Berita Terkini

4 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 1 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019 2 minggu yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

IKUTI KAMI


Pharmaniaga Komited Hantar Ubat Ke Lokasi Pedalaman, Terpencil

Semasa Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 08 Jun 2023 11:00AM

Ada masa bekalan ubat-ubatan di klinik pedalaman terputus selama berminggu-minggu. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Hanya untuk mendapatkan ubat demam yang bernilai beberapa ringgit di Hospital Kapit, penduduk perkampungan rumah panjang di daerah Nanga Merit yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar itu, terpaksa berbelanja sekitar RM150.

Ironinya, ada klinik kesihatan di Nanga Merit, namun disebabkan daerah kecil di Kapit, Sarawak tersebut begitu jauh terpencil selain dipisahkan oleh Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia, ada masa bekalan ubat-ubatan di klinik berkenaan terputus selama berminggu-minggu.

“Ketika itu belum ada jalan darat dari Nanga Merit ke Kapit. Jadi kami terpaksa menaiki bot penambang yang ambil masa dua  jam. Kami juga terpaksa menginap semalaman di hotel di pekan Kapit kerana bot hanya berlepas sekali sahaja sehari, iaitu pada sebelah pagi.

“Jadi, memang tidak berbaloi bagi kami hendak ke Hospital Kapit kalau sekadar mengambil ubat biasa,” cerita Pius anak Lagon, Tuai Rumah Panjang Nanga Banyau Merit  kepada Bernama baru-baru ini.

Namun itu kisah kira-kira sedekad lalu. Kini klinik kesihatan tersebut tidak lagi berdepan masalah keputusan bekalan ubat-ubatan yang dihantar terus oleh gergasi farmaseutikal Malaysia, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

Bernama dan beberapa rakan media lain berpeluang menyertai kembara penghantaran ubat-ubatan oleh subsidiari Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), bermula dari gudang syarikat farmaseutikal berkenaan di Kuching, Sarawak hingga ke Nanga Merit.    

Perkhidmatan pintu ke pintu

Perkongsian lelaki berusia 50 itu memang sukar untuk dibayangkan oleh penulis yang dilahirkan dan dibesarkan di Pekan, Pahang,  namun kata Pius, sejak ada perkhidmatan penghantaran terus ubat-ubatan ke klinik kesihatan tersebut, penduduk kampung menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik. 

Nanga Merit mempunyai 36 buah perkampungan yang didiami oleh pelbagai suku kaum dengan sebahagian besar adalah Iban, selain Beketan, Melayu, Kayan dan Bidayuh.

“Klinik Kesihatan Nanga Merit ini beroperasi sejak 1973 dan merupakan satu-satunya tempat kami mendapatkan rawatan dan keperluan ubat-ubatan.

“Jadi, apabila ada perkhidmatan Pharmaniaga yang menghantar ubat terus ke klinik ini, secara tidak langsung memudahkan serta menjimatkan masa dan perbelanjaan penduduk di sini,’’ kata anak jati Nanga Banyau Merit daripada suku kaum Beketan itu lagi.

PLSB merupakan anak syarikat milik penuh Pharmaniaga yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan dari “pintu ke pintu” tepat pada masanya, ke semua fasiliti kesihatan dan perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk kawasan pedalaman di negara ini.

Bukan kerja mudah

Ternyata tugas menghantar bekalan ubat-ubatan ke daerah berkenaan bukan kerja yang calang-calang. Bermula dengan perjalanan sejauh 700 km melalui Lebuhraya Pan Borneo dari Kuching ke Kapit, kami menginap semalaman di pekan Kapit bagi merehatkan badan yang keletihan selepas 10 jam berada di dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD), sekalipun sepanjang perjalanan itu konvoi berhenti rehat beberapa kali.

Keesokan hari, konvoi meneruskan perjalanan ke Nanga Merit dan kali ini kekuatan fizikal serta mental penulis benar-benar teruji. Masakan tidak, perjalanan selama tiga jam itu agak mencabar dek keadaan jalan balak yang sempit, curam dan berbonggol-bonggol. Kami bernasib baik kerana ketika itu cuaca panas kering. Kalau tidak, jalan akan licin serta berselut tebal yang tambah menyukarkan pemanduan, waima menggunakan 4WD.   

Tiba di Nanga Merit, perjalanan kami belum berakhir kerana destinasi kami adalah di seberang Sungai Rajang, dan satu-satunya cara untuk ke situ ialah menaiki bot selama 15 minit - agak menggentarkan penulis yang terkenang kisah-kisah “sang bedal” di sungai-sungai di Bumi Kenyalang ini.  

Mengakui pihaknya sering kali berdepan kesulitan semasa membuat penghantaran ke kawasan pedalaman dan terpencil di negeri berkenaan, Pengurus Logistik Pharmaniaga Kuching Dayang Norfazilah Awang Zaidil berkata walau sesukar mana sekalipun halangan yang dihadapi, pihaknya bertanggungjawab memastikan bekalan ubat-ubatan tersebut sampai di destinasi dalam masa yang ditetapkan.

“Di Semenanjung, PLSB diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk bekalan ubat  sampai di fasiliti kesihatan sepatutnya, manakala di Sabah dan Sarawak 10 hari bekerja adalah tempoh yang ditetapkan oleh KKM.

“Bagaimanapun kami cuba sehabis baik untuk menghantar ubat ini secepat mungkin berbanding tempoh yang ditetapkan. Kalau ikutkan jadual sebenar, ‘transporters’ kami akan bergerak dari gudang di Kuching selewat-lewatnya tengah malam bagi memastikan ubat sampai di Klinik Kesihatan Nanga Merit selewat-lewatnya sekitar 8 pagi keesokan harinya. 

“Situasi ini sama juga di daerah atau lokasi pedalaman yang lain. Malah, ada ketikanya jalan tidak boleh dilalui kenderaan, memaksa ‘transporters’ kami berjalan kaki dan mengangkut kotak ubat menggunakan kereta sorong bagi memastikan ubat sampai tepat pada masanya,” kata beliau.

Menurut beliau, antara cabaran yang sering dihadapi oleh PLSB di Sarawak ialah kejadian tanah runtuh, jalan rosak serta paras air sungai yang rendah dan tidak boleh dilalui oleh bot.

Namun katanya, tanpa mengira apa juga cabaran, PLSB komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti kesihatan dihantar tepat pada masanya ke seluruh negeri itu.

Tulang belakang KKM

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Pharmaniaga Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman berkata dengan pengalaman hampir 28 tahun dalam industri farmaseutikal, syarikat tersebut sentiasa bersedia untuk menambah baik kemudahan logistiknya, terutama dari segi penghantaran bekalan ubat-ubatan.

Katanya setakat ini Pharmaniaga mempunyai 15 pusat logistik dan edaran yang terletak secara strategik di seluruh negara, antaranya di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Pusat terbabit disokong oleh lebih 300 kenderaan yang melakukan 450,000 penghantaran melalui udara,  air dan darat setiap tahun, selain 500 kakitangan logistik dan pengedaran yang merupakan tenaga kerja tempatan.

"Kami diibaratkan 'tulang belakang' KKM dari sudut pengedaran dan penyediaan ubat serta produk perubatan. Saya akui ramai yang hanya mengetahui kami antara pengeluar ubat dan tidak tahu peranan kami dalam penyediaan perkhidmatan logistik ini.

“Apapun saya bersyukur dengan pencapaian yang telah kami capai setakat ini. Jika beberapa tahun sebelum ini ubat-ubatan tersebut mengambil masa kira-kira sebulan untuk sampai di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kini kurang dua minggu penduduk boleh dapat bekalan ubat mereka,” katanya.

Jelas beliau, Pharmaniaga turut memiliki fasiliti yang lengkap di semua peringkat bagi memastikan bekalan ubat dalam keadaan terbaik, dari peringkat penyimpanan hingga penghantaran.

Menurutnya, ini kerana syarikat farmaseutikal perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi KKM, dan akan berdepan penalti kewangan sekiranya syarikat gagal menepati standard terbabit.

“Meskipun kami berdepan risiko kerugian akibat ubat rosak atau tamat tempoh, kami tetap komited menggalas amanah dan tanggungjawab dalam membekalkan ubat-ubatan kepada masyarakat, selaras dengan moto Pharmaniaga, ‘Passion for Patients’,” tegas Zuhri Iskandar. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Kingu Ginseng Candy: Lazada Diarah Padam Kandungan Iklan, Henti Penjualan 

2

Semasa 2 minggu yang lalu

‘Beni Koji Choleste Help’ Tidak Berdaftar Di Malaysia - NPRA

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Penjual Martabak ‘Berinti’ Kain Buruk Sudah Dikenakan Tindakan - KKM

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Operasi Rokok: KKM Keluar 214 Notis Bernilai Lebih RM54,000

Sorotan

1

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

2

Lee Akan Dilantik Sebagai Menteri Kanan Dalam Kabinet Baharu - Wong

3

Gangguan Kuasa Jejas Kekerapan Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya

4

KPWKM Bantu Wanita Didakwa Diberi Layanan Buruk Pegawai JKM - Nancy

5

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Port, Namun Perlu Patuhi Dasar - Menteri

6

Rasionalisasi Subsidi Mampu Tangani Isu Ketirisan, Seludup Diesel - Pakar Ekonomi

7

Kolam Selam Tempur Kem Iskandar, Mersing Siap Jun - Onn Hafiz

Disyorkan untuk anda

Semasa 7 jam yang lalu

MCMC Rakam Keterangan Chegubard, Salim Iskandar, Papagomo Esok

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

6 Perayaan Disambut Minggu Ini Cerminkan Kepelbagaian Di Malaysia - Aaron

Semasa 4 jam yang lalu

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

Semasa 1 hari yang lalu

Suspek Kes Tembakan KLIA Bakal Direman Esok - Pengarah JSJ