web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Penipuan Pindah Milik: 2 Beradik Berjuang Dapatkan Semula Tanah Milik Ibu

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 May 2023 4:09PM

Dua beradik di Pulau Pinang berjuang mendapatkan tanah milik mereka selepas mendakwa ia menjadi subjek penipuan pindah milik ke sebuah syarikat - Gambar Hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JOHOR BAHRU – Dua beradik di Pulau Pinang berjuang mendapatkan tanah milik mereka selepas mendakwa ia menjadi subjek penipuan pindah milik ke sebuah syarikat.

Kes sivil difailkan oleh Lew Teik Chong dan Low Teik Hou di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dua tahun lalu, menamakan 10 defendan yang dipercayai bertanggungjawab ke atas penipuan pindah milik itu, termasuk pemilik tanah yang didakwa sebelum ini, serta pemilik terkini yang dikatakan sebagai Telus Harta Sdn Bhd.

Tanah terletak di Bandar Tg Bungah, Pulau Pinang itu pada mulanya milik ibu mereka Audrey Choo, yang meninggal dunia akibat kanser pada 2019.

Mendiang meninggalkan rumah tersebut kepada anak dan cucunya dalam wasiat bertarikh 22 Disember 2008.

Menurut pernyataan tuntutan mereka yang dilihat The Vibes, selepas pencarian tanah pada Julai 2021, adik-beradik itu terkejut apabila mendapati tanah tersebut dipindah milik ke Telus Harta oleh dua individu dikenali sebagai Chang Kum Ying dan Yong Kam Sang, yang dinamakan sebagai defendan.

“Lew Teik Chong terus membuat laporan polis pada 22 Julai 2021 berhubung urus niaga tanah yang menyalahi undang-undang dan pemindahan harta,” kata kenyataan tuntutan itu.

 

Kami menjaga Audrey sehingga saat kematiannya – defendan

Selanjutnya, adik-beradik itu mengetahui setahun sebelum itu, Kum Ying dan Kam Sang memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah supaya pendaftar Tanah mendaftarkan surat cara amanah oleh Audrey bertarikh 9 Mei 2008 dan tanah berkenaan diletakkan di bawah pemilikan mereka.

Dalam saman pemula, Kum Ying dan Kam Sang mendakwa bahawa Audrey adalah kawan rapat mereka, sambil menambah kedua-duanya menjaga wanita itu ketika sakit dan sentiasa berada di sisinya.

Kum Ying dan Kam Sang mendakwa Audrey berasa terhutang budi terhadap mereka dan menandatangani surat cara amanah yang menamakan mereka berdua sebagai benefisiari tanah tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, adik-beradik itu menolak dakwaan Kum Ying dan Kam Sang dalam saman pemula, dengan menegaskan Audrey berhasrat memindahkan tanah tersebut kepada anak dan cucu mengikut kehendaknya.

Adik-beradik itu mendakwa Kum Ying dan Kam Sang melakukan penipuan dengan mendakwa mereka adalah kawan rapat Audrey, memandangkan keluarga mereka menjaganya sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, memandangkan Kum Ying dan Kam Sang mendapat perintah daripada mahkamah tinggi, mereka dapat mendaftarkan tanah itu atas nama mereka.

Kedua-dua individu tersebut kemudiannya menjual tanah berkenaan kepada Telus Harta dalam perjanjian bertarikh 20 Januari 2021.

 

Peguam menjelaskan bagaimana penipuan itu berlaku

Dalam saman mereka, adik-beradik itu juga menamakan firma guaman JK Kala dan peguam Kala Jeyakumar sebagai defendan, mendakwa penglibatan mereka dalam urusan berkaitan tanah tersebut.

Menurut pernyataan pembelaannya, Kala menafikan bekerjasama dengan sesiapa sahaja dengan niat untuk bersubahat seperti didakwa plaintif.

Bagaimanapun, seperti dicadangkan oleh pernyataan pembelaannya, memang terdapat penipuan yang berlaku berkaitan dengan pemindahan tanah Audrey.

Pada September 2020, Kala bertemu dengan seorang individu bernama Gabriel Youshua Moses, iaitu pada bulan sama membuat representasi bahawa dia boleh mendapatkan pelanggan dan perniagaan untuk firma guamannya.

Hanya selepas pertemuan tersebut, Kala berjumpa dengan Kum Ying dan Kam Sang yang memberikannya instrumen amanah yang menyatakan mereka adalah benefisiari tanah milik Audrey.

“Gabriel membuat representasi palsu kepada defendan ketujuh (Kala) bahawa Audrey adalah pesakit kanser dan Kum Ying dan Kam Sang sedang menjaga pesakit itu.

“Gabriel juga secara palsu menyatakan Audrey, yang meninggal dunia pada 2 Februari 2019, tidak mempunyai ahli keluarga.

“Menerusi dokumen diberikan, defendan ketujuh bersetuju menerima kes daripada Kum Ying dan Kam Sang kerana percaya cerita palsu yang diberitahu olehnya (Gabriel).” Katanya.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Kala mendakwa selepas mengadakan pertemuan dengan Gabriel, dia dimaklumkan bahawa transaksi tanah itu adalah palsu dan rumah tersebut bukan milik Kum Ying dan Kam Sang.

Dia juga diberitahu oleh Gabriel bahawa suami dan anak Audrey masih tinggal di premis itu.

Kala juga kemudiannya bertemu dengan Kum Ying dan Kam Sang di rumah mereka untuk memaklumkan mengenai jenis instrumen amanah.

Semasa pertemuan itu, Kala berkata, dia dimaklumkan bahawa Gabriel menyamar sebagai peguam untuk Kum Ying dan Kam Sang.

Kedua-duanya mengakui bahawa mereka tidak pernah bertemu Audrey dan berbohong kepada Kala.

“Kum Ying dan Kam Sang mengakui bahawa transaksi tanah itu dilakukan secara palsu atas arahan Gabriel,” katanya.

Pada Mei 2021, semasa Kala berada di Kompleks Mahkamah Tinggi Ipoh, dia bertemu rakan peguam yang memaklumkan bahawa Gabriel adalah penipu dan menyebabkan ramai peguam kehilangan pekerjaan kerana skim diperkenalkannya.

Dia juga diberitahu bahawa terdapat waran tangkap untuk Gabriel atas dua pertuduhan penipuan tanah.

“Pada 6 Mei 2021, defendan ketujuh mendapati bahawa tanah itu telah dipindahkan kepada Telus Harta tanpa notis kepadanya atau firma guamannya.

“Pada hari sama, defendan ketujuh melakukan carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya mendapati semasa perjanjian jual beli, syarikat itu hanya mempunyai modal RM3,000,” jelas kenyataan pembelaan itu.

Kala kemudiannya membuat laporan polis pada 8 Mei 2021 di Ibu Pejabat Polis Daerah Timor Laut berhubung penipuan pemindahan tanah, supaya pihak berkuasa akan memulakan siasatan terhadap Gabriel dan Telus Harta, menghentikan semua transaksi melibatkan tanah itu dan mengembalikan harta tersebut kepada keluarga Audrey.

Selain itu, anak-anak Audrey memohon supaya mahkamah mengisytiharkan surat cara amanah bertarikh 9 Mei 2008 sebagai tidak sah supaya harta tersebut dikembalikan sebagai harta pusaka ibu mereka.

Setakat ini, Kum Ying dan Kam Sang masih belum memfailkan pembelaan atau memorandum kehadiran mereka di mahkamah.

Anak-anak Audrey juga menamakan Ravindra Kumar dan Sasedharan Vasudevan yang juga pemegang saham Telus Harta sebagai defendan.

Difahamkan, Telus Harta memfailkan saman berasingan terhadap anak lelaki Audrey, Teik Chong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Oktober 2021, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa syarikat itu adalah pemilik sah tanah tersebut dan perintah untuk Teik Chong memindahkan milikan tersebut. - The Vibes, 6 Mei 2023

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

X50 Bertembung Lori ‘Tipper’, 6 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Tersalah Tekan Pedal Minyak, Wanita 61 Tahun Pandu Posche Rempuh Lobi Hotel

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Konflik Rumah Tangga Bertukar Tragedi, Lelaki Rohingya Maut Ditikam

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Kebakaran Pusat Hiburan, Pasukan Bomba Masih Jalan Kerja "Overhaul" Di Lokasi

Sorotan

1

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

2

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

3

Op Soga XI: 58 Ditahan, Polis Perhebat Tindakan Terhadap Sindiket Judi Piala Dunia 

4

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

5

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Minta, Terima Rasuah RM1.45 Juta

oleh Sophia Ahmad

Semasa 10 jam yang lalu

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 5 jam yang lalu

Mahkamah Tinggi KL Batal Sapina Terhadap Anwar

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 1 hari yang lalu

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

oleh Amirah Abu Bakar