KUALA LUMPUR – Respon Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap aduan salah laku dalam pentabiran dan pemilihan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) disifatkan sebagai amat keterlaluan.
Menyifatkan maklum balas diberi sebagai melucukan, tidak bertanggungjawab dan tidak menjawab persoalan sebenar, segelintir ahli MCA mendakwa, ia sama sekali tidak mencerminkan kredibiliti MOM sebagai antara badan sukan induk negara.
Menurut perwakilan itu, respon diberi MOM itu juga jelas menunjukkan mereka sengaja berdolak-dalik.
“Mereka kata (isu MCA) bukan bawah bidang kuasa, tapi pada sama mereka kata mesyuarat sah dan teratur.
“Kalau betul (MOM) tiada kuasa, siapa mereka untuk buat pengesahan,” katanya, kesal.
Presiden MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, sebelum ini menulis kepada MOM memohon siasatan segera berhubung kepincangan serius yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Tergempar (13 April) dan Mesyuarat Agung Tahunan (27 April).
Ia mencakupi isu perwakilan negeri yang dinafikan hak untuk mengundi walaupun telah menjelaskan semua bayaran tertunggak.
MOM selepas itu mendakwa, Fong Wan Hor iaitu Pengurus Besar mereka telah menghadiri kedua-dua mesyuarat tersebut dan berpuas hati dengan agenda dibangkitkan.
Bagaimanapun badan sukan tersebut gagal menjalankan sebarang siasatan, malah tidak pernah mengambil keterangan daripada mana-mana saksi atau membaca laporan dibuat pengadu.
Lebih parah jelas perwakilan itu, MOM turut mengambil ringan laporan polis yang dibuat berhubung pemalsuan tanda tangan dan cubaan menggulingkan barisan kepimpinan MCA secara haram.
Watak Utama
Getaran diberitahu, antara ‘watak utama’ yang terlibat ialah Bendahari MOM, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, Naib Presiden MCA yang turut melantik dirinya sendiri sebagai “pemangku presiden” dalam AGM kontroversi itu.
“Bagaimana seseorang yang terlibat secara langsung dalam konflik MCA boleh berada dalam badan yang kononnya menilai kesahihan mesyuarat itu?
“Ini bukan sekadar konflik kepentingan. Ini ialah satu penghinaan kepada prinsip integriti sukan negara,” tegas seorang lagi perwakilan.
Menurut mereka, Ahmad Feisal bukan sahaja mempertahankan AGM yang dipersoalkan, malah menuduh presiden sah mencampuri urusan persatuan, satu naratif terbalik yang didakwa direka untuk mengaburi mata umum.
Agenda Tersorok, Usul Liar, Kepimpinan Dipijak
Sumber mendedahkan, mesyuarat ‘haram’ berkenaan yang diketuai bekas presiden Mahinda Vallipuram dan Ahmad Feisal turut meluluskan beberapa usul secara paksa, walaupun ia tidak disenaraikan dalam agenda rasmi.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak sah dan tidak demokratik, tetapi ia juga membuktikan mereka mahu menjatuhkan presiden secara licik,” katanya.
Ironinya, MCA di bawah kepimpinan Mohammed Iqbal sejak Mei 2021 telah mencapai pelbagai kejayaan tempatan dan antarabangsa, termasuk meningkatkan hasil tahunan daripada RM1.2 juta kepada hampir RM10 juta.
“Ini bukan sahaja pengkhianatan kepada presiden, tapi kepada seluruh pembangunan kriket negara.
“Orang yang berjasa disingkir, dan individu berkepentingan rakus pula memegang kuasa melalui jalan belakang,” kata seorang pengerusi negeri,” katanya. - Getaran, 16 Jun 2025

