KUALA LUMPUR -- PAS yakin boleh mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih besar, berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelasnya, parti itu akan bekerja keras ke arah itu, meskipun belum menetapkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan, selepas kemenangan terdahulu dibatalkan oleh mahkamah minggu lalu.
"Sebagaimana kenyataan media Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bahawa PAS tidak akan buat rayuan dan bersedia untuk menyertai PRK. Kita belum buat keputusan berkenaan calon lagi.
"Kita akan bekerja ke arah itu (menang dengan majoriti lebih besar) InsyaAllah kita yakin," katanya di dalam satu sidang media selepas Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15.
Keputusan pembatalan kemenangan penyandang Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dibuat oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu.
Keputusan itu diambil setelah satu petisyen difailkan oleh wakil Barisan Nasional (BN), Mohamad Hisham Wan Abdul.
Mahkamah kemudian berpuas hati dan mendapati pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU-15.
Pada PRU-15, Che Alias menang besar dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said dan dua lain iaitu Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) serta Rosli Ab Ghani (PEJUANG).
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS tidak akan mengambil mudah mana-mana kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya.
Katanya, parti itu tetap akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat sebarang pemakluman berhubung PRK Kemaman.
"Kita tidak pernah menganggap mana-mana kerusi sebagai kerusi yang mudah untuk dimenangi termasuklah kerusi Ru Rendang pun, walaupun kita telah menang berbelas-belas tahun ini apatah lagi kerusi Parlimen di mana yang kita anggap ini sebagai satu medan untuk kita bekerja dengan keras dan sepenuh hati daripada jentera.
"Saya percaya rakyat kita yang berada di kawasan itu juga sangat teruja untuk memberi kemenangan kepada calon PAS dalam pilihan raya kali ini," katanya. - Getaran, 4 Oktober 2023

