Rata-rata masyarakat Malaysia pasti menyukai makanan yang mudah dimasak dan cepat dimakan seperti mi segera.
Ia merupakan hidangan paling mudah disediakan pada bila-bila masa dan antara jenama mi segera yang popular di pasaran ialah Maggi, Mamee Chef, Mi Sedaap, IndoMie dan banyak lagi.

Namun terdapat juga sesetengah individu yang mempunyai stigma bahawa makanan ini tidak sihat serta merbahaya. Mungkin betul kerana ia mengandungi kandungan Monosodium glutamat (MSG) yang tinggi terhadap serbuk perasa. Apatah lagi jika mi segera tersebut dimasak semata-mata menggunakan air dan bahan perencah yang disediakan sahaja.
Bahkan, baru-baru ini ni ada laporan mengatakan bahawa dua produk Mi Sedaap iaitu Korean Spicy Chicken Instant Noodles dan Korean Spicy Soup Instant Noodles didakwa mengandungi ethylene oxide, namun Kementerian Kesihatan (KKM) telah pun mengesahkan, tiada bahan racun perosak didapati dalam kedua-dua produk mi segera keluaran Indonesia tersebut.
Jadi, hari ini penulis ingin berkongsi tiga bahan tambahan mudah yang anda boleh cuba masukkan ke dalam masakan mi segera terutama versi sup bagi menghasilkan hidangan seimbang.
Ayam
.jpg)
Ayam atau daging merupakan salah satu bahan protein yang sedap dan sangat sesuai dimasukkan ke dalam mana-mana perisa mi segera. Ia akan menambahkan rasa kuah yang lebih enak.
Dengan menambah ayam misalnya ke dalam masakan, ia dapat dijadikan stok ayam untuk menghasilkan rasa enak yang asli tanpa menggunakan apa-apa sos atau bahan perisa tambahan lain.
Daging

Protein ayam mengandungi banyak vitamin dan mineral terutamanya Vitamin B yang melindungi tubuh daripada kanser manakala daging pula mempunyai zat besi yang membantu memberikan tenaga serta mereka yang mempunyai kekurangan darah.
Sayur-sayuran
Nama pun sayur, sudah tentu ia sihat dimakan. Cuba wajibkan diri untuk memasukkan apa-apa sahaja jenis sayuran ke dalam masakan mi segera kerana kandungan serat, fitonutrien dan kalium dapat membantu melancarkan proses penghadaman.
Selain itu, antara kebaikan memakan sayur adalah ia dapat menguatkan sistem imun bahkan sesetengah daripada sayuran dapat membantu anda untuk mendapat kulit yang cantik.
Buat mereka yang mempunyai anak-anak yang gemar makan mi segera ini, anda boleh campurkan pelbagai jenis sayur seperti lobak merah, sawi dan seumpamanya bagi menarik perhatian dan selera mereka.
Tauhu

Satu lagi bahan yang sedap untuk ditambah di dalam masakan mi segera ialah tauhu. Tauhu ini selalunya akan dimasukkan semasa proses akhir masakan, sebelum ia siap dihidang memandangkan teksturnya sangat lembut.
Bagusnya, bahan ini ditambah ke dalam masakan kerana ia memiliki kalsium yang tinggi dan antara kebaikannya ialah memberi perlindungan terhadap kanser serta penyakit jantung. Bahan asas tauhu ini pun sudah diperbuat daripada kacang soya, jadi sudah tentulah segala manfaat kacang soya itu boleh didapati dalam hidangan anda.
Jadi, inilah tiga bahan tambahan yang anda boleh cuba di rumah dengan apa juga jenis atau jenama mi segera yang ada di pasaran. Mudah, lebih sihat dan seimbang. Bagaimanapun perlu diingatkan dalam apa jua yang kita makan, semuanya tidak boleh berlebihan kerana ketidakstabilan dalam pemakanan masih boleh mengundang penyakit yang lain. Selamat mencuba! - Getaran, 1 Mei 2023