Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jadikan Tandas Sekolah Ruang Pembelajaran Etika, Perkukuh Nilai Kebersihan

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Apr 2022 3:22PM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Masalah tandas sekolah kotor bukan isu baharu, malah ianya sudah berlaku sejak berzaman.

Walaupun kita sudah memasuki abad ke-21, masalah itu bagaikan tiada noktah dan terus menghantui murid serta pelajar sekolah hari ini.

Kebanyakan murid sanggup menahan membuang air kecil gara-gara tandas kotor, menjijikkan dan berbau hancing.

Ternyata ia bukan satu tabiat sihat untuk diamalkan.

Mengapa isu tersebut masih berlaku? Apakah tiada jalan penyelesaian untuk menangani masalah serius itu?

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, isu tandas sekolah kotor tidak akan selesai sekiranya ia hanya dianggap sebagai satu kemudahan untuk membuang air kecil dan besar semata-mata.

Susulan itu katanya, tandas di sekolah perlu diangkat sebagai satu ruang pembelajaran bagi mendidik murid, khususnya di sekolah rendah mengenai aspek kebersihan.

Jelasnya, di ruang tersebut murid akan belajar mengenai etika berkongsi, nilai menghargai kebersihan dan tanggungjawab bersama.

“Isu tandas kotor dari zaman saya sekolah lagi memang berlaku. Saya melihat isu tandas sekolah ini sebagai sesuatu yang istimewa. Ia sebenarnya adalah ruang pembelajaran kebersihan.

“Kita kena faham begitu. Di sekolah semua tempat adalah ruang pembelajaran, termasuklah di tandas. Jadi sekolah kena angkat isu tandas sebagai satu ruang pembelajaran,” katanya kepada Getaran.

Mengakui amalan penjagaan kebersihan tandas sepatutnya bermula dari rumah, Anuar berkata, sekolah juga perlu memainkan peranan dari segi menormalisasi atau membudayakan etika tersebut dengan baik.

“Saya setuju soal kebersihan patut bermula dari rumah tapi di sekolah, tandas adalah tempat pengukuhan kepada latihan itu (kebersihan).

“Ada ibu bapa sangat mementingkan kebersihan tapi ada ibu bapa tak kisah sangat. Jadi bila di sekolah, mereka dapat peluang mengukuhkan etika guna tandas dengan betul,” katanya.

Sekiranya itu berlaku, beliau berkata, tidak mustahil etika penggunaan tandas dengan baik akan menjadi satu budaya dalam kalangan murid.

Dr Anuar Ahmad
Dr Anuar Ahmad

“Proses ini boleh diajar oleh guru misalnya pada waktu awal masuk sekolah, bawa murid-murid pergi ke tandas. Jadi mereka mula ada rasa prihatin dan sayang pada tandas yang bersih.

“Kita mulakan dari awal, jadi lama-lama murid akan terbiasa. Selepas itu mereka akan saling tegur-menegur jika keluar tandas tak basuh tangan. Jadi tabiat itu yang kita kena tanam di sekolah,” katanya.

Memberi contoh sekolah di Jepun, Anuar berkata, murid di negara matahari terbit itu sudah diajar mengenai penjagaan kebersihan tandas di sekolah semenjak dari kecil.

“Sebab itu di Jepun, kalau kita tengok murid-murid cuci tandas sekolah sendiri. Mereka tahu bahawa tandas itu tempat perlu dijaga kebersihannya, selain diajar bagaimana nak guna tandas dengan betul.

“Jadi itulah sepatutnya dipelajari murid-murid di negara ini. Itu juga sebahagian daripada pendidikan di sekolah rendah, mengenai pendidikan kesihatan dan kebersihan,” katanya.

Malah katanya, trend membersihkan tandas sekolah dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sebagaimana diamalkan di Jepun, sebenarnya boleh diaplikasikan di negara ini.

Namun, beliau tidak menolak amalan itu akan kurang dipersetujui segelintir ibu bapa yang beranggapan ia tugas menjijikkan.

“Saya tahu ada beberapa sekolah berasrama yang menanam amalan itu, tapi budaya kita khususnya ibu bapa tidak melihat membersihkan tandas itu tugas baik dan mulia.

“Mereka melihat ia tugas kotor dan menjijikkan, walhal sebenarnya membersihkan benda kotor itu perkara mulia. Pada saya itu sikap, budaya dan cara berfikir yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat tandas guru dan murid tidak sepatutnya diasingkan sebagaimana yang dicadangkan seorang pensyarah seperti tular baru-baru ini.

Katanya, tindakan pengasingan itu ibarat memberi petanda bahawa pihak sekolah gagal menguruskan isu kebersihan tandas dengan baik.

“Pada pendapat saya memang tak ada keperluan untuk membeza-bezakan. Kalau kita pergi ke tempat awam, semua tandas diguna sama sahaja.

“Tak ada bezapun, tapi mengapa di sekolah kita nak bezakan? Ini bermaksud apabila sekolah gagal mendidik pelajar untuk menggunakan tandas dengan baik, akhirnya apa mereka lakukan, mereka asingkan tandas guru dan pelajar,” katanya.

Susulan perkara itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan untuk tidak lagi mengasingkan tandas guru dan murid pada masa hadapan.

“Memang dari awal lagipun reka bentuk (pelan bangunan) memang ada tandas guru, justeru benda tu dah lama dilaksanakan. Jadi kita kekal dengan amalan itu.

“Cuma pada masa hadapan, kalau kita melihat tandas itu boleh dipusatkan, lebih cantik dan bersifat terbuka, jadi tidak ada keperluan untuk mengasingkannya,” katanya.

Anuar berkata, KPM juga perlu meneliti semula pelan lokasi kedudukan tandas yang sering dibina di hujung blok bangunan sekolah.

“Isu ini perlu diambil perhatian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang buat bangunan supaya memikirkan semula pelan kedudukan tandas di hujung blok yang saya rasa kurang sesuai.

“Pada saya itu reka bentuk lama. Lokasi sebenarnya lebih sesuai di tengah supaya pencucian mudah dilakukan dan kawasan itu lapang, tidak tertutup, jadi lebih mudah diurus,” katanya.

Beliau berkata, selain sekolah, pihak kementerian juga perlu memberi perhatian serius terhadap isu tersebut.

“Bagus jugalah kalau menteri sekali sekala bila beliau melawat sekolah, dia pun buat ‘spot check’ (pemeriksaan mengejut) tandas sekali. Begitu juga Ketua Pengarah Pendidikan atau Pengarah Pendidikan Negeri, pergi sekolah jangan pergi tandas guru sahaja, cuba tengok sekali tandas pelajar.

“Jadi dengan gaya kepimpinan begitu, semua sekolah akan ambil perhatian isu kebersihan tandas. Bila ini berlaku, jangan kata tandas guru, tandas pelajar pun dibersih dengan baik. Saya rasa itu budaya yang perlu kita lakukan,” katanya. - Getaran, 20 April 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

97.8 Peratus Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah Siap Sepenuhnya

2

Pendidikan 3 bulan yang lalu

Tandas Baharu Sekolah, Bangkitkan Paradigma Pelajar

3

Pendidikan 6 bulan yang lalu

UPSR Tidak Akan Dilaksanakan Semula - Menteri

4

Semasa 6 bulan yang lalu

Terima Kasih Maryam, Saya Akan Percepat Selesaikan Masalah Tandas Sekolah - PM

Sorotan

1

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi

2

Pemohon Rayuan Haji Sudah Mula Terima Jawapan

3

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

4

El Nino: Bekalan Lembu, Kambung Korban Mencukupi – Mohamad

5

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

6

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

Disyorkan untuk anda

Politik 4 jam yang lalu

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 1 hari yang lalu

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

Semasa 10 jam yang lalu

Kenaikan Gaji Untuk Hargai Penjawat Awam Termasuk Bomba - PM

Politik 2 jam yang lalu

Jentera UMNO Wajib Kerja Keras Menangkan Calon Perpaduan Di KKB

oleh Rafisqi Radhi