minit terakhir dari titik penalti selepas penyerang Nigeria itu dijatuhkan oleh Nathan Ake.
“Dia bermain dengan baik. Agresif, banyak mengancam benteng lawan, setiap kali mendapat bola ada tiga pemain mengepungnya. Sedikit demi sedikit dia akan mencapai tahap terbaiknya.
“Saya melihat banyak perkara baik hari ini. Saya tidak berasa kami bermain dengan buruk dan saya memberi tahu pemain saya yang saya bangga akan usaha mereka.
“Kami akan mencapai tahap terbaik tetapi pemain-pemain kami akan tampil lebih baik Ahad depan. Ini satu proses yang perlu diharungi,” kata pengurus City Pep Guardiola.
Juara Liga Perdana Inggeris itu akan memulakan kempen mereka menentang Tottenham pada 15 Ogos. - AFP

