Berita Terkini

49 minit yang lalu: Finas sasar lebih banyak penyertaan syarikat tempatan pada Marche Du Film tahun depan 51 minit yang lalu: 8 Barangan keperluan tersenarai di bawah SHMMP Gawai dan Kaamatan 2 jam yang lalu: Harimau di Kemensah: Polis tahan lelaki Bangladesh, disyaki sebar berita palsu 5 jam yang lalu: Mayat kedua pendaki Gunung Suku ditemukan selepas seminggu 5 jam yang lalu: KPDNHEP akan hantar ayam ke kawasan kurang bekalan

IKUTI KAMI


Tutup Premis Disenarai HIDE, Keputusan Kerajaan Semakin Membingungkan

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 May 2021 7:59AM

Gambar sekadar hiasan - Gambar oleh Sadiq Asyraf

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - COVID-19 semakin bermaharajalela di Malaysia dan tidak ada petanda menunjukkan ia akan reda dalam masa terdekat.

Harapan untuk melihat negara kembali pulih masih samar, malah terdapat petunjuk jelas bahawa jentera perubatan kini di ambang bahaya apabila peratusan pesakit kian bertambah, sedangkan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) terus berkurangan.

Pertumbuhan ekonomi masih jauh dari memberangsangkan dan dalam keadaan negara berdepan ancaman virus maut ini, impian untuk melihat ia kembali ke landasan masih jauh dari jangkauan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) terpaksa dilaksanakan, selepas bilangan kes terus melonjak naik sedangkan petugas barisan hadapan kian lelah menghadapi penularan virus dengan pelbagai varian baharu.

Semua situasi ini membawa rakyat berpatah balik kepada satu persoalan utama, apa tindakan kerajaan?

Hati sungguh mahu memuji, tetapi ternyata sukar untuk berbuat demikian kerana apa yang dihidangkan barisan pemerintah ketika ini sungguh menjengkelkan.

Keputusan pusingan U, pendirian pihak berkuasa yang saling bercanggah dan tindakan perundangan memilih kasta jelas mengecewakan pelbagai pihak.

Kenyataan demi kenyataan diberikan, hanya untuk disangkal atau ditarik semula sejurus selepas itu mencetuskan pelbagai kekeliruan, lantas mendorong objektif yang mahu disampaikan kandas di tengah jalan.

Terbaru, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, semua premis dan lokasi yang disenaraikan dalam sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bukan kluster penyebaran COVID-19.

Beliau sebaliknya memberitahu, kesemua premis berkenaan bagaimanapun berpotensi menjadi kluster jika langkah pencegahan tidak diambil sedari awal.

Kenyataan itu membuatkan semua peniaga lega seketika selepas nafas masing-masing seakan tersekat di tenggorok, apabila melihat premis mereka tersenarai sebagai “kawasan panas” COVID-19.

Berita tersebut mengimbangi “kegemparan” yang wujud susulan keputusan “pusingan U” kerajaan sebelum itu, berhubung prosedur operasi standard (SOP) ke atas aktiviti sukan dan riadah di luar rumah.

Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tiga hari lalu memutuskan untuk menguatkuasakan larangan ke atas semua kegiatan sukan dan riadah di luar rumah, selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Justeru, amat menakjubkan apabila dengan sedikit rayuan Kementerian Belia dan Sukan, perintah terbabit ditarik semula, sekali gus menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Apa sudah jadi? Mengapa sekejap begini, sekejap begitu? Di mana pendirian pihak berkuasa?

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari kerana episod seakan sama nampaknya berulang lagi susulan pengumuman dibuat Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang memerintahkan semua premis tersenarai dalam HIDE ditutup serta merta selama tiga hari.

Arahan mendadak itu amat mengejutkan, khususnya di kalangan peniaga yang baru hendak menarik nafas lega selepas membaca kenyataan dibuat Khairy sebelumnya.

Penguasaha sebuah kedai cenderamata yang hanya mahu dikenali sebagai Jenny berkata, perniagaannya menjunam begitu teruk selepas Malaysia mula dilanda ancaman COVID-19, khususnya apabila beliau berdepan kesukaran untuk mengimport barangan dari luar negara.

Pelaksanaan PKP 1.0 katanya, benar-benar memberi kesan apabila tiga daripada lima pekerja dimiliki terpaksa diberhentikan kerana syarikat kekurangan dana untuk melunaskan gaji mereka.

“Saya fikir keadaan sudah beransur pulih, kerana kebenaran sudah diberikan untuk pusat membeli belah kembali beroperasi walaupun ketika PKP 2.0 dilaksanakan.

“Dengan ketibaan musim perayaan, saya dapat lihat kedai yang diusahakan ini kembali menerima sambutan, apabila orang ramai rancak membuat tempahan cenderamata sebagai hadiah untuk keluarga tersayang,” katanya kepada Getaran.

Ibu tunggal berusia 52 tahun itu bagaimanapun berkata, hatinya luruh sebaik mendengar pengumuman dibuat Ismail Sabri, apatah lagi mereka langsung tidak menerima sebarang makluman awal berhubung perkara tersebut.

“Duduk di atas kayangan tak sama dengan golongan bawahan seperti kami. Hidup kami berbekalkan tulang empat kerat, bukan boleh bermewah-mewah.

“Ambil tindakan biarlah mengenang nasib kami yang di bawah. Kalau kepada kerajaan sendiri rakyat tidak boleh bergantung harap, siapa agaknya yang akan membela,” katanya sedih.

Pedih mendengar luahan perasaan Jenny, namun pastinya perit lagi kesan dirasakan peniaga yang terlibat dengan arahan mendadak itu.

Tambah membingungkan, majoriti mereka sama sekali tidak diberitahu lebih awal berhubung penutupan berkenaan.

Seorang pengusaha restoran makanan barat yang enggan dikenali berkata, premisnya masih beroperasi seperti biasa malah baru menerima stok bahan mentah untuk semua menu disediakan.

“Kalau kerajaan ada perasaan bertimbang rasa, mereka boleh memberi maklumat awal kepada kami, jadi tidaklah perlu kami mengeluarkan sejumlah besar wang untuk membawa masuk stok makanan mentah.

“Restoran saya hanya menggunakan bahan segar bagi memastikan kualiti makanan tidak terjejas. Sekarang jika diarah tutup, apa yang akan terjadi dengan semua stok ini? Bolehkah saya menuntut ganti rugi?” katanya, marah.

Jenny dan pengusaha restoran berkenaan hanya sebahagian daripada sejumlah besar peniaga yang diyakini menerima tempias secara langsung dek keputusan kerajaan itu.

Selepas lebih setahun Malaysia bergelumang dengan pandemik COVID-19, sukar diterima akal apabila sejumlah besar pendekatan diambil selama ini tak ubah bagai melepas batok di tangga.

Yang di atas akan kekal tidak tergugat, tetapi marhaen dan rakyat jelata terpaksa menelan sekian banyak penderitaan demi meneruskan sebuah kehidupan.

Bilakah agaknya barisan pemerintah akan mengambil iktibar daripada kesusahan ditanggung rakyat?

Sudah lama melayah di langit, apalah salahnya sesekali menjengah ke bumi kerana bukan semua padang sama berumput hijau.

Ada yang kuning, kering kontang dibakar kemarau. - Getaran, 9 Mei 2021

Berita Berkaitan

1

TARA 12 jam yang lalu

Lebih 100,000 Individu Dapatkan Khidmat Sokongan Mental MIASA Sejak Ogos 2020

2

Filem & TV 1 hari yang lalu

Banyak Perkara Boleh Ditawarkan Malaysia Kepada Syarikat Penerbitan Luar - Penerbit

3

Semasa 2 hari yang lalu

KJ Tabik Masih Ramai Rakyat Amalkan SOP

4

Semasa 2 hari yang lalu

COVID-19, Kes Harian, Kematian Kembali Meningkat

Sorotan

1

Hapuskan Subsidi Bakal Menambahkan Masalah Sedia Ada - Pakar

2

Sukan SEA: Rekod Kebangsaan Muhammad Erry Tidak Cukup Untuk Cabar Rahmat

3

Hikmah Di Balik Mengurus, Mengemas Dan Membuat Kerja Rumah

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Keputusan Kes Saman RM100 Juta Keluarga Altantuya Pada 30 Ogos

Semasa 1 jam yang lalu

Kekurangan Ayam, KPDNHEP Hantar Bekalan Ke Kawasan Stok Terhad

oleh Farhana Farush

Semasa 1 hari yang lalu

Rasuah RM300, Bekas Ketua Balai Polis Dipenjara 2 Bulan

Semasa 1 hari yang lalu

Kes Pinda Laporan Audit 1MDB: Pendakwaan Mahu Arul Kanda Jadi Saksi