LONDON - Man City melangkah dengan lebih dekat lagi untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Fulham 3-0 di tempat lawan untuk mendahului liga dengan 17 mata, manakala Chelsea pula seri 0-0 dengan Leeds.
Pep Guardiola membuat tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama menjelang aksi timbal balik kedua Liga Juara-Juara Eropah City menentang Borussia Monchengladbach, dengan Kevin De Bruyne antara pemain utama yang direhatkan.
Walaubagaimanapun, City tetap unggul apabila menjaringkan tiga gol dalam 15 minit pertama separuh masa kedua di Craven Cottage.
Pemain pertahanan John Stones membuka jaringan, sebelum Gabriel Jesus dan gol liga pertama Sergio Aguero dalam masa 14 bulan dari titik penalti melengkapkan jaringan.
“Kami bermain terlampau banyak permainan, kami tahu kesebelasan pertama skuad ini perlu ditukar kerana jadual perlawanan yang padat.
“Kami tahu apa peranan dan tanggungjawab masing-masing dan pemain gantian yang bermain hari ini patut dipuji kerana cara kami bermain dengan sangat cekal dan sabar,” kata Stones.
Manchester United ada dua baki perlawanan dalam tangan, tapi tiada keraguan yang City akan merangkul kejuaraan liga ketiga dalam empat tahun tak lama lagi selepas mencatatkan 23 kemenangan dalam 24 permainan.
Fulham terus di posisi tercorot liga selepas kekalahan keduanya dalam lapan permainan.
Pasukan di tangga keempat, Chelsea, menambah urutan tanpa kalah di bawah pimpinan Thomas Tuchel kepada 12 perlawanan sejak menggantikan Frank Lampard, di Elland Road.
Tetapi, The Blues bergelut dengan masalah menjaringkan gol walaupun mempunyai ramai penyerang berbakat.
Timo Werner dan Olivier Giroud hanya memanaskan bangku simpanan selepas Tuchel memilih Kai Havertz untuk bermain di posisi penyerang.
Peluang terbaik Chelsea tiba di kaki Havertz tapi rembatan kencangnya ditepis oleh penjaga gol Leeds Illan Meslier.
Penjaring terbanyak Leeds Patrick Bamford diusung keluar dari padang pada separuh masa pertama kerana kecederaan, tapi tanpa kelibat beliau Leeds hampir menjaringkan gol kemenangan tetapi cubaan Tyler Roberts dan Raphinha digagalkan penjaga gol Chelsea Edouard Mendy.
“Kami mencipta banyak peluang, cukup untuk menjaringkan satu atau dua gol. Tapi malangnya kami hanya mampu seri,” kata Tuchel.
Satu mata buat Chelsea menjarakkan pasukan itu dari West Ham dengan tiga mata.
Everton masih ketinggalan lima mata dari empat teratas selepas tunduk kepada Burnley 2-1 di Goodison Park.
Chris Wood membuka jaringan sebelum rembatan Dwight McNeil memastikan kemenangan untuk Burnley, Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan tuan rumah.
Jaringan sepakan penalti Luka Milivojevic membantu Crystal Palace mengalahkan West Brom 1-0 di laman sendiri. - AFP