LONDON - Chelsea beralih masuk ke kedudukan empat teratas selepas seri 0-0 dengan Brighton awal pagi tadi, tapi keputusan itu dibayangi oleh peranan yang dimainkan kelab tersebut dalam kontroversi melibatkan Liga Super Eropah (ESL).
Sebelum sepak mula di Stamford Bridge, media melaporkan yang pemilik Chelsea Roman Abramovich telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari ESL.
Manchester City adalah kelab pertama untuk menarik diri, diikuti oleh Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham.
Dengan latar belakang yang dramatik itu, Chelsea menampilkan persembahan yang hambar, walaupun keputusan seri itu menyaksikan anak buah Thomas Tuchel menggantikan West Ham di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan perbezaan jaringan.
“Kita hanya berbincang tentang ESL sebelum perlawanan bermula. Saya sangat terkesan dengan perkara ini, begitu juga dengan pemain-pemain.
“Situasi sekarang tidak jelas. Saya menerima maklumat seperti kamu juga. Kita terpaksa menerima gangguan ini.
“Kami cuba untuk mewujudkan satu suasana untuk membolehkan kami menang perlawanan ini, tapi gagal. Kami kelihatan lesu secara mental,” kata Tuchel.
Chelsea akan bertandang ke West Ham pada Ahad dalam pertembungan penting untuk menentukan pasukan yang layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. - AFP
