GUA MUSANG - Lapan keluarga di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini masih bergantung kepada tenaga solar dan generator sebagai sumber bekalan elektrik sejak 14 tahun lepas.
Penduduk Rapiah Ismail, 63, berkata tiang elektrik telah didirikan di sepanjang laluan ke kampung itu namun bekalan masih tiada.
"Sebelum ini saya hanya menggunakan pelita ayan, tetapi sejak 10 tahun lalu telah mula menggunakan tenaga solar untuk lampu dan untuk mengecas telefon.
"Namun apabila tiba musim hujan solar tidak berfungsi jadi saya akan menggunakan generator pada waktu malam.
“Purata saya membelanjakan RM20 sehari untuk membeli petrol bagi menghidupkan generator," katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Senada, Che Adam Che Kob, 67, memberitahu pemberita kebanyakan penduduk perlu membelanjakan sehingga RM30 sehari untuk membeli petrol, bergantung kepada bilangan perkakas dan peralatan di rumah.
"Kawasan rumah dikelilingi kebun jadi amat berisiko kerana banyak ancaman termasuklah musuh tanaman seperti babi dan gajah.
Jadi kos untuk petrol mencecah sehingga RM900 sebulan kerana setiap hari bermula 6 petang hingga 6 pagi kami terpaksa menggunakan lampu solar atau generator bagi menerangkan sekitar rumah," katanya.
Bagi Khairudin Che Ibrahim, 41, beliau berharap pihak berkenaan dapat mempercepat usaha memenuhi permohonan penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik.
“Saya pernah membuat permohonan sebanyak dua kali dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun masih tiada jawapan.
“Kita harap cepatlah elektrik dipasang sebab dalam cuaca mendung ini solar tidak dapat dicas dan kita terpaksa bergelap pada waktu malam," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau akan merujuk masalah itu kepada kementerian berkaitan.
"Kita dapati tiang elektrik telah pun ada di kawasan tersebut, tetapi penduduk masih tidak dapat menikmati bekalan elektrik dari TNB.
"Saya berpendapat mungkin terdapat beberapa kekangan yang memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan, tetapi saya yakin kerajaan akan dapat menyegerakan (penyelesaian) isu yang membelenggu lapan daripada 14 keluarga di kampung ini," katanya. - BERNAMA

