web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 7 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Sebuah Peringatan: Mengapa Saya Perlukan Harapan

Dalam dunia yang penuh dengan perniagaan dan keuntungan, suara saya yang lantang adalah satu ancaman

Rencana Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Apr 2025 6:38PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejak saya menulis penghormatan kepada mendiang Pope Francis, sesuatu yang tidak pernah dijangka terjadi. Saya dilimpahi penghargaan luar biasa yang datang dari pelbagai sudut dunia, jauh daripada apa yang pernah dibayangkan. Ia lebih daripada sekadar kata-kata atau pujian—ia adalah satu peringatan bahawa kita semua ini satu, walau berbeza dalam segala hal. Dan dalam perbezaan itu, ada sebuah kesatuan yang mengikat hati masing-masing.

Ramai yang bertanya selepas itu, “Kenapa kamu perlukan harapan?” “Apa yang membawa kamu ke titik ini?”

Izinkan saya menjelaskan, seikhlas hati.

Paus Francis ialah individu yang menyuntik harapan dalam diri semua manusia
Paus Francis ialah individu yang menyuntik harapan dalam diri semua manusia

Perjalanan ini bermula pada zaman gelap di bawah pemerintahan (Datuk Seri) Najib Razak. Ketika itu, kebencian dan ketidakadilan meresap ke setiap penjuru hidup kami. Jika anda bersuara atau mahu menuntut hak, anda akan dipandang sebagai musuh. Anda akan terus menjadi sasaran. 

Dan saya? Saya bukan hanya seorang ahli perniagaan. Saya seorang lelaki yang berdiri teguh bersama (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, yang memilih untuk berjuang demi negara yang lebih baik. Pilihan itu menjadikan saya sasaran. Dalam dunia yang penuh dengan perniagaan dan keuntungan, suara saya yang lantang adalah satu ancaman. Saya bukan orang yang pandai berdiam diri. Bila prinsip terancam, saya tidak akan menutup mulut.

Jadi, serangan demi serangan datang. Mereka cuba menghancurkan, mematahkan semangat dan memaksa saya untuk tunduk.

Saya rasa seperti seorang asing dalam kalangan individu yang sepatutnya seiring dan sejalan bersama-sama. Mereka memilih untuk diam, ada yang berpura-pura tunduk demi keuntungan. Saya tak salahkan mereka. Semua orang ada perjuangan sendiri. Tapi bagi mereka yang menjual maruah demi sedikit kesenangan—biarlah masa yang menghakimi.

Sementara itu, saya dan keluarga berhadapan dengan tahun-tahun yang penuh penderitaan. Akaun bank dibekukan, fitnah demi fitnah bertebaran, tekanan datang bertubi-tubi tanpa henti. Mereka cuba membuat saya menyerah—memaksa saya meninggalkan perjuangan yang saya pegang teguh. Supaya saya, seorang individu yang tak bernilai, tunduk.

Namun, saya tetap berdiri. Walau dalam sakit, saya tak pernah berundur. Saya terus berjuang, walau kebenaran terperangkap dalam lautan kebohongan.

Kemuncaknya, mereka menghantar sahabat saya, Allahyarham (Tan Sri) Jamaluddin Jarjis—JJ. Beliau datang bersama seseorang yang saya rasa adalah wakil Majlis Keselamatan Negara. Kata-kata mereka lembut, tetapi niat mereka menikam. Mereka tawarkan segala-galanya—duit, kontrak, kedudukan. Semua itu hanya dengan satu syarat: tandatangan saya.

Tetapi saya tahu, itu bukan sekadar sekeping kertas. Itu adalah pengkhianatan. Satu pengesahan bahawa perjuangan saya adalah sia-sia. Mereka mahu saya menyerah. Mereka mahu saya menjual jiwa saya. Saya tak boleh. Saya tak pernah boleh.

Saya bangun dan melangkah keluar. Tetapi isteri saya, Winy—peneman setia dan tunggak kekuatan saya dalam segala hal—tetap berdiri teguh. Dia memandang mereka dengan mata yang penuh keberanian dan berkata, “Suami saya boleh membeli dan menjual apa sahaja, tetapi jiwanya bukan untuk dijual.”

Kata-katanya, yang seakan melangkaui masa, memberi saya kekuatan. Itu yang saya perlukan—untuk mengingatkan saya bahawa kami tak pernah keseorangan dalam perjuangan ini.

Dan walaupun perjuangan itu terasa tak berkesudahan, saya terus berjuang. Badan saya lemah, jantung saya hampir hancur. Namun, saya tak pernah berhenti. Pada akhirnya, pada November 2022, Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia. Seorang lelaki yang hampir dihancurkan oleh sistem yang sama, kini berdiri teguh. Dan Najib? Di belakang jeriji besi. Jika itu bukan bukti bahawa Tuhan punya cara sendiri, saya tak tahu apa lagi yang boleh dijadikan bukti.

Namun, selepas kemenangan itu, saya rebah dalam pesawat. Tiga kali saya hampir mati. Tiga kali, saya diberi peluang baharu untuk hidup. Saya diberi peluang itu bukan dengan kebetulan—tetapi kerana Tuhan dan kerana isteri saya, yang dengan ketekunan dan kasih sayang, menyelamatkan hidup saya.

Kini, dengan jantung yang baharu, saya diberi peluang kedua dalam hidup ini. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya perlu terus berjuang. Untuk diri saya, untuk orang yang saya sayang, untuk negara ini. Saya telah gagal banyak kali, tetapi saya akan terus mencuba. Itulah janji saya—untuk terus berusaha, tanpa kenal erti putus asa.

Dan seperti yang ditulis oleh Robert Frost:

The woods are lovely, dark and deep,

But I have promises to keep,

And miles to go before I sleep,

And miles to go before I sleep.

Perjalanan saya masih jauh, tetapi saya tidak akan berhenti. Janji saya masih belum ditunaikan. - Getaran, 25 April 2025

Berita Berkaitan

1

Rencana 2 hari yang lalu

Monarki Dan Kekacauan Di Negeri Sembilan

2

Rencana 6 hari yang lalu

Kekal Subsidi RON95, Diesel ‘Talian Hayat’ Untuk Rakyat Marhaen Bernafas

3

Rencana 1 minggu yang lalu

Mengimbangi Impak Krisis Tenaga Global: Antara Langkah Segera Kerajaan Dan Realiti Kebajikan Rakyat 

4

Rencana 2 bulan yang lalu

Tun Ling Liong Sik; Perginya Negarawan Sejati

Sorotan

1

Hanya Belajar Di Media Sosial, Anak Kampung Kini Hasilkan 6,000 Ikan Angelfish

2

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah Ditemukan Lemas Di Sungai

3

Sesat 14 Hari, Jaslinda Kongsi Pengalaman Getir Bertahan Untuk Hidup

4

MPL MY: Team Vamos Mara Ke Grand Final, Tempah Tiket Ke MSC

5

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

6

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Tuanku Muhriz: Raja Adil Berhati Mulia, Bukan Gah Depan Kamera

oleh Alfian Z.M. Tahir