web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Sultan Selangor Mahu Orang Melayu Ambil Jalan Perpaduan, Kukuh Keharmonian Sesama Masyarakat

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Apr 2024 8:06AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan orang ramai ketika berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H daerah Petaling di Masjid Damansara Perdana, semalam. gambar Selangor Royal Office

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Orang Melayu khususnya di negeri itu terus mengambil jalan perpaduan serta memperkukuh keharmonian sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Sambil menzahirkan rasa terharu melihat perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang dipamerkan orang Melayu, baginda bertitah, perpaduan dan kerjasama yang terjalin perlu terus dipertahan serta dipertingkat demi menjamin Selangor yang lebih maju dan progresif.

"Jauhkan daripada sikap berprasangka buruk antara satu dengan yang lain dan hendaklah kita sentiasa suburkan sikap toleransi demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di Negeri Selangor ini.

"Negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan," titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Damansara Perdana dekat sini, malam tadi.

Berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar pemimpin politik memainkan peranan menyatupadukan rakyat dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Titah baginda, pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

"Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri beta ini dijauhi daripada sifat dan sikap yang tidak baik serta dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan juga mencaci.

"Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media sosial," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan dengan sikap buruk dan dilarang agama itu yang menurut baginda telah mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar.

Titah baginda, mereka ini didapati menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat serta sanggup melihat umat Islam berpecah belah.

"Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuwan dan telah cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah mengenai isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu 'ada udang di sebalik batu' dalam setiap tindakan yang dibuat.

"Oleh yang demikian, beta suka menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menamakan masjid yang dibina dengan kos RM15 juta dan mula beroperasi pada Mac 2023 serta mampu memuatkan hingga 3,200 jemaah pada satu-satu masa itu sebagai Masjid Damansara Perdana.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan raya kepada 172 anak yatim dari daerah Petaling sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama rakyat.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

‘Siew Ki, Ronnie Liu, Datang Seminggu Sekali Hayati Makna Rukun Negara’ - Sultan Sharafuddin

2

Semasa 2 bulan yang lalu

'Tiada Siapa Kaya Dalam Politik Melainkan Penyangak’ - Petikan Dikongsi Sultan Selangor Tarik Perhatian Ramai

3

Semasa 1 tahun yang lalu

PEMENANG Rancang Bawa Kembali 10,000 Keluarga Melayu Ke George Town

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Sultan Sharafuddin Puji Sumbangan Goodyear Kepada Selangor

Sorotan

1

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

2

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

3

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

4

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang 

5

Polis Siasat Kes Lelaki Dipaksa Masuk Dalam Kereta 

6

PRN Negeri Sembilan: Jangan Jadikan Institusi Diraja Bahan Kempen Parti Politik - PM

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Gaji Semasa: Hanya 49 peratus Pekerja Malaysia Berpuas Hati 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 15 jam yang lalu

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

oleh Sophia Ahmad

Semasa 14 jam yang lalu

Ambil Ubat Tertentu Untuk Jangka Masa Panjang? Hati-Hati Dengan Pendarahan Dalaman Serius 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 10 jam yang lalu

Najib Jalani Prosedur Jantung Minggu Depan 

oleh Wartawan Getaran