Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Hikayat Warna Warni Politik Malaysia, Memualkan Atau Menakjubkan?

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Aug 2021 7:09PM

Siapakah yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyandang jawatan Perdana Menteri? - Gambar oleh Sadiq Asyraf

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Teka-teki jika mengikut pengertian Wikipedia adalah penyataan atau soalan yang memiliki pembayang tertentu, bertujuan menduga akal seseorang, lazim berakhir dengan jawapan menarik, unik dan menggelikan hati.

Apabila diaplikasi dalam fitrah kehidupan, ia bukan senario digemari,  lantaran sering menerbitkan pelbagai persoalan yang boleh sahaja menduga kewarasan.

Menelusuri gelombang politik negara mutakhir ini, jelas ia dilatari teka-teki tidak berkesudahan.

Satu demi satu, rantaian persoalan itu membelenggu minda, mencetuskan keresahan ramai, khususnya rakyat marhaen yang tertanya-tanya, bila agaknya drama swasta nan satu ini akan berakhir?

Drama dan politik Malaysia sememangnya satu simbiosis unggul yang tidak mungkin terpisah.

Penyatuannya begitu akrab, bagai kembar siam yang bercantum pada titik paling kritikal dan mustahil untuk dileraikan begitu sahaja.

Baik kerajaan atau blok pembangkang, semuanya dibarisi pameran watak yang mahir menjiwai karakter sendiri, membuatkan penonton dibuai rasa benci tapi masih setia menanti babak seterusnya.

Benci melihat pergolakan yang entahkan bila akan menemui noktah, tetapi tetap ingin tahu, apa adegan akhir pada hikayat maha panjang ini.

Perdana Menteri Paling Kontroversi

Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sedar atau tidak, sudah memahat rekod sebagai Perdana Menteri paling kontroversi negara.

Bermula dengan pengambil-alihan kuasa secara ‘tipu daya’ melalui Langkah Sheraton pada Mac 2020, geraknya terus sumbang, mengikut paluan gendang penyokong sekeliling yang nyata dangkal dalam memberikan nasihat bernas.

Barangkali lupa dengan hakikat bahawa kejatuhan Barisan Nasional (BN) sebahagian besarnya disumbangkan oleh penyokong yang membawa rebah, Ahli Parlimen Pagoh itu terus alpa.

Pembentukan kabinet terbesar dalam sejarah pentadbiran negara, mencakupi 31 menteri dan 38 timbalan menteri itu gagal membawa sebarang kejayaan membanggakan.

Keputusan mereka seringkali ‘melangkaui’ logik fikiran, belum lagi ditambah kenyataan ‘merepek’ yang akhirnya menjadikan Malaysia satu jenaka di mata dunia, kerajaan Muhyiddin sememangnya gagal di mata rakyat.

Siapa boleh melupakan fakta air suam menghapus COVID-19 atau Spanish Fly yang sepatutnya disebut Spanish Flu?

Siapa pula boleh melepaskan saat gemilang penggambaran peragawati Rina Harun, yang bersalin kulit dengan persalinan pereka terkenal Man Kajang?

Pepat Di Luar, Rencong Di Dalam

Seorang sumber rapat memberitahu, kerajaan pimpinan Muhyiddin sebenarnya sudah lama dihiasi individu pepat di luar, rencong di dalam.

Sudah terlalu lama katanya, Perikatan Nasional dibarisi individu berkepentingan peribadi yang hanya rakus mengisi kocek dan tembolok sendiri.

“Dulu mereka tak ada kuasa, sekarang bila sudah dalam genggaman, mana boleh lepas peluang.

“Inilah masa untuk melakukan semua yang sebelum ini hanya mampu dijadikan angan-angan,” katanya, sinis.

Pernah bergelar anggota kerajaan, sumber ini enggan menamakan sesiapa, namun pintanya, perhatikan corak pemerintahan PN sedari dulu untuk melihat trend perjalanan mereka dalam mentadbir negara.

Apabila diteliti, nah ternyata memang ada kebenaran.

Terlalu banyak keputusan dan tindakan diambil menimbulkan persoalan ramai.

Intimidasi pihak berkuasa juga dilihat semakin menjadi-jadi, malah ada yang ditahan untuk disoal siasat, hanya kerana mempersoalkan sesuatu di media sosial.

Begitu ‘hebat’ kerajaan PN, segala keputusan mereka tidak boleh dipersoalkan, atau tindakan perundangan menanti anda.

Ini bukan sekadar tuduhan, tetapi fakta yang tidak boleh dinafikan sesiapa.

Aktivis dan peguam Syahredzan Johan antara yang diketahui menentang keras intimidasi ini, dan tidak pernah berselindung mengenainya.

Shahredzan juga secara terbuka sering berkongsi info terkini, setiap kali ada marhaen yang ditahan polis, hanya kerana mempertikaikan isu tertentu.

Perdana Menteri Takut Media

Jika anda ‘pengikut’ setia yang sentiasa memerhati gerak geri Muhyiddin, pasti perihal ini dapat dilihat dengan jelas.

Ya, sepanjang 17 bulan mentadbir negara, bekas Timbalan Presiden UMNO itu amat terkenal dengan ‘keahliannya’ mengelakkan diri dari diwawancara media.

Kekerapan itu menjadikan beliau menerima ‘gelaran mesra’ seluruh rakyat, Bapa Perutusan Khas.

Ya, sememangnya itu kepakaran beliau; memberikan pengumuman khas di kaca televisyen, yang kemudian diketahui, sejumlah besar acara itu sudah dirakam terlebih awal.

Hal ini sememangnya satu misteri, kerana barisan menteri lain tidak pernah takut dengan media, hatta Datuk Seri Dr Adham Baba, yang dianggap ramai sebagai ‘pak lawak Malaysia’.

Jika mahu menjadikan status sebagai penghidap kanser sebagai alasan, bukankah beliau sendiri pernah mengisytiharkan mampu dan sihat untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri?

Justeru apa sebenarnya alasan melarikan diri daripada media?

Kejatuhan PN Dan Keangkuhan Pemimpin

Kejatuhan blok PN sememangnya sudah boleh diduga, dek rantaian kontroversi tidak berkesudahan yang mereka sendiri lilitkan.

Boleh dikatakan, semua tindakan diambil pasti berakhir dengan kontroversi menyakitkan, khususnya berkaitan cara mereka menangani pandemik COVID-19.

Pelaksanaan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diharapkan mampu mengawal penularan dan melandaikan lengkuk jangkitan tidak berlaku.

Semuanya kerapa apa? Ya, kerana keputusan ‘setengah masak’ pemimpin, yang hanya bertindak berorientasikan keuntungan semata-mata.

Hasilnya? Kes terus melonjak naik, malah ada waktunya jangkitan harian melepasi angka 20,000.

Rakyat seperti biasa hanya mampu meratap dan merintih melihat keangkuhan pemimpin yang seolah buta hati serta perasaan.

Deretan kilang terus beroperasi tanpa gagal khususnya di Selangor, menyebabkan negeri itu terus menjuarai carta jangkitan tertinggi COVID-19 di Malaysia.

Rayuan barisan hadapan yang secara terbuka meminta sektor itu ditutup buat sementara terus tidak diendahkan, malah menteri berkenaan dengan selamba membuat kenyataan, sektor perkilangan bukan punca peningkatan kes.

UMNO Dan Serangan Hendap

Dalam membicarakan kejatuhan PN, jangan dinafikan peranan UMNO.

Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 Mac lalu, dengan keras menyatakan pendirian mereka untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan DAP.

Buat seketika, laungan itu gah sekali kedengaran namun selepas beberapa lama, ia mula reda malah barangkali ada yang sudah melupakan ikrar tersebut.

Ternyata pendekar Jawa itu menyusun langkah di dalam senyap dan percaturannya ternyata berjaya.

Sumber yang mahir dengan gerak langkah UMNO memberitahu Getaran, diam Zahid bagai ubi, terbenam di tanah mengumpul isi.

Siapa sangka, pengumuman mengejut mereka untuk menarik semula sokongan terhadap BERSATU berhasil menyebabkan Muhyiddin hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Peletakan jawatan dua menteri kerajaan Persekutuan dan penyandang portfolio penting di beberapa agensi berkaitan kerajaan (GLC) menambah sengsara PN.

Dahulu, Hang Tuah dalam filem klasik arahan Phani Majumdar terbitan 1956 pernah mengeluarkan dialog, ‘jika bergerak biarlah di dalam gelap’.

Secara kasar dialog itu antara lain adalah peringatan Hang Tuah kepada rakan-rakanya, agar sentiasa berhati-hati mengatur langkah, bimbang kelak menjadi perhatian musuh.

Ringkas ayatnya, namun memberi pengertian cukup mendalam dan barangkali kata-kata berkenaan dapat merumuskan tindakan Zahid untuk menumbangkan kerajaan PN.

Kemas sekali percaturan itu kerana walaupun pada awalnya UMNO dilihat berpecah dua, dengan sebilangan kekal berdiri bersama presiden manakala selebihnya memilih untuk berpihak kepada Muhyiddin, mereka akhirnya tetap bersatu di bawah bumbung yang sama.

Ia dibuktikan apabila parti berkenaan dan komponen Barisan Nasional (BN) sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan, sedangkan jelas Ahli Parlimen Bera itu tergolong dalam kem Muhyiddin.

“Kesilapan yang dilakukan Muhyiddin dan pasukannya adalah memandang rendah kemampuan Zahid.

“Walau pengalamannya mungkin tidak seluas Presiden BERSATU itu, tapi jangan dilupa survival Zahid cukup tinggi,” kata sumber itu lagi, merujuk kepada jatuh bangun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam politik.

Lebih menarik perhatian apabila pemilihan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri jelas sumber tersebut, adalah langkah tersurat UMNO dalam memastikan mereka kekal relevan.

“Bagaimana jika ‘kesetiaan’ Ismail Sabri terhadap Muhyiddin itu sebenarnya sudah dirancang?

“Bagaimana jika ia sememangnya satu ‘penyamaran’ untuk memastikan taktik dan teknik UMNO ‘merampas’ kembali kuasa berjaya? Segalanya logik bukan?” kata sumber.

Siapa Calon PM?

Drama semakin hangat, dan kini pastinya semua tak senang duduk, menantikan siapakah yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyandang portfolio nombor satu negara itu.

Apakah tuah akan mengiringi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini memperoleh 102 pencalonan, atau sekali lagi jawatan itu dikembalikan kepada UMNO menerusi pelantikan Ismail Sabri?

Episod terkini ini semakin hangat, ketepikan kisah suspen siri Korea, Penthouse yang menjadi kegilaan ramai, ambil popcorn dan bersama hayati babak seterusnya drama politik Malaysia.

Memualkan atau menakjubkan, sememangnya ia penuh warna. - Getaran, 18 Ogos 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Kejayaan Proses Evakuasi Keluarga Nadir Al-Nuri Bukti PM Prihatin Kebajikan Rakyat

2

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Anwar Ajak Rakyat Sertai Jamuan Raya Di Batang Kali Hari Ini

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Kerajaan Sedia Segerakan Kemudahan Wad Kelas Ketiga HKL - PM

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Helikopter: Kesemua Mangsa Diberikan Penghormatan Terakhir Ikut Istiadat TLDM

Semasa 1 hari yang lalu

“Jenazah Ibu Sempurna” – Anak Allahyarham Noor Rahiza

Semasa 23 jam yang lalu

Lelaki Lemas Ketika Bercuti Di Air Terjun Sekayu

Semasa 7 jam yang lalu

Misi Pelayaran Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Satu Cabaran Besar - Mohamad