TAWAU - Dua warga Indonesia ternyata tidak serik dengan hukuman penjara di negeri ini, apabila dicekup sekali lagi ketika cuba menceroboh sempadan negara di Serudong, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua lelaki berkenaan, masing-masing berusia 35 dan 46 tahun itu pernah diusir keluar dari Sabah pada 12 April lalu atas kesalahan berada di negara ini secara haram.
Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan ke atas mereka mungkin tidak cukup memberikan pengajaran apabila mereka dikesan menceroboh semula empat hari kemudian.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, suspek dipercayai bergerak masuk semula di kawasan Serudong yang terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia menggunakan laluan tikus.
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia Kem Lok Kawi menerusi kenyataan media berkata, pihaknya yang sedang melakukan Ops Benteng di lokasi kejadian berjaya mengesan pergerakan suspek.
“Ketika serbuan dilakukan, seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya berjaya melarikan diri semula ke sempadan negara.
“Bagaimanapun, suspek kedua dikesan semula masuk ke daerah ini lima jam kemudian selepas dia dipercayai yakin tiada pasukan keselamatan di situ,” kata kenyataan itu.
Namun, langkah kiri menanti apabila dia ditahan pihak berkuasa yang kebetulan masih berada di situ kerana sedang menunggu bantuan kenderaan.
“Hasil siasatan kedua-dua suspek pernah ditahan dan diusir dari Malaysia awal minggu ini.
“Mereka mendakwa terpaksa menceroboh masuk semula ke Tawau untuk bekerja di sebuah ladang di Kalabakan,” katanya.
Sehubungan itu, kedua-dua suspek dihantar ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut. - Getaran, 18 April 2021

