KUALA LUMPUR - Kenyataan pimpinan PAS sejak kebelakangan ini yang berterusan dengan ilusi bahawa Muafakat Nasional (MN) masih wujud, merupakan isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berpandangan, perkara itu berkemungkinan bertitik tolak daripada jangkaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berhubung potensi tinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, ia ditambah dengan beberapa pandangan politik bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan berada di persimpangan cukup genting dan berisiko besar untuk kehilangan banyak kerusi, terutama kerusi Ahli Parlimen yang melompat dari UMNO dan PKR.
Sekiranya itu berlaku, jelas beliau, sudah tentu PAS dengan berbekalkan kemenangan 18 kerusi Parlimen, tidak akan mampu untuk mengulangi strategi sama sebagai ‘king maker’ dalam sesi tawar menawar bagi membentuk kerajaan.
“PAS tidak peduli walaupun pujukan kepada UMNO untuk aktifkan kembali MN dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong apabila Presiden UMNO sendiri mengeluarkan kenyataan balas bahawa kerjasama MN yang PAS sampaikan, hanya satu kerjasama politik dangkal.
“Ini kerana PAS sudah mengkhianati UMNO dan sentiasa ‘main dalam beberapa kolam’.
“Namun demi survival politik, PAS relakan juga tindakan sebegitu,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, Salahuddin menambah, faktor itu juga mungkin menjawab mengapa PAS memilih untuk memberi fokus kepada 27 kerusi yang berkemungkinan bertembung dengan UMNO, sehingga ingin menamakannya sebagai ‘Kerusi Muafakat Nasional’.
Secara tidak langsung, dakwanya, ia membuka pekung sebenar PAS yang mementingkan diri sendiri dan meninggalkan BERSATU ‘terkontang-kanting’.
Sehubungan itu, jelas beliau, sikap, pandangan dan kenyataan pimpinan PAS kebelakangan ini tidak lebih dari sekadar menyerlahkan tingkah laku gerombolan yang terlalu takut kehilangan jawatan lantaran seronok di puncak kuasa.
Menurutnya, tidak mustahil PAS akan kembali ‘berpelukan’ dengan UMNO selepas PRU-15 dan meninggalkan BERSATU.
“Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada penyokong BERSATU yang ikhlas meninggalkan UMNO kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN), adakah mereka merelakan negara ini diperkotak-katikkan lagi dengan permainan UMNO-PAS ini?” soalnya.
Justeru, beliau berpendapat, rakyat yang ikhlas menolak UMNO demi Malaysia yang lebih baik perlu bersama dalam gerakan yang diperjuangkan PH untuk kita perbetulkan kembali Malaysia.
“Langkah ini agar berada di atas landasan tepat pemulihan ekonomi, pendidikan, membasmi kemiskinan, mewujudkan pentadbiran negara yang bersih dan berintegriti,” katanya. - Getaran, 3 September 2022

