web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Pasar Bisik Kuala Muda, Tradisi Dagangan Yang Masih 'Berbisik' Di Tengah Arus Moden

Pasar Bisik Kuala Muda semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti yang menawarkan pengalaman kepada pengunjung untuk melihat sendiri kehidupan harian nelayan di kawasan Jerai Geopark

Jelajah Dikemaskini 9 minit yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jun 2026 1:30PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam era urus niaga digital yang semakin pantas, sebuah tradisi perdagangan berusia puluhan tahun di Kuala Muda kekal hidup menerusi satu amalan yang bertentangan dengan kebiasaan zaman moden iaitu berbisik.

Tiada papan elektronik memaparkan harga, tiada suara lantang memanggil pembeli, malah tiada proses tawar-menawar secara terbuka. Sebaliknya, beberapa individu dilihat menghampiri nelayan yang baru mendaratkan hasil laut sebelum membisikkan sesuatu ke telinga mereka lalu beredar menunggu keputusan.

Itulah identiti Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani, yang terkenal dengan sistem bidaan secara rahsia antara nelayan dan pembeli, sekali gus menjadikannya antara produk pelancongan komuniti paling unik di Kedah.

Penyelia Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda, Mohd Izwan Abd Majid yang telah berkhidmat di kompleks itu selama 14 tahun berkata keunıkan pasar berkenaan terletak pada sistem urus niaga yang membolehkan pembeli, peraih dan pengunjung berurusan secara terus dengan nelayan tanpa melalui orang tengah.

"Di sini sistemnya terbuka. Peraih boleh beli terus daripada nelayan, begitu juga pengunjung awam. Sebab itu ramai yang datang untuk mendapatkan bekalan segar dan melihat sendiri bagaimana sistem unik ini berjalan," katanya kepada Bernama sempena program Surreal Experience In The North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara baru-baru ini.

Mohd Izwan berkata kompleks milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang diuruskan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda itu ditubuhkan selepas tragedi tsunami pada 2004 dan beroperasi setiap hari kecuali pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Menurut beliau, kompleks itu menjadi nadi ekonomi kepada 600 nelayan berdaftar dengan 85 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia berumur 40 tahun ke bawah, selain mempunyai 800 peraih ikan dan 370 bot yang berdaftar di bawah persatuan berkenaan.

"Hasil tangkapan yang didaratkan di sini melebihi 100 tan sehari dan dibekalkan ke pelbagai lokasi termasuk Batu Pahat, Johor, menjadikan pasar ini antara pusat pengedaran hasil laut penting di utara Semenanjung," katanya.

Pada masa sama, katanya Pasar Bisik Kuala Muda semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti yang menawarkan pengalaman kepada pengunjung untuk melihat sendiri kehidupan harian nelayan di kawasan Jerai Geopark.

"Walaupun kami berdepan cabaran hasil tangkapan yang semakin berkurangan, kami berharap keunikan pasar ini akan terus dipelihara menerusi penambahbaikan kemudahan serta promosi digital bagi menarik lebih ramai pengunjung," katanya.

Bagi peraih tempatan Zainudin Abdul Majid, 52, yang telah 13 tahun mencari rezeki di kompleks berkenaan, sistem bidaan secara rahsia itu mewujudkan persaingan yang adil dalam kalangan peraih.

"Siapa yang tawar harga lebih tinggi akan dapat barang itu, kemudian kami jual semula mengikut harga pasaran dan keadaan tempat masing-masing," katanya yang memasarkan sekitar 200 kilogram (kg) hasil laut setiap hari.

Sanggup memandu hampir sejam dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, Rokiah Hamad, 58, yang mengunjungi Pasar Bisik Kuala Muda sekurang-kurangnya dua minggu sekali, menyifatkan sistem urus niaga secara berbisik memberi kebebasan kepada pembeli menentukan sendiri harga yang dirasakan berbaloi.

"Kalau rasa harga berbaloi dengan saiz dan kesegaran ikan, kita beli. Kalau mahal, kita tak ambil. Sistem ini sangat adil sebab pembeli boleh menentukan sendiri harga yang dirasakan berbaloi sebelum membuat keputusan secara sukarela tanpa ada paksaan," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Umi Kalsum Darus, 60, dari Kampung Simpor Kecil di sini, yang memilih Kompleks Pasar Bisik Kuala Muda sebagai lokasi utama mendapatkan bekalan dapur berbanding pasar awam biasa kerana faktor penjimatan yang ketara.

"Hari ini saya beli ketam dan ikan hampir dua kg dengan harga RM25 sahaja. Kalau di pasar biasa, satu kg ketam sahaja boleh mencecah hampir RM38. Sebagai suri rumah, perbezaan harga ini sangat besar dan membantu menjimatkan perbelanjaan harian keluarga," katanya. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah Ditemukan Lemas Di Sungai

2

Semasa 2 hari yang lalu

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Ejen Hartanah Tikam Leher Wanita Diperintah Jalani Penilaian Psikiatri

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Ejen Hartanah Tikam Leher Ibu Tunggal Didakwa Di Mahkamah 

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas