KUALA LUMPUR - Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah dan adalah menjadi kepantangan besar untuk bangsa Melayu menderhaka kepada rajanya.
Justeru, apabila sekumpulan anak Melayu di Negeri Sembilan mula bertingkah songsang, mengatur sembah derhaka mahu menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Pendedahan demi pendedahan mula terbongkar melibatkan sekumpulan pemain politik negeri terbabit, didakwa didalangi Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang tamakkan kuasa sehingga sanggup berpaling tadah mahu menyingkirkan pemerintah negeri, sedangkan baginda amat disayangi rakyat jelata.
Ulah mereka tidak hanya terhenti di situ, sebaliknya terus melarat dengan menjadikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai sasaran.
Cubaan rampasan kuasa itu bukan sahaja menghangatkan suhu politik negeri terbabit malah membuka semula persoalan lebih besar mengenai hala tuju kepimpinan UMNO Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sumber yang mahir dengan selok belok politik berpandangan, isu berkenaan tidak boleh dilihat sekadar sebagai polemik politik biasa kerana ia berpotensi mencetuskan krisis keyakinan terhadap parti itu sekiranya gagal ditangani dengan baik.
Menurutnya, rakyat mungkin boleh memaafkan kesilapan politik dilakukan dalam pilihan raya, namun sukar berbuat yang sama jika seseorang pemimpin itu gagal menjelaskan kedudukan mereka, apabila timbul persoalan besar melibatkan integriti dan kejujuran.
“Sebab itu isu ini bukan lagi mengenai dakwaan atau laporan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah persepsi yang sedang terbentuk dalam kalangan rakyat dan akar umbi UMNO sendiri.
“Apabila timbul persoalan besar dan tiada penjelasan yang benar-benar meyakinkan, ia akhirnya akan menjadi krisis keyakinan,” katanya.
Beliau berkata, situasi menjadi lebih rumit apabila Jalaluddin dijangka memainkan peranan penting dalam mengepalai parti berdepan PRN nanti.
“Masalah UMNO Negeri Sembilan hari ini bukan kerana dakwaan itu semata-mata. Masalah sebenar ialah apabila ia melibatkan Pengerusi UMNO negeri yang juga antara tokoh utama bakal mengetuai parti menghadapi pilihan raya.
“Apabila ketua parti negeri sendiri menjadi bahan perdebatan politik, tumpuan rakyat tidak lagi kepada manifesto atau hala tuju tetapi kepada kontroversi yang menyelubungi pemimpinnya,” katanya.
Sumber berkata, Jalaluddin perlu tampil menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan spekulasi terus berpanjangan jika semua dakwaan yang sedang bertebaran itu tidak benar.
Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya akan memberi ruang kepada lawan politik untuk terus memainkan isu berkenaan sehingga hari pengundian.
Sumber menarik perhatian, UMNO Negeri Sembilan ketika ini berdepan cabaran lebih besar iaitu kekurangan tokoh yang benar-benar mampu menjadi wajah utama parti di negeri tersebut.
“Johor mempunyai Datuk Onn Hafiz Ghazi. Melaka mempunyai Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Pahang mempunyai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Negeri Sembilan ketika ini masih tercari-cari siapa wajah yang benar-benar boleh dijual kepada rakyat dan mampu menyatukan parti,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan UMNO Johor banyak dibantu oleh kemampuan Onn Hafiz membina imej positif sebagai pemimpin muda yang dekat dengan rakyat, sekali gus berjaya menarik sokongan merentasi pelbagai kelompok pengundi.
Katanya, UMNO Negeri Sembilan memerlukan tokoh yang mempunyai daya tarikan sama jika mahu berdepan cabaran sengit PRN.
Dalam pada itu, beliau berkata, hakikat bahawa nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan masih terus disebut setiap kali parti berdepan cabaran besar menunjukkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan masih menjadi penanda aras kepimpinan UMNO negeri.
“Hakikat yang sukar diterima sesetengah pihak ialah hampir setiap kali UMNO Negeri Sembilan berdepan cabaran besar, nama Mohamad Hasan akan kembali disebut oleh akar umbi.
“Ini menunjukkan parti masih belum berjaya melahirkan seorang tokoh yang benar-benar mampu keluar daripada bayang-bayang kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui, Mohamad kini memegang tanggungjawab besar di peringkat Persekutuan dan mungkin tidak lagi melihat Negeri Sembilan sebagai fokus utama politiknya.
Justeru katanya, UMNO perlu segera menyediakan pelan peralihan kepimpinan lebih jelas dengan mengetengahkan pemimpin baharu yang mempunyai kredibiliti, visi serta kemampuan mendekati pengundi muda.
“PRN akan datang bukan ditentukan oleh nostalgia. Sebahagian besar pengundi muda hari ini tidak mengundi ketika Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar.
“Mereka mahu melihat siapa yang boleh menawarkan kepimpinan masa depan, bukannya siapa yang paling lama berada dalam politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan UMNO supaya tidak mengulangi kesilapan dilakukan parti lain apabila terlalu bergantung kepada individu tertentu, sehingga imej parti dan pemimpin menjadi perkara yang sama.
“BERSATU pernah berdepan situasi apabila parti terlalu bergantung kepada beberapa individu sehingga sebarang isu membabitkan pemimpin tertentu turut menjejaskan keseluruhan parti.
“UMNO perlu mengelakkan keadaan sama kerana parti sebesar itu mesti mempunyai pelapis dan pilihan kepimpinan yang meyakinkan,” katanya.
Tegasnya, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar referendum terhadap kerajaan sedia ada, sebaliknya turut menjadi referendum terhadap kepimpinan UMNO negeri.
“Jika rakyat melihat parti itu masih dipimpin oleh wajah yang dibayangi kontroversi dan persoalan yang belum terjawab, maka UMNO mungkin berdepan masalah lebih besar daripada kehilangan beberapa kerusi.
“Mereka mungkin kehilangan sesuatu yang jauh lebih penting iaitu keyakinan rakyat,” katanya.
‘Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk kedua pantai, kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok kedua pandai’.
Barangkali sudah tiba masanya pantun Melayu ini dijadikan pedoman untuk memilih wajah baharu UMNO Negeri Sembilan. - Getaran, 9 Jun 2026
