KUALA LUMPUR - Seorang pendakwah terkenal tanah air dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berkaitan siasatan gangguan seksual.
Difahamkan, pendakwah berusia 30-an itu diminta untuk hadir bagi membantu siasatan esok.
Sumber berkata, siasatan kes itu sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Pendakwah tersebut (sudah) dipanggil untuk dirakam keterangannya, namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan hadir esok,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.
Bagaimanapun, sumber tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung kes itu. - Getaran, 18 Ogos 2021

