KUALA LUMPUR - Pemergian lagenda India, Asha Bhosle, merupakan satu kehilangan besar kepada dunia muzik dan kebudayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mendiang sebagai penyanyi berjaya menyatukan emosi, tradisi, dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi.
Menurut beliau, keunikan suara Asha yang sarat jiwa dan tenaga, telah menghidupkan layar perak dan drama sehingga mengisi ruang hati jutaan insan di seluruh dunia.
“Sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, beliau telah mengangkat legasi keluarga yang begitu besar dalam khazanah seni Asia Selatan, dan tetap membina jalur kepemimpinan seninya dengan gaya tersendiri.
“Mendiang juga berani bereksperimen, buat lebih dari sekadar biasa, tidak ‘mediocre’, malah terus relevan dalam arus dan rencam zaman yang sentiasa menjanjikan perubahan dan citra baharu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Perdana Menteri berkata, beliau mewakilii kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau dan seluruh pencinta seni yang turut merasakan kehilangannya.
“Semoga legasi beliau terus menyemarak dan menjadi ilham serta menyuntik inspirasi kepada generasi penerus dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan,” katanya.
Mendiang Asha menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 di Mumbai, Ahad lalu selepas menerima rawatan di Hospital Breach Candy akibat keletihan dan jangkitan kuman di bahagian dada.
Upacara pembakaran mayat penyanyi legenda itu berlangsung semalam dengan penuh istiadat rasmi di Krematorium Shivaji Park di Mumbai. - Getaran, 14 April 2026
