KUALA LUMPUR - Kenaikan ketara kos bahan mentah menyebabkan majoriti peniaga bazar Ramadan tahun ini tiada pilihan dan terpaksa menetapkan harga baharu yang lebih tinggi untuk jualan.
Tinjauan Getaran di Bazar Ramadan Putrajaya mendapati, ikan bakar yang sebelum ini dijual antara RM10 hingga RM14 naik kepada RM16, manakala nasi ayam dijual pada harga RM8 sebungkus, berbanding RM6 hingga RM7 pada tahun terdahulu.
Kenaikan itu turut berlaku ke atas kuih muih, terutama yang mengandungi telur.
Kebanyakan peniaga ketika ditemui juga mengakui terpaksa menaikkan sedikit harga makanan bagi membolehkan mereka menampung modal perniagaan dan meraih sedikit keuntungan.
Bagaimanapun, apa yang melegakan peniaga adalah peningkatan harga makanan di bazar itu masih dianggap berpatutan oleh orang ramai kerana mereka memahami situasi dihadapi.

Peniaga ikan bakar, Zamree Abdul Ghani, 50 berkata, terdapat beberapa ikan yang terpaksa dinaikkan harga sebanyak RM2 berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, kualiti dan kuantiti saiz makanan dijual masih dikekalkan.
"Hanya cencaru, siakap dan pari sahaja kita kekalkan harga, itu pun bergantung pada pembekal. Jenis ikan lain terpaksa kita naikkan sehingga RM2 berbanding tahun dahulu berikutan kos hidupan laut terbabit telah meningkat.
"Bukan hanya itu sahaja, bawang, cili serta pelbagai bahan yang digunakan untuk perapan sos, semuanya mengalami peningkatan.
"Sebab itu saya terpaksa naikkan harga. Jika tidak, saya tidak akan merasai keuntungan daripada hasil jualan. Kita berharap tiada lagi kenaikan harga barang berlaku sepanjang Ramadan ini kerana amat membebankan peniaga," katanya ketika ditemui Getaran, di sini hari ini.
Dalam pada itu, peniaga martabak dan roti John, Jummiati Ilyas, 51 berkata, harga ayam yang meningkat di pasaran turut memberi kesan terhadap makanan dijualnya.
Situasi itu, jelasnya, menyebabkan dia perlu menaikkan harga jualan martabak dari RM4 kepada RM5 sekeping, manakala roti John dijual sehingga RM6.
“Kenaikan ini disebabkan kos bahan mentah mahal. Pembekal ayam dan daging lembu turut menaikkan harga, malah telur juga mengalami kenaikan mendadak.
“Kalau ikutkan memang kita nak letak harga lebih tinggi, namun kita fikirkan pengunjung. Kesian dan tak sampai hati pula kita untuk letak harga lebih mahal, takut nanti tiada orang nak membelinya,” katanya.

Peniaga air, Zam Jauhari, 43, pula berpendirian sebaliknya apabila nekad mengekalkan harga seperti tahun sebelum, meskipun dihimpit kenaikan harga barang.
"Kita akan mengalami kerugian jika kita kekalkan harga sama sebenarnya sebab ais tahun lalu RM3 untuk satu plastik besar. Sekarang ini dah naik RM4, belum lagi cerita tentang kenaikan harga buah dan juga kordial.
"Memang sangat rasa serba salah untuk kita naikkan harga walaupun sedikit. Justeru, daripada kita alami kerugian yang lebih teruk, air kita tiada orang beli, lebih baik kekalkan sahaja air dengan harga RM5," katanya.
Pendirian senada diluahkan peniaga cucur udang, Mohd Faisal Ajis, 39, yang berkata, keputusan mengekalkan harga seperti tahun lalu itu dibuat atas dasar pelanggan harus diutamakan.
Jelasnya, saiz hidangan juga masih dikekalkan kerana bimbang pelanggan akan lari, sekali gus menyebabkan beliau mengalami kerugian.

"Keadaan sekarang memang mencabar bagi peniaga makanan termasuk saya kerana harga bahan mentah seperti udang, telur atau tepung semakin tinggi.
"Tetapi saya tidak akan menaikkan harga makanan yang dijual, iaitu masih sama RM10 untuk hidangan tiga atau empat orang kerana yang penting, kepuasan pelanggan harus diutamakan, tambahan pula berniaga di bazar Ramadan ini hanya setahun sekali," katanya.
Sementara itu, sambutan terhadap bazar Ramadan di Putrajaya pada hari pertama puasa sangat menggalakkan dan kebanyakan pengunjung tetap membeli seperti biasa walaupun berlaku kenaikan harga.
Pengunjung, Nurul Hidayah Mohamed, 37 mengakui berlaku kenaikan harga makanan berbanding tahun sebelumnya namun dia tetap teruja untuk membeli.

"Memang ada sedikit kenaikan dan kita faham kerana kos bahan mentah pun naik. Namun saya tetap membeli seperti biasa dan hari ini saya membeli lemak lembu bakar serta pelbagai kuih muih.
"Asalkan harga tidak naik terlalu tinggi, kita tetap beri sokongan kepada peniaga," katanya.
Seorang pekerja swasta, Aqil Syakir, 25 turut mengakui perkara sama dan dia mengambil pendekatan dengan meninjau harga terlebih dahulu sebelum membeli.
"Apapun, kita sebagai pembeli perlu bijak dalam berbelanja. Saya yakin di bazar Ramadan lain pun sama situasinya kerana kos bahan mentah meningkat,” katanya. - Getaran, 23 Mac 2023.