Saban tahun kita bertemu bulan Ramadan. Saban tahun juga ditanya adakah Ramadan yang telah dilalui benar-benar mencapai matlamat melahirkan seorang yang bertaqwa (rujuk Surah Al-Baqarah ayat 183).
Salah satu ciri-ciri orang yang bertaqwa adalah mereka yang selalu mempersiapkan bekalan untuk hari akhirat dengan beribadah sebaik mungkin dan memperbanyakkan amalan. Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Al-Hasyr ayat ke-18 :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
Dalam kita beribadah, ada satu perkara yang perlu diambil perhatian, iaitu menghindarkan diri daripada perkara yang boleh menghancurkan pahala amalan ibadah kita. Jawapannya ialah ujub, riak dan takabbur.
Ujub bermaksud merasakan diri bagus berbanding orang lain. Padahal kita sebagai hamba perlu sedar semua kelebihan adalah dari Allah SWT. Riak bermaksud keinginan untuk menayangkan sesuatu amalan kepada orang lain.
Takabbur pula bermaksud merendahkan orang lain dan menafikan kebenaran. Perkara ini yang iblis buat dengan mengatakan bahawa dia lebih baik daripada Nabi Adam dan menafikan Nabi Adam itu lebih mulia daripadanya selain menafikan Nabi Adam dilantik sebagai khalifah.
Ketiga-tiga pelebur amalan kita ini dapat diselamatkan dengan satu sifat dalam diri kita. Iaitu ikhlas. Dalam bulan Ramadan, adalah amat penting untuk kita menjaga hati dan amalan supaya dilakukan dengan nurani yang ikhlas.
Ikhlas adalah sifat hati yang bersih dari campuran yang mencemarinya atau suatu yang murni, di mana ketulusan adalah kunci keikhlasan dalam setiap tindakan tanpa adanya dorongan riak dan takabbur dalam sanubari.
Apabila suatu perbuatan bersih dari riak, takabbur dan ujub dan ditujukan hanya kepada Allah SWT, maka perbuatan itu dianggap murni.
Ikhlas bukan suatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan seseorang itu bermujahadah sungguh-sungguh. Para ulama terdahulu seperti Al-Imam Al-Zahabiy pun diceritakan terpaksa berdoa berkali-kali semata-mata untuk meraih sifat ikhlas dalam menuntut ilmu.
Hal sedemikian menunjukkan kepada kita ikhlas bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai dalam diri seseorang.
Timbul persoalan bagaimana untuk menjadikan perbuatan kita itu dianggap murni. Jawapannya pertama kita perlu tahu membezakan antara amalan ikhlas dan amalan riak. Pertama yang membezakan antara keduanya ialah masa dan waktu sesuatu amalan itu dibuat.
Jika ketika ditunaikan sesuatu amalan itu walaupun pada awalnya tulus kerana Allah SWT dan mengharapkan ganjaran yang besar di sisi Allah, tetapi pada pertengahan dilaksanakan amalan itu, hadir perasaan yang menggoncang niat hati awal tadi, di situ kita perlu semak kembali dengan beristighfar kepada Allah SWT.

Keadaan ini menjadikan kita mendapat pahala tetapi dikurangkan pahalanya.
Namun, hal di atas lebih baik daripada keadaan seseorang yang memang pada awalnya ingin melaksanakan sesuatu amalan untuk dilihat dan dipuji orang sekeliling.
Niat untuk menunjuk-nunjuk, maka hal keadaan ini yang menghancurkan terus segala pahala amalan tersebut. Ketika ini perlu taubat kerana menjadi amaran keras Rasulullah SAW :
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya:
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
HR Sahih Muslim, no 51
Hadith di atas memberi input kepada kita tanpa keikhlasan takkan bererti apa-apa amal seorang hamba kerana tidak ada nilainya di sisi Allah SWT sehingga Allah SWT mengatakan tidak akan masuk ke syurga.
Timbul persoalan kedua pula bagaimana untuk mengekalkan sifat ikhlas dalam diri. Pertama ialah membaca dan mengetahui fadilat-fadilat orang yang ikhlas. Tuan-tuan boleh buat carian di pelbagai kitab dan buku yang menceritakan berkenaan kelebihan orang yang ikhlas dalam beribadah.
Paling mudah sekarang, kita boleh buat carian di internet berkenaan tajuk-tajuk ikhlas ini. Moga-moga dengan bacaan yang diberikan ini akan menjadikan kita lebih menghayati untuk menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Di coretan ini suka saya menukilkan satu hadis berkenaan fadilat orang yang ikhlas dalam ibadat.
Rasulullah SAW bersabda :-
إنَّ اللهَ لا يقبلُ من العملِ إلَّا ما كان خالصًا وابتُغي به وجهُه
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredaanNya semata-mata”
Kedua, perlu merahsiakan segala apa yang dilakukan. Baca kisah bagaimana para sahabat yang sentiasa merahsiakan amalan dan kebajikan yang dilakukan. Kisah-kisah ini boleh menjadi pelajaran dan pegangan dalam memastikan kita lebih bersemangat untuk merahsiakan segala amalan kita. Amati hadis riwayat Muslim di bawah :
إن الله يحب العبد التقي الغني الخفي
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyukai seseorang hamba yang bertaqwa, kaya dan merahsiakan Ibadah”.

Ketiga, merendah kerana Allah SWT. Setiap yang bergelar hamba perlu memandang setiap orang yang berada di sekeliling dengan mengatakan ‘dia lebih baik dari saya’. Maka merendah diri ini akan membawa kepada ikhlas dan tidak riyak.
Kerana kebiasaan orang yang riak ini ialah orang yang menganggap dirinya lebih baik dari orang lain. Kata Saidina Umar RA, ‘kalau seandainya kamu melihat seseorang yang lebih tua, maka katakanlah orang ini lebih dahulu hidup dari saya, maka amalnya lebih banyak.
Dan kalau kamu melihat seseorang yang lebih muda, maka katakanlah orang ini masih muda, maka dosanya masih lebih sedikit berbanding saya’. Jika frasa ini kita amalkan dalam kehidupan kita, maka automatik kita tidak akan merasa lebih daripada orang lain baik dari segi amalan atau kerja-kerja kebajikan.

Keempat, mengawal lisan. Setiap kali ingin bercakap perihal ibadah yang dilakukan, berhenti. Kerana dikhuatiri setiap kali kita mengeluarkan dan menceritakan kepada orang lain, akan timbul perasaan riak.
Perkara ini yang sangat-sangat perlu dielakkan. Perihal ibadah kepada Allah SWT, cukup sekadar Allah SWT yang tahu. Kerana ia merupakan soal hati yang perlu benar-benar dijaga.
Jangan sampai kita mengerjakan suatu ibadah dengan niat lain selain Allah SWT. Hati yang ikhlas menjadi kunci amal ibadah kita diterima.
Akhirnya, akan merasakan ketenteraman jiwa dan batin kerana dia tidak diperbudak oleh penantian untuk mendapatkan pujian kerana bagi diri seseorang yang ikhlas, penghargaan atau imbalan dipuji atau tidak, sama saja keduanya.
Sebagai penutup, ayuh kita sama-sama sedar sedar bahawa sifat ikhlas merupakan perkara yang sangat penting dalam menentukan nasib kita di akhirat kelak.
Orang yang ikhlas adalah orang yang tidak menyertakan kepentingan peribadi ataupun imbalan duniawi, konsentrasi orang ikhlas hanya satu iaitu bagaimana apa yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.
Semoga Ramadan kali ini menjadi titik permulaan tertanamnya perasaan ikhlas dalam hati kita dan segala amalan kita diterima Allah SWT sehingga kita bertemu Sang Pencipta. - Getaran, 15 April 2022