Selepas dua minggu kontroversi membabitkan usahawan dan selebriti terkenal Neelofa yang didakwa melanggar prosedur standard operasi (SOP) menjadi trending di laman sosial, hari ini selebriti berkenaan mengakui kesalahan dan memohon maaf secara terbuka kepada semua.
Dalam video berdurasi dua minit yang dihantar kepada pihak media, Neelofa memberitahu dia dan suaminya, Haris atau PU Riz terlepas pandang banyak perkara serta kurang menjaga sensitiviti semua pihak.
Bukan itu sahaja, dia juga mengakui kesilapannya merentas negeri mengunjungi Pulau Langkawi minggu lalu serta isu pelanggaran SOP semasa majlis perkahwinannya pada 27 Mac lalu.
“Saya seikhlas hati memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan saya mahupun di luar pengetahuan saya berkenaan kedua-dua isu ini.
“Saya sepatutnya memberi contoh yang baik mengenai hal itu,” katanya dalam rakaman video berkenaan.
Neelofa juga menjelaskan bahawa proses memberi keterangan kepada pihak polis membabitkan keluarganya dan keluarga mertua telah selesai hari ini.
Bukan itu sahaja, mereka juga bersedia untuk menerima segala keputusan dan tindakan yang bakal diberikan pihak berkuasa dengan hati yang terbuka.
Menerusi video berkenaan, bekas pengacara 'Meletop' itu juga sempat mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam.
“Semoga ia menjadi Ramadan terbaik untuk kita semua dan semoga kita mendapat ketenangan dan keberkatan daripada Allah,” katanya. - Getaran, 9 April 2021

