Berita Terkini

4 jam yang lalu: UMNO pecat Khairy, Noh Omar manakala gantung keahlian Hishamuddin, Sharil Sufian selama enam tahun - Ahmad Maslan 4 jam yang lalu: UMNO lantik Khaled Nordin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu - Ahmad Maslan 6 jam yang lalu: UMNO pecat Noh Omar dalam pembersihan parti besar-besaran 8 jam yang lalu: AirAsia X mencatat 417,195 penumpang yang diterbangkan pada tahun kewangan 2022 8 jam yang lalu: Joe Biden ucap tahniah kepada Anwar, puji demokrasi Malaysia

IKUTI KAMI


'Gerobok Rezeki Opah Minah', Sedekah Barang Keperluan Kepada Penduduk Kampung

Niat gerobok ini dibina adalah untuk membantu penduduk kampung terutama yang terjejas ketika pandemik COVID-19 selain menyambung amalan Opah Minah ketika masih hidup dahulu.

Refleksi Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jun 2021 2:30PM

Gambar: fotobernama / Munirah Musthpar

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam usaha meneruskan amalan arwah Opah Minah yang suka bersedekah, ahli keluarganya mengambil inisiatif membina sebuah pondok yang menyediakan barangan makanan asas secara percuma untuk penduduk Kampung Tua, Tanjung Belanja, di sini, sejak April lepas.

Pondok rezeki yang diberi nama Gerobok Rezeki Opah Minah itu, diasaskan oleh cucu sulung arwah,  Ahmad Mizuan Ahamad Tekmizi, 39, bagi membantu individu serta keluarga yang memerlukan dengan menyediakan keperluan asas sekali gus meringankan beban sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Mizuan berkata nama ‘Gerobok Rezeki Opah Minah’ diberi bersempena nama panggilan arwah neneknya, Aminah Abdul Zabry yang membesarkan beliau dan tiga lagi adik lelakinya di kampung berkenaan, sebelum meninggal dunia pada 2018 ketika berusia 81 tahun.

Gambar: fotobernama / Munirah Musthpar
Gambar: fotobernama / Munirah Musthpar

“Niat kita bina gerobok ini adalah untuk membantu penduduk kampung terutama yang terjejas ketika pandemik COVID-19 selain menyambung amalan Opah Minah ketika masih hidup dahulu.

“Arwah cukup rapat dengan kami adik-beradik dan kami buat gerobok ini sebagai antara penghargaan kepadanya.

“Arwah Opah Minah ini suka bersedekah di masjid terutama kalau ada berita baik mengenai anak cucunya. Dia suka berbasikal dan ramah dengan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di Gerobok Rezeki berkenaan di sini.

Ahmad Mizuan berkata beliau dengan dibantu adik-adik dan hampir 20 orang sepupunya yang juga cucu Opah Minah, bersama-sama berkongsi rezeki menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, serbuk uncang teh, gula dan sebagainya di gerobok rezeki berkenaan yang boleh diambil pada bila-bila masa secara percuma.

“Pada mulanya, memang saya yang bina gerobok ini dengan izin tuan tanah untuk menyampaikan bantuan asas ini dengan kos binaan gerobok bernilai hampir RM3,000 manakala sebanyak RM250 akan saya sumbangkan untuk bekalan keperluan asas.

“Hari demi hari, ahli keluarga terdekat juga mahu bersama-sama membantu orang kampung dan usaha ini berterusan termasuk terdapat individu lain yang menghubungi saya untuk turut menyampaikan bantuan,” katanya yang juga Penolong Jurutera Majlis Daerah Perak Tengah.

Gambar: fotobernama / Munirah Musthpar
Gambar: fotobernama / Munirah Musthpar

Ahmad Mizuan berkata beliau dan ahli keluarganya sememangnya mengalu-alukan sumbangan orang ramai dalam menghulurkan bantuan untuk diletakkan di gerobok berkenaan bagi kegunaan penduduk kampung, khususnya individu yang kehilangan pekerjaan atau tidak dibayar gaji.

“Kami dapat maklum balas yang baik, penduduk kampung terdekat juga ada yang datang ambil makanan.

“Terdapat juga orang kampung yang bersihkan kawasan pondok ini secara sukarela dan ada juga yang tinggalkan wang kertas bernilai RM1 mungkin sebagai penghargaan kepada kami dan kami amat gembira sekali kerana dapat membantu,” katanya yang boleh dihubungi di talian 012-3361342.

Bagi penduduk kampung, Rajamah Man, 56, beliau berasa bersyukur kerana terdapat insan yang prihatin terhadap nasib golongan yang memerlukan seperti keluarganya.

“Alhamdulillah semoga keluarga ini dimurahkan rezeki kerana bantu orang kampung.

“Barangan seperti beras, gula dan tepung memang sangat diperlukan dan gerobok Opah Minah ini sangat meringankan beban orang yang memerlukan,” katanya yang tinggal bersama suami, seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang cucu lelaki berumur lima tahun. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 hari yang lalu

Sedekah PRU-15: SPRM Sudah Buka Kertas Siasatan - Azam

2

Semasa 4 hari yang lalu

Trend Menurun Untuk Kemasukan Pesakit COVID-19 Ke Fasiliti Kesihatan

3

Semasa 5 hari yang lalu

MOTAC Sasar Kedatangan 5 Juta Pelancong China Ke Malaysia Tahun Ini - Tiong

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Kemasukan Pelancong China: Usah Beri Reaksi Keterlaluan - Tiong

Sorotan

1

Rafizi Rancang Strategi Bantu Peniaga, Pengusaha Restoran Tangani Kenaikan Kos

2

Beting Patinggi Ali Milik Malaysia, Tidak Iktiraf Sebarang Tuntutan - MINDEF

3

Adakah 3 Tokoh Penting UMNO Antara Senarai Bakal Dipecat?

Disyorkan untuk anda

Jelajah 1 hari yang lalu

Projek ‘Salam Taiwan 2023’ - Tarik Ramai Pelancong Muslim Pilih Taiwan Sebagai Destinasi Pelancongan

oleh Rubini Nagarajah