KUALA LUMPUR - 'Good morning' (selamat pagi), kata Inspektor Sheila sambil tersenyum ketika disapa media semasa tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pagi ini.
Beliau hadir ke mahkamah itu bagi berdepan tiga pertuduhan kerana mengugut dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam, selepas video insiden terbabit tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menerusi laporan Harian Metro, Shiela yang hadir dengan memakai sut hitam dilihat memasuki pekarangan mahkamah pada 8.55 pagi diiringi peguamnya M Manoharan dan M Hariharan.
Pegawai polis itu yang ditahan kerja sejak minggu lalu, dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan dan dua tuduhan mengikut Seksyen 509 kanun sama kerana perbuatan mengaibkan.
Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan mengaibkan pula, ia l memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Sheila menerima kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial Khamis lalu, memaparkan dirinya mencemuh seorang anggota polis berpangkat lans koperal dalam kejadian sekitar Gombak, Selangor.
Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan sebelum ditahan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. - Getaran, 26 Jun 2023

