Lima belas tahun yang lalu, isteri saya, Winy, menanam sebatang anak pokok di taman rumah kami.
Bagi kebanyakan orang yang melihatnya ketika itu, tiada apa yang istimewa pada anak pokok tersebut; hanya tumbuhan yang kurus, rapuh dan hampir menyembah bumi.
Tidak kurang juga yang berbisik; anak pokok itu tidak mungkin mampu bertahan dan pasti akan tewas sebelum akarnya sempat terpasak kukuh.
Tetapi Winy enggan mengalah. Dia percaya bahawa penjagaan, kesabaran dan perhatian yang cukup akan membantu anak pokok tersebut membesar bagaikan juara.
Dan anak pokok itu terus membesar, hasil kesabaran dan perhatian diberikan Winy.
Hari ini, anak pokok itu berdiri teguh dan megah. Dahan-dahannya semakin bercambah dan membesar, daunnya bertambah lebat, malah akarnya kukuh mencengkam bumi.
Ketika cuaca panas, ia berdiri memayungi bumi. Di malam hari, ia bersinar dalam keindahan yang tenang, diterangi cahaya di bawah langit gelap. Dan ia tidak pernah gagal berbuah.
Apabila saya memandang pokok itu, saya melihat diri saya sendiri.
Ada suatu masa hati saya juga seperti anak pokok itu—lemah, rapuh, hampir gagal berfungsi. Saya hidup dengan jantung yang hanya mampu berfungsi kurang daripada sembilan peratus.
Setiap hari berlalu tanpa kepastian dan jaminan. Pemindahan jantung yang saya jalani selepas itu ibarat peluang kedua yang penuh keajaiban. Sama seperti pokok itu, saya bangkit semula dari bawah; tiada jaminan atau kepastian dan hanya bersulamkan tekad.
Apa yang menjadi pemangkin untuk saya meneruskan hidup ialah kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada keluarga; kesetiaan isteri dan sokongan padu kedua anak perempuan kami, Petra dan Tara.
Ia diperkuat dengan doa dan kepercayaan rakan-rakan bahawa saya pasti akan pulih seperti sediakala. Mereka menjadi tanah, air dan cahaya buat saya. Mereka memberikan saya persekitaran untuk berakar semula, untuk membesar menjadi sesuatu yang lebih kuat daripada sebelumnya.
Pokok di luar tingkap saya itu mengingatkan saya setiap hari: apa yang bermula dengan kecil tanpa sebarang jaminan, boleh tumbuh dengan elok dan sihat jika dibaja dengan kesabaran dan dilindungi dengan penuh kasih sayang.
Apa yang dahulu kelihatan hampir layu boleh berkembang subur dan memberi kehidupan kepada yang lain jika semuanya dijaga rapi.
Saya masih lagi bertatiy dalam perjalanan kedua ini. Saya belum lagi menjadi pokok yang matang sepenuhnya. Tetapi saya juga bukan lagi anak pokok yang rapuh. Saya sedang menjadi dahan demi dahan, daun demi daun; satu bukti hidup tentang ketabahan, kasih sayang, dan ketenangan daripada mereka yang enggan membiarkan kita jatuh.
Dan seperti pokok itu, saya berharap pada tahun-tahun mendatang, saya juga akan berdiri teguh dan memberi perlindungan, kekuatan dan buah kepada mereka yang memerlukan. Kerana pelajarannya mudah tetapi mendalam: kelangsungan hidup bukan tentang berdiri sendirian. Ia tentang kasih sayang yang berakar dengan kepercayaan orang lain, dan seterusnya menjadi cukup kuat untuk memberikan perlindungan yang sama kepada anak-anak pokok lain yang memerlukannya. - Getaran, 25 Ogos 2025