KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen, Khalid Abdul Samad yang berusaha untuk menamatkan darurat.
Istana Negara telah menghantar satu surat kepada Khalid pagi ini, lapor Malaysiakini memetik sumber.
Surat itu menyebut Agong telah bersetuju untuk menerima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat, supaya mereka boleh menyampaikan satu memorandum kepada baginda. Waktu dan tarikh menghadap akan ditentukan kemudian hari.
“Saya akan mengeluarkan satu kenyataan media pada pukul 2 petang,” Khalid dipetik sebagai berkata
Dua hari lalu, jawatankuasa itu, Khalid, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyerahkan memorandum kepada Istana, memohon menerima menghadap untuk berbincang tentang menamatkan darurat.
Memorandum itu telah diserahkan kepada Agong oleh setiausaha sulit kanan.
Ini adalah kali kedua jawatankuasa tersebut menyerahkan permohonan untuk menghadap Agong dengan Khalid berbuat demikian pada 26 Mac lalu, namun tidak menerima maklum balas.
Khalid berkata, jika Istana Negara tidak memberikan maklum balas, jawatankuasa tersebut akan menyerahkan permohonan baharu dalam masa sebulan setengah.
“Kami akan membawa lebih banyak bukti yang darurat ini membebankan rakyat dan negara.
“Kami yakin Yang di-Pertuan Agong akan berkenan untuk menerima menghadap kerana kami mewakili rakyat,” katanya.
Bulan lepas, Khalid dan jawatankuasa tersebut melancarkan petisyen #TamatDarurat.
Beliau berharap dapat mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan menjelang Ramadan dan menyampaikan memorandum itu kepada Agong.
Selain Khalid dan individu lain, penggubal undang-undang terlibat dalam jawatankuasa itu adalah:
- Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang)
- Datuk Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar)
- Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
- Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
- Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)
- Maria Chin Abdullah (Ahli Parlimen Petaling Jaya)
- Datuk Marzuki Yahya (Senator)
- Aiman Athirah Sabu (Senator)
Petisyen tersebut juga mendapat sokongan lebih 100 kumpulan awam. - Getaran, 22 April 2021
