web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


MH370, Misteri Tak Berkesudahan Sebuah Pesawat

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Mar 2021 5:36PM

Seorang lelaki berdiri di depan sebuah papan iklan yang tertera mesej memberi sokongan kepada ahli keluarga penumpang MH370 di Beijing pada 23 April 2014. - Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Mengelilingi perairan Vietnam dengan menaiki pesawat tentera udara negara itu ketika menyertai misi mencari MH370 barangkali antara pengalaman paling mencemaskan, sepanjang 23 tahun melakar kerjaya sebagai wartawan.

Misi berkenaan sebenarnya boleh dijatuh hukum sebagai ‘berani mati’ kerana penerbangan itu tidak dilindungi sebarang insurans atau jaminan keselamatan, sekali gus bermakna, media Malaysia yang mengikuti operasi berkenaan akan terkubur tanpa pembelaan, jika ada geruh berlaku.

Sesungguhnya inilah dunia kewartawanan, kadang kala perlu menolak tepi protokol dan keselamatan, menongkah yang pelik, menepis si jelik demi menghasilkan berita untuk tatapan pembaca.

Meski dianggap ‘berani mati’, kesempatan terbabit pada dasarnya adalah satu peluang keemasan, kerana bukan mudah bekas koloni Amerika Syarikat itu membuka pintu kepada pihak luar, apatah lagi jika ia bersangkut hal ehwal keselamatan.

Demi tugas, semua kerenah birokrasi pihak berkuasa di Hanoi ditelan jua dan disimpan di lubuk hati paling dalam, dengan harapan MH370 dapat ditemui, lantas membawa khabar gembira buat jutaan rakyat yang menanti penuh debaran.

Malangnya mimpi tetaplah sekadar mimpi, mustahil untuk menjadi realiti.

Sehingga misi terbabit berakhir dan kami diarah pulang ke tanah air, pesawat yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China itu masih gagal ditemui.

Selepas tujuh tahun, tragedi menimpa MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan kru kabin kekal sebagai misteri terbesar menyelubungi sektor penerbangan awam.

Pergi tanpa meninggalkan sebarang jejak, hilang ghaib seolah berada di dimensi lain, memahatkan nama MH370 dalam rantaian kisah misteri yang masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Mahu dikatakan terhempas, tiada pula bangkai pesawat, walaupun satu ketika dulu pernah diberitakan ada kepingan sayap Boeing 777 itu terdampar di Mauritius, nun beribu batu jauhnya dari Malaysia.

Mahu dikatakan dirampas pihak tertentu, pun tiada juga tuntutan tebusan atau permintaan tertentu, seperti selayaknya yang berlaku ke atas mana-mana kejadian seumpama itu.

Jika ada yang terlupa, MH370 dikhabarkan terputus hubungan, selepas 38 minit meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika berada di atas Laut China Selatan, tanggal 8 Mac 2014.

Pesawat Boeing 777 itu hilang dari radar Pengawal Trafik Udara (ATC) beberapa minit kemudian, namun isyaratnya sempat dikesan radar tentera serta didapati tersasar dari laluan, menyeberangi Semenanjung Malaysia dan Laut Andaman.

Misi pencarian pesawat terbabit mencatat rekod sebagai yang termahal dalam sejarah penerbangan, dengan fokus kepada Laut China Selatan dan Laut Andaman, sebelum data diperoleh dari Inmarsat menunjukkan ia berkemungkinan terhempas di selatan Lautan Hindi.

Selepas tiga tahun, operasi mencari merentangi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi masih gagal mengesan keberadaan sebenar MH370, menyebabkan ia digantung oleh Agensi Pusat Koordinasi Bersama (JACC) pada Januari 2017.

Pencarian kedua yang dilancarkan sebuah agensi swasta dikenali sebagai Ocean Infinity juga berakhir tanpa sebarang kejayaan selepas enam bulan.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kini Menteri Luar) yang pada ketika kejadian memangku portfolio Menteri Pengangkutan berkata, kejadian menimpa MH370 sememangnya adalah insiden amat tidak dijangka, apatah lagi permulaan penerbangan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kendala.

Latar belakang juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 dan Pembantu Juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27 sendiri tidak mengandungi sebarang perkara mencurigakan, walaupun pernah ada cubaan ‘nakal’ media asing yang cuba menyebarkan teori konspirasi berhubung peribadi Zaharie.

Buat seketika, MH370 menjadi isu hangat paling hangat didebatkan di seluruh dunia, tak kurang melahirkan ramai pakar jadi-jadian yang mengeluarkan pelbagai teori dan hujah, seolah-olah mereka lebih mengetahui apa terjadi.

Saban hari juga, rakyat Malaysia menunggu penuh debar ketibaan jam 5 petang, bagi mengikuti sidang akhbar harian Hishammuddin, semata-mata untuk mengetahui kisah dan nasib MH370.

Walang hati keluarga dan waris usah ditanya, retak berdarah mengalirkan luka tanpa henti, busuk bernanah mengenangkan nasib orang tersayang yang entah ke mana ghaibnya.

Ada yang menjadikan media sosial sebagai medan luahan perasaan, berkongsi gundah dan resah di hati, untuk mengharapkan seberkas sokongan netizen serta saling berbagi kekuatan.

Ketika ini juga MAS tampil mewujudkan kumpulan sokongan, bagi membantu menenteramkan hati keluarga penumpang dan kru kabin, yang menanti penuh harap secebis khabar gembira buat mereka.

Hari berganti minggu, minggu bertukar bulan, khabar baik MH370 tetap tak kunjung tiba.

Kekerapan sidang media juga turut berubah rentak; daripada setiap hari berubah menjadi beberapa hari seminggu, sebelum ia dihentikan sama sekali lantaran tiada perkembangan terkini yang positif diterima.

Rakyat terus tertanya-tanya, dan kerajaan mahupun pihak berkuasa juga hilang punca untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Apakah benar teori bahawa pesawat itu dirampas dan dibawa mendarat di Lapangan Terbang Diego Garcia? Atau betulkah semua penumpang dan kru kapal menjadi mangsa tekanan psikologi Kapten Zaharie yang nekad membawa semuanya membunuh diri?

Apapun kemungkinan sebenarnya berlaku, kehilangan MH370 abadi dalam deraian air mata semua keluarga mereka, yang barang kali sudah putus harap menanti kepulangan orang tersayang.

Entahkan hidup, entahkan mati, entahkan ditelan lautan gelombang, MH370 pergi meninggalkan memori penuh luka dan misteri yang masih tidak berjawab sehingga kini, mencipta duka tidak berkesudahan, pada waris nan ditinggalkan.

Kelip-kelip kusangka api,

Kalau api mana sumbunya,

Hilang ghaib kusangka mati,

Kalau mati, mana kuburnya? – Getaran, 8 Mac 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Malaysia Komited Mainkan Peranan, Desak Henti Serangan Ke Atas Rafah

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Malaysia Sambut Baik Resolusi PBB Gesa UNSC Timbang Semula Permohonan Palestin

3

Sukan 1 bulan yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Sorotan

1

PM Sampaikan Perutusan Negara 9 Malam Ini

2

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia Bergaya Melangkah Ke Suku Akhir

3

Cuba Ceroboh Masuk Istana Negara, 2 Individu Dipenjara 2 Bulan

4

Sharul Aimy Lakar Sejarah, Raih Pingat Sulung Negara Pada Kejohanan Asia

5

2 Gol Penang FC Batal, Akur Seri 0-0 Dengan Terengganu

6

Belum Sempat Sampai Rumah Dari KLIA, Suami Sarjan Faridah Terima Berita Pemergian Isteri

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

Bulan Sabit Merah Iran Sahkan Penemuan Helikopter Presiden Raisi Yang Terhempas

Semasa 1 hari yang lalu

Kematian Presiden, Menteri Luar Iran: Anwar, Mohamad Zahir Perasaan Duka

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Keluarkan Lakaran Wajah Suspek Simbah Asid Faisal Halim

Semasa 11 jam yang lalu

Cuba Ceroboh Masuk Istana Negara, 2 Individu Dipenjara 2 Bulan