Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Kerajaan U-Turn, Apa Lagi Yang Luar Biasa?

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Jun 2021 8:14AM

Pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi dan akhirnya vaksin berkenaan dimasukkan semula ke dalam sistem PICK.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kejatuhan sesebuah kerajaan kerana kelemahan barisan pentadbir bukan perkara luar biasa, malah acap kali ia mewarnai sejarah dunia, khususnya negara luar yang ternyata lebih ‘keras’ perlakuan dan cara mereka mendepani situasi semasa.

Seawal pembentukan tamadun manusia, politik mula menjadi perincian utama percaturan kehidupan, dan pembentukan barisan pentadbir yang akan mengepalai sesebuah pemerintahan adalah intipati utama dalam setiap agenda.

Menyelusuri sejarah dunia pasti tidak terlepas dari membawa kita menyelami keagungan empayar Uthmaniyah, simbolik kepada satu pemerintahan agung yang mampu bertapak selama 623 tahun, melepasi dekad dan abad dengan penuh kehebatan serta kemasyhuran.

Uthmaniyah ketika itu adalah lambang satu keunggulan, dan tidak pernah terbayang, bagaimana sebuah pemerintahan yang begitu kukuh pasaknya akhirnya tumbang menyembah bumi, dek ulah pemimpin mereka sendiri.

Cendekiawan terkemuka, Ibnu Khaldun pernah berkata, setiap kehebatan tamadun akan mencipta kesenangan, namun kemewahan itu juga bakal mengundang jiwa yang lemah.

Kejatuhan Uthmaniyah adalah bukti bahawa kuasa yang tidak tercabar akan mendorong pemerintah mula memandang enteng perihal amanah, keadilan dan kesejahteraan untuk rakyat.

Sepertinya pernah kudengar perkara ini, tapi di mana ya?

Benar, kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menyamai sejarah Uthmaniyah ini.

Peristiwa ini akan kekal segar dalam ingatan, betapa kuasa sang pemerintah itu boleh sahaja terhapus andai kesengsaraan rakyat mencapai kemuncaknya.

Selepas sekian lama, kita seakan menyaksikan sejarah bakal berulang, apabila kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah semakin jelas, pada setiap hari yang bergulir pergi.

PICK Yang Caca Marba

Sejak hampir sebulan, negara dihantui kebimbangan gelombang terkini pandemik COVID-19 yang semakin dahsyat dan menakutkan, apabila kemunculan pelbagai varian baharu mendominasi carta.

Saban hari, kita dihidangkan dengan peningkatan jumlah kes positif dan angka itu terus bertambah, tanpa menunjukkan sebarang tanda untuk menyusut pada masa terdekat.

Kewujudan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diharapkan mampu menyuntik sedikit sinar, namun nampaknya ia tidak berlaku, dek penyusunan dan pelaksanaan yang teramat caca-marba.

Permohonan untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneza (AZ) sedikit sebanyak mengundang kelegaan, dan orang ramai berpusu-pusu mendaftar, majoritinya kerana jenuh menunggu giliran mengikut prosedur MySejahtera walau sudah mendaftar sejak awal tahun.

Kuharap panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, pusingan kedua pendaftaran AZ untuk individu 18 tahun ke atas baru-baru ini berakhir dengan kegagalan besar, sehingga mendorong kerajaan menghentikan inisiatif berkenaan, sebaliknya kembali dimasukkan di bawah naungan PICK.

Mengapa ia berlaku sedangkan sejumlah besar wang sudah dilaburkan untuk membangunkan laman web pendaftaran? Pantun moden ini barangkali boleh menjadi jawapannya; anak Cina makan pengat, sendiri mahu ingat!

Ketakutan rakyat terus menjadi-jadi, apatah lagi varian baharu ini ternyata lebih ganas meragut sekian banyak nyawa, tanpa mengira latar belakang kesihatan, peringkat usia atau jantina.

Semakin ramai pesakit yang belum mencecah pertengahan usia menjadi korban dek penangan varian baharu COVID-19, dan sehingga semalam, 67 kematian baharu direkodkan, manakala jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencecah 851, dengan 422 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Total Lockdown, Sudah Terhantuk Baru Terngadah?

Hari ini, penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial (total lockdown) dilaksanakan, dan sedikit sebanyak ia mengundang persoalan, mengapa sudah terhantuk, baru tengadah?

Mengapa setelah jentera perubatan hampir terduduk menyerah, keputusan sepenting ini baru dilaksanakan? Apakah kriterianya sebelum kerajaan boleh bertindak sedemikian?

Apakah mereka tuli dalam melihat rayuan petugas barisan hadapan, yang tidak pernah jemu meminta supaya penutupan penuh ini segera dilaksanakan demi membendung penularan virus?

Sesuai pelaksanaan, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa surat kebenaran pergerakan dan beroperasi untuk sektor swasta yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini tidak lagi terpakai, kerana ia akan diserahkan kepada bidang kuasa semua kementerian berkaitan.

Keputusan berkenaan disambut baik pelbagai pihak kerana buat pertama kali sejak tahun lalu, aktiviti pergerakan rakyat benar-benar akan dihadkan dan ia sudah terbukti berjaya membendung penyebaran sebelum ini, seperti yang berlaku ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0).

Benar ia sedikit merumitkan keadaan kerana dalam jangka masa singkat, majikan terlibat perlu segera menghubungi kementerian masing-masing bagi membolehkan surat kebenaran untuk pekerja mereka dikeluarkan, namun itu bukan satu masalah, demi menjayakan usaha memerangi virus maut berkenaan.

Malangnya, tidak sampai 24 jam diumumkan, nah, ternyata kerajaan Pusingan U (U-Turn) kembali lagi!

Kerajaan U-Turn, Jenaka Di Kalangan Rakyat

MITI yang sebelum ini sudah diputuskan tidak akan terlibat dalam perihal surat-menyurat itu sekali lagi terbabit sama, apabila semua surat kebenaran perlu melalui permohonan yang dibuat menerusi portal khas di bawah seliaan mereka.

Portal dikenali sebagai COVID-19 Intelligent Management System 3.0 (CIMS 3.0) itu perlu digunakan sektor ekonomi berkaitan bagi memohon surat pelepasan bekerja dan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan penuh berkenaan.

Aneh? Sudah tentu tidak, kerana ini bukan kali pertama Kerajaan U-Turn beraksi.

Kekerapan mereka membuat keputusan ‘asal boleh’ menjadikan ia bukan lagi sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sekadar jenaka di kalangan rakyat.

Tidak, bukan hanya mahu menyalahkan namun sukar untuk enggan berbuat demikian apabila pihak berkaitan seakan sengaja mengundang kecaman.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menerusi satu pengumuman khas secara langsung memberitahu, pendapatan semua anggota kabinet akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19, selama tiga bulan bermula Jun ini.

Namun, sebegitu berangnya rakyat sehingga pengumuman sebesar itu gagal mengubat lara di hati mereka, apabila ramai menjadikan keputusan berkenaan sebagai satu momokan di media sosial.

Apabila perkara sepenting itu hanya dipandang sepi, jelas sekali kemarahan itu tidak mampu dibendung, seakan lahar gunung berapi yang hanya menunggu masa untuk diledakkan.

Potongan gaji itu mereka bilang, hanya sekadar retorik kerana ia sewajarnya sudah dilaksanakan sedari awal, ketika rakyat mula terbeban dengan pandemik COVID-19 ini.

Selumbar Kerajaan Di Mata Rakyat

Sebenarnya, terlalu banyak selumbar kerajaan yang mencucuk mata rakyat dewasa ini, dan tidak dapat dinafikan kebenaran untuk semua perkara itu.

Kekebalan barisan pemimpin sedia ada menempuh setiap kecaman dan kritikan jelas wajar diberikan pujian, apabila mereka masih mampu melemparkan senyuman di sebalik setiap rintihan golongan bawahan.

Di setiap sela bahagia tercipta, ada jiwa bersulam air mata, menangisi segunung penderitaan hidup, lantaran pembelaan yang tak kunjung tiba.

Tanya sama pokok, apa sebab goyang,

Nanti jawab pokok, angin yang goncang

Tanya sama rakyat, apa sebab kecundang

Nanti jawab rakyat, kerana kerajaan yang pincang. – Getaran,  1 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Semasa 7 jam yang lalu

PJMR 2024 Dijangka Catat RM1.6 Juta Nilai Jualan – Ewon

Semasa 1 hari yang lalu

 Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga 'Aunty Bersih'

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Semasa 1 hari yang lalu

Individu Hina Institusi Diraja Dikenal Pasti, Lebih 20 Kertas Siasatan Lampau - Fahmi