Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


COVID-19 Berleluasa, Kampung Morten Sepi Tak Bermaya

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Mar 2021 3:34PM

Kampung Morten kini sepi tanpa kehadirian pelancong susulan penularan virus COVID-19.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

MELAKA - Digelar The Living Museum, Kampung Morten adalah  destinasi wajib disinggahi pelancong yang datang ke negeri Hang Tuah ini, untuk melihat sendiri keunikan reka bentuk serta merasai suasana kehidupan zaman silam.

Gelaran itu dikatakan diberi kerana cara hidup penduduk kampung terbabit tidak banyak berubah dan masih mengekalkan tradisi Melayu, termasuk reka bentuk kediaman dan landskap, khususnya pada binaan tangga batu yang sarat dengan keunikan setiap jubin digunakan.

Walaupun sudah melewati beberapa generasi, identiti Kampung Morten masih tersergam indah dengan reka bentuk dan keunikan yang ada pada pada binaan, membuatkan mereka yang memandangnya terpesona.

Lokasinya yang strategik kerana terletak di tengah bandar dan pesisir Sungai Melaka membuatkan ramai pelancong ingin meluangkan masa dan bermalam di situ, untuk merasai suasana kehidupan di kampung sehingga mendorong beberapa penduduk di Kampung Morten menyediakan perkhidmatan inap desa.

Bagaimanapun,  Kampung Morten yang dulunya meriah dengan kedatangan pelancong baik dari dalam dan luar negara, kini 'sepi' susulan pandemik COVID-19 yang bukan sahaja melanda negara tetapi menular seluruh dunia.

Jika sebelum ini, ada di antara pengusaha inap desa di Kampung Morten dikatakan 'tidak menang tangan' menerima tempahan daripada pelancong, namun sejak setahun lalu selepas dunia digemparkan dengan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedatangan pelancong mula terjejas.

Inap desa yang dulunya riuh dan meriah dengan penghuni serta terang dengan cahaya lampu berwarna- warni pada waktu malam, kini tertutup rapat dan setia menanti pengunjung untuk singgah bermalam.

Joret Ali
Joret Ali

Bagi pengusaha inap desa Warisan Hj Joret iaitu Joret Ali, 76, berkata, pandemik COVID-19 bukan sahaja membawa kepada norma kehidupan baharu malah turut menjejaskan pendapatan, apabila tiada langsung tempahan diterima daripada pelanggan.

"Kami pengusaha inap desa sehingga kini tiada menerima bantuan atau pampasan,"

Warga emas itu berkata, belum pun sempat bernafas sepenuhnya selepas PKP terdahulu, akhirnya pada 13 Januari PKP 2.0 pula dilaksanakan, membuatkan sektor pelancongan sekali lagi dihentikan buat sementara.

"Kebiasaannya pada cuti hujung minggu atau cuti umum akan ada tempahan walaupun hanya untuk satu malam, namun kini suasana itu tiada lagi. Tidak dinafikan selepas PKP terdahulu tamat ada tempahan diterima meskipun tidak serancak dahulu.

“Larangan untuk aktiviti merentas daerah yang masih belum dibenarkan sejak penamatan PKP 2.0 juga antara faktor yang menyebabkan sektor pelancongan teruk terjejas,” katanya.

Joret yang sudah mengusahakan perniagaan inap desa sejak hampir sedekad lalu berkata, beliau memutuskan untuk tidak mengambil sebarang wang pendahuluan setiap kali tempahan dibuat pelanggan, bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Dahulu saya memang ambil wang pendahuluan setiap kali ada tempahan pelanggan, tapi dalam keadaan tidak menentu sekarang ini, tidak lagi,” katanya.

Ujar datuk kepada 13 cucu itu, selain pelancong yang ingin merasai suasana kampung di inap desanya, ada juga yang turut mengadakan majlis perkahwinan di situ.

"Dalam resah menunggu pengunjung kembali, kenangan ragam dan kerenah pengunjung terdahulu menjadi pengubat walaupun ada yang kadangkala 'bakau darah'," katanya, tersenyum nipis.

Dalam perkembangan berkaitan, pengusaha inap desa Yunus Homestay, Mariam Osman, 57 pula berkata, beliau lebih mementingkan aspek keselamatan ketika membuka kembali tempahan, walaupun mengakui pendapatannya terjejas dengan agak besar.

Katanya, kali terakhir pihaknya menerima pengunjung menginap di inap desa ialah pada Oktober tahun lalu, dan walaupun ada tempahan diterima, beliau terpaksa menolak dengan cara baik.

"Terkesan memang terkesan apabila pendapatan yang mencecah ribuan ringgit hilang dalam sekelip mata, namun pada masa sama, saya bersyukur kerana tiada bebanan hutang perlu dijelaskan, cuma ada pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sewaktu kami melakukan kerja balik pulih pintu pagar dan pintu gerbang.

“Sebelum ini setiap kali cuti sekolah dan hujung tahun, kami tidak menang tangan menguruskan tempatan pelanggan, tetapi buat masa sekarang tidak lagi,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Mariam berkata, itu adalah pilihannya sendiri selepas mengambil kira faktor keselamatan.

“Yunus Homestay pada dasarnya masih menerima tempahan tapi saya tidak berani untuk menerima, kerana bimbang dengan tahap keselamatan susulan jangkitan kes COVID-19 yang masih tinggi,” katanya.

Beliau yang mesra dipanggil Kak Pah berkata, kerajaan diharapkan dapat meneruskan usaha meratakan lengkungan jangkitan COVID-19 kerana situasi demikian jika berpanjangan, akan memberi kesan kepada semua pengusaha sepertinya.  

"Kami pengusaha inap desa sehingga kini tiada menerima bantuan atau pampasan, apa yang kami harapkan sekurang- kurangnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat memberikan sedikit pampasan," katanya. – Getaran, 22 Mac 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

JWP Gerakkan Usaha Promosi Produk Pelancongan Domestik - Dr Zaliha

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Acara Pelancongan Negeri Sembilan Perlu Beri Impak Maksimum - Aminuddin

3

TARA 7 bulan yang lalu

Biarpun Kadar Tukaran Wang Tinggi, Rakyat Malaysia Masih Suka Ke Singapura

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Perbelanjaan Pelancongan Domestik Cecah RM59.2 Bilion Tahun Lepas

Sorotan

1

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

2

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

3

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

4

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

5

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

6

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

Semasa 1 hari yang lalu

Sultan Selangor Beri Perkenan Pembatalan Sambutan Ulang Tahun TLDM Jumaat Ini

oleh Fida Ruzki

Semasa 1 hari yang lalu

Hafizul Hawari Hadapi 7 Pertuduhan

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk