LONDON - Ratu Elizabeth dan Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan bola sepak England menjelang aksi final EURO 2020 awal pagi esok di Wembley.
Pasukan kendalian Gareth Southgate itu telah layak ke pentas akhir EURO 2020 sekali gus mengakhiri penantian 55 tahun England untuk beraksi di pusingan akhir kejohanan tersebut.
Kali terakhir pasukan Three Lions memenangi kejuaraan besar adalah pada Piala Dunia 1966 di mana ia berjaya menewaskan pasukan German Barat di bawah pimpinan kapten Bobby Moore.
“Lima puluh lima tahun yang lalu saya rasa bertuah kerana dapat menyerahkan piala kepada Bobby Moore dan saya dapat melihat betapa bermaknanya piala tersebut kepada barisan pemain, staf pengurusan dan sokongan,” tulis Ratu Elizabeth.
Tatkala England berada di ambang kemenangan bersejarah, beliau menambah: “Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan England kerana berjaya layak ke pusingan final EURO 2020.”
“Saya mengucapkan selamat maju jaya untuk hari esok dengan harapan sejarah tidak hanya akan mencatat kejayaan anda tetapi juga semangat, komitmen dan kebanggaan anda semua,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Ratu Elizabeth dijangka tidak akan menghadiri final EURO 2020 yang berlangsung pada pukul 3 pagi Isnin waktu Malaysia.
Sementara itu, Johnson turut memuji prestasi membanggakan pasukan England itu yang secara langsung telah menyemarakkan semangat rakyat England.
Setelah setahun terpaksa mengharungi pandemik COVID-19, Boris berkata kejayaan pasukan England itu merupakan satu berita baik kepada negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain pasukan yang telah beraksi dengan hebat sehingga berjaya mencapai ke peringkat ini dalam piala EURO 2020.
“Anda sudah mencatat sejarah. Anda berjaya membawa England ke pusingan akhir kejohanan antarabangsa yang tersohor.
“Buat ramai orang, ini adalah kali pertama kejayaan ini berlaku dalam hidup mereka. Anda telah berjaya meniupkan semangat seluruh negara,” kata Boris dalam satu surat terbuka kepada pasukan England. - AFP

