PUTRAJAYA – Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap Kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan seperti yang terkandung dalam Peta Standard China Edisi 2023.
Edisi peta berkenaan dikeluarkan Kementerian Sumber Asli China pada 28 Ogos lepas.
Wisma Putra dalam satu kenyataan media, berkata edisi peta berkenaan antara lain, menunjukkan tuntutan maritim sepihak (unilateral act) China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
“Seperti yang ditegaskan Kerajaan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim Malaysia,” katanya.
Wisma Putra berkata, peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia.
Kenyataan itu menyebut, Malaysia juga berpandangan bahawa isu Laut China Selatan membabitkan isu yang kompleks dan sensitif.
Berikutan itu, Wisma Putra berpandangan isu berkenaan perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).
“Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea - DOC) secara menyeluruh dan efektif.
“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea – COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Peta Standard China Edisi 2023 itu mengundang kemarahan negara jirannya, India, apabila dokumen itu turut memasukkan negeri Arunachal Pradesh dan Aksai Chin yang dianggap sebagai sebahagian daripada Ladakh.
Aksai Chin telah berada bawah kawalan China sejak 1962.
Selain India, Peta Standard China baharu itu juga dilaporkan turut merangkumi kawasan maritim dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam. Getaran, 30 Ogos 2023

