KUALA LUMPUR - Gencatan senjata secara sementara sebenarnya lebih banyak membawa musibah berbanding manfaat.
Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lalu di Gaza dan Lubnan membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulangi kitaran keganasan.
Menurut beliau, usaha arah keamanan perlu diasaskan pada keadilan, akauntabiliti dan komitmen yang berterusan.
“Keamanan sejati memerlukan resolusi yang komprehensif untuk memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Ia juga perlu untuk memulihkan maruah manusia di rantau Asia Barat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Perdana Menteri menyatakan demikian susulan perbualan telefon dengan Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian.
Anwar berkata Presiden Iran itu menyatakan kesediaan Iran untuk memasuki rundingan, dengan syarat konflik itu ditamatkan secara muktamad.
“Saya telah berhubung dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konflik Asia Barat yang semakin tegang.
“Pada masa yang sama, saya menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada rakyat Iran atas kehilangan kepimpinan tertinggi, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, serta orang awam yang tidak bersalah, kanak-kanak, dan orang awam,” katanya.
Perdana Menteri juga mengutuk serangan Israel baru-baru ini yang disokong oleh Amerika Syarikat ke atas Iran.
“Malaysia juga meluahkan kebimbangan terhadap rakan-rakan kita di Teluk yang terjejas oleh konflik ini. Kami mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan, dan nilai-nilai keadilan,” tambahnya.
Anwar memberitahu, Dr Masoud turut meluahkan rasa terima kasih atas pendirian berprinsip Malaysia.
Perdana Menteri juga mengesahkan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan solidariti dengan Iran dan rakyatnya.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar konflik di Asia Barat dapat menemui penyelesaian aman secepat mungkin,” katanya. - Getaran, 27 Mac 2026

