Berita Terkini

2 jam yang lalu: Malaysia destinasi mesra Muslim terbaik OIC 2 jam yang lalu: Bali keluar panduan etika untuk pelancong 2 jam yang lalu: Bursa Malaysia akan ditutup pada 5 Jun sempena cuti umum Hari Keputeraan Agong 2 jam yang lalu: Dua remaja ditemukan lemas di Sungai Pahang 2 jam yang lalu: Zambry mulakan lawatan kerja ke Perancis dengan bertemu rakan sejawatan Catherine Colonna

IKUTI KAMI


Benar Kata PM, KWSP Hanya Patut Dikeluarkan Selepas Bersara – MTUC

Semasa Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 27 Mar 2023 7:07PM

MTUC menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri di Parlimen bahawa prinsip caruman KWSP adalah untuk simpanan hari tua - Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali kelima adalah langkah popular jangka pendek untuk mendapatkan sokongan rakyat tanpa memikirkan kesan masa depan pencarum.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihak terbabit tidak memikirkan impak terhadap pekerja selepas bersara dan pembangunan ekonomi negara.

Katanya, ia juga tidak mengikut Rancangan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Emas (RTKWE) yang bertujuan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial bagi golongan tua.

“KWSP adalah satu daripada perlindungan terbaik untuk warga emas.

“Berdasarkan bancian 10 tahun, iaitu 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat 6.8 peratus berbanding lima peratus dan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu, bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030,” katanya.

Justeru, beliau berkata, MTUC menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bahawa prinsip caruman KWSP adalah untuk simpanan hari tua.

Katanya, benar apa diperkatakan Perdana Menteri bahawa simpanan itu hanya boleh dikeluarkan apabila sudah bersara, selaras Akta KWSP dan asas kewujudannya.

Mohd Effendy berkata, fakta bahawa seramai 6.7 juta pencarum berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 perlu diberi perhatian serius dan golongan itu harus dibantu agar tidak terbeban di hari tua.

“Kerajaan sewajarnya memikirkan inisiatif lain untuk membantu golongan pekerja dan bukannya membenarkan pengeluaran KWSP.

“Kenyataan bahawa kesemua negara lain yang terdahulu membenarkan pengeluaran simpanan hari tua, tetapi kini memberhentikannya, harus memberi pedoman kepada kita bahawa ini bukan cara penyelesaian baik dan wajar diikuti Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MTUC berpendirian semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk membangunkan ekonomi negara, bukannya bertindak demi kepentingan tertentu.

“Penyelesaian jangka panjang bagi kita ialah mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta untuk mengurangkan belanja sara hidup, malah paling penting memastikan kita mempunyai mekanisme gaji progresif yang mengambil kira upah sara hidup (living wage).

“Sekali lagi MTUC menegaskan bahawa caruman KWSP adalah untuk simpanan hari tua dan tuntutan pengeluaran untuk kali kelima tidak wajar dalam keadaan semasa,” katanya.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, pelbagai pihak terus mendesak Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar mempertimbangkan pengeluaran KWSP bagi membantu mengurangkan bebanan pencarum.

Bagaimanapun, Anwar menolak permintaan itu atas alasan KWSP adalah simpanan hari tua yang amat penting untuk masa depan mereka.

Malah, dalam Belanjawan 2023, Anwar tidak mengumumkan pengeluaran dana KWSP bersasar seperti diharapkan segelintir rakyat dan diperjuangkan beberapa pihak, sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan bagi menampung kelangsungan kehidupan akibat masalah kewangan dialami mereka.

Sebaliknya, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.

Pengumuman itu mencetuskan persoalan adakah kerajaan masih tidak memahami kesusahan teruk dihadapi rakyat, khususnya B40 ekoran masalah ekonomi ketika ini.

Ia sekali gus menyebabkan rakyat melahirkan kekecewaan, termasuk di media sosial, malah badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik terus menggesa supaya kerajaan mempertimbangkan semula tuntutan untuk pengeluaran KWSP itu.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika menjawab pertanyaan media pada 9 Februari lalu mengenai adakah beliau akan mempertimbangkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023 berkata, kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan itu.

Katanya, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

Sepanjang April 2020 hingga Disember 2021, kerajaan membenarkan empat pengeluaran KWSP, iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas KWSP bernilai RM10,000 membabitkan sejumlah RM145 bilion dengan 1.8 juta pencarum. – Getaran, 27 Mac 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Kerajaan Sentiasa Dukung Usaha Bentuk Kerukunan Rakyat - PM

2

Semasa 5 hari yang lalu

Rombakan Kabinet Hak Mutlak, Budi Bicara Perdana Menteri - Ahmad Zahid

3

Semasa 6 hari yang lalu

HAWANA 2023 Himpun Lebih 1,000 Pengamal Media Di Perak

4

Semasa 1 minggu yang lalu

PM Seru Ulama Perlu Berani Buat Teguran Kepada Kerajaan

Sorotan

1

Isu kontrak CEO FINAS Ditamatkan Lebih Awal Bukanlah Suatu Kes Unik - Kamil Othman Ulas

2

FINAS: Penamatan Khidmat Dr Md Nasir Keputusan Lembaga Pengarah - Fahmi

3

Lelaki Didakwa Bunuh Teman Wanita Hamil

Disyorkan untuk anda

Semasa 2 jam yang lalu

Bantuan Kerajaan Persekutuan Bantu Percepat Pelan Sabah Tangani Krisis Air - Hajiji

Semasa 6 jam yang lalu

Teliti Semula Syarat Tetapkan Pemaju Perumahan Sedia Rumah Mampu Milik

Semasa 1 hari yang lalu

Pembantu Jho Low Meninggal Dunia Akibat Serangan Strok Mengejut - Peguam

oleh Wartawan Getaran

Semasa 5 jam yang lalu

Yayasan Perlu Tingkat Keupayaan Dana Melalui Pelaburan, Perniagaan - PM