KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton yang dikesan memandu secara mengundur di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Pemandu terbabit dilihat turut melanggar beberapa kenderaan, dalam insiden yang berlaku ketika waktu puncak, semalam.
Suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan hasil bantuan pengguna jalan raya dan orang awam.
Ketua Polis Daerah Bukit Mertajam, Asisten Komisioner Polis (ACP) Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif methamphetamine dan morfin.
Menurut beliau, suspek juga mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah.
“Pemeriksaan terhadap beg silang yang dibawa suspek menemui bahan dipercayai dadah,” katanya.
Beliau berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.
Pada masa sama katanya, polis sedang mengesan pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat perbuatan suspek di kawasan Seberang Jaya untuk membantu siasatan lanjut.
“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek,” katanya.
Rakaman video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/1MbbmqCBts/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 9 Jun 2026
