KUALA LUMPUR - Gema solidariti dan kempen kemanusiaan untuk Palestin nyata tidak pernah berkurangan di negara ini, walaupun ada segelintir pihak beranggapan sebaliknya.
Bertempat di Kuala Terengganu, satu lagi kempen besar-besaran bakal berlangsung akhir bulan ini, dengan sasaran penglibatan seribu kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Dikenali sebagai Drive For Gaza 1.0, acara tersebut bertujuan menzahirkan solidariti rakyat terhadap penderitaan rakyat Gaza, yang terus berdepan keganasan dan kezaliman Zionis.
Dianjurkan Pertubuhan Sukarelawan Bencana Dan Kebajikan (DVAC) Malaysia, ia turut menerima kerjasama Muslim Care Malaysia dan komuniti 4WD tempatan.
Pengerusi DVAC Malaysia, Khairul Badri Abdul Basit berkata, kesemua peserta dijadualkan berkumpul di perkarangan Jambatan Angkat pada jam 8 pagi,sebelum memandu secara konvoi kira-kira 20 kilometer sekitar Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Drive For Gaza 1.0 menekankan nilai kemanusiaan sejagat dan bukan bersifat politik.
“Perhimpunan ini bukan sekadar satu acara, tetapi satu seruan kemanusiaan.
"Gaza tidak perlukan simpati kita, tetapi menuntut tanggungjawab kita sebagai saudara,” katanya.
Jelas beliau, program berkenaan turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Terengganu, dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan negeri dan kehadiran tetamu jemputan rasmi.
“Perhimpunan ini bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tanda sokongan terhadap usaha kemanusiaan dan solidariti rakyat Terengganu bersama Gaza.
“Antara pengisian program termasuk tayangan visual situasi sebenar Gaza melalui LED Screen, forum Palestin bersama Ustaz Azhar Idrus, forum Global Sumud Flotila dan gerai jualan makanan,” katanya.
Beliau memberitahu, perhimpunan yang menggunakan tagline rasmi “Dari Nusantara Kita Bermula, Di Gaza Kita Bersatu” itu menandakan permulaan kepada Misi Drive For Gaza Global.
“Misi global tersebut ialah satu inisiatif kemanusiaan berterusan yang bertujuan menyatukan NGO dan komuniti di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Misi berkenaan juga membawa bersama bantuan kemanusiaan secara telus melalui saluran yang dipercayai,” katanya. - Getaran, 25 Januari 2026

