web statsweb stats

Berita Terkini

1 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


‘Jika Ka Siong Ingin Diganti, Siapa Pemimpin Paling Sesuai’?

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Jan 2023 11:13AM

Ka Siong masih individu terbaik dalam kalangan pemimpin sedia ada MCA. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JOHOR BARU - Mereka yang berhasrat untuk melihat Presiden MCA diganti, seharusnya ‘mencari’ dahulu individu yang dirasakan mampu melakukan tanggungjawab dengan lebih baik berbanding penyandang jawatan itu, Datuk Seri Wee Ka Siong, menurut beberapa pemimpin akar umbi.

Di sebalik kritikan dilontarkan terhadap Ka Siong itu, Ketua Bahagian MCA Iskandar Puteri, Datuk Jason Teoh percaya Ahli Parlimen Ayer Hitam terbabit masih ‘individu terbaik’ dalam kalangan pemimpin sedia ada parti itu.

“Siapa pun presiden (MCA), beliau akan berdepan tugas besar untuk menukar defisit kepercayaan rakyat kepada parti ini. Tetapi secara peribadi, saya tidak fikir ada orang lain yang boleh menggantikan Ka Siong.

“Presiden mesti boleh menghormati parti komponen lain dan mempunyai pengalaman dalam kerajaan di peringkat atasan.

“Daripada kumpulan pemimpin sekarang, hanya Ka Siong yang mempunyai pengalaman sebagai menteri penuh dan itu akan membolehkan peralihan parti kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi The Vibes.

Beliau berkata, MCA bukan sebahagian daripada kerajaan memerintah walaupun ia adalah komponen utama Barisan Nasional (BN) yang bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan gabungan Sabah dan Sarawak, bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami (MCA) bagaimanapun terus menjadi rakan kongsi aktif dalam kerajaan Melaka dan Johor.”

Jason berkata, MCA perlu kekal bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadualkan tahun ini, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Kita perlu kekal teguh bersama BN dalam tempoh ini. Sebarang gesaan untuk meninggalkan gabungan hanya perlu dibincangkan parti selepas kita menghadapi ‘pertempuran’ (PRN) ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin parti yang enggan dikenali berkata, walaupun MCA kurang mendapat sokongan daripada pengundi, ia kekal sebagai parti berasaskan akar umbi terkuat di negara ini.

“Kami masih menawarkan perkhidmatan kami kepada rakyat dan itu menjadi DNA parti kami. Pusat perkhidmatan kami tetap beroperasi walaupun bilangan wakil rakyat kami semakin berkurangan.

“Kami mungkin bukan pilihan popular di mata orang ramai, tetapi kami masih di sini melakukan bahagian kami dan tidak akan pernah menolak sesiapa yang meminta bantuan kami,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan Jason bahawa adalah lebih baik untuk mengetepikan persoalan sama ada MCA perlu kekal bersama BN atau tidak buat masa ini.

MCA yang memenangi dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15, tidak mempunyai wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini, pemimpin UMNO dilaporkan berkata, Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai daripada MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng adalah antara 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15, menyebabkan mereka mendapat kritikan daripada pemimpin parti diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.

Teoh Cadangkan Pengganti?

Sementara itu, Teoh berkata mungkin sudah tiba masanya untuk muka baharu menerajui MCA di Iskandar Puteri, walaupun beliau tidak berkata akan bersara daripada politik aktif.

“Saya pernah bertanding kerusi Parlimen (Iskandar Puteri) dua kali dan kalah kedua-dua kali. Mungkin MCA Iskandar Puteri memerlukan seseorang yang baharu untuk membantu merampas semula kerusi ini untuk (parti) kita,” katanya.

Teoh dikenali dengan reputasi sebagai pemimpin mudah didekati dan memiliki pengikut yang ramai di kawasan itu.

Di sebalik popularitinya, Teoh dikalahkan veteran DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum 2018, selain gagal dalam usaha merampas kerusi itu semula semasa PRU-15 apabila tewas kepada ketua DAP Johor, Liew Chin Tong. - The Vibes, 20 Januari 2023

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 tahun yang lalu

Lucut Hak Mengundi Ahli, Exco MCA Langgar Prinsip Demokrasi, Amalkan Nepotisme - SCA

2

Politik 2 tahun yang lalu

Zahid harap MCA Berubah Hati, Bantu Kempen PRK Kuala Kubu Bharu

3

Politik 2 tahun yang lalu

Wee Ka Siong Kekal Presiden MCA

4

Politik 2 tahun yang lalu

PRN: MCA Bantu Kempen Calon BN

Sorotan

1

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

2

PRN Johor: Rekod Pentadbiran BN Jadi Sandaran Utama - Onn Hafiz

3

Op Soga XI: 58 Ditahan, Polis Perhebat Tindakan Terhadap Sindiket Judi Piala Dunia 

4

1 Daripada 4 Remaja Malaysia Alami Depresi, Cenderung Bunuh Diri - NHMS 

5

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia

Disyorkan untuk anda

Semasa 10 jam yang lalu

Aksi Ganas Di Kantin, Pelajar Digantung Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Minta, Terima Rasuah RM1.45 Juta

oleh Sophia Ahmad

Semasa 11 jam yang lalu

Mahkamah Tinggi KL Batal Sapina Terhadap Anwar

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 15 jam yang lalu

Wanita Didakwa Bunuh Warga Indonesia

oleh Sophia Ahmad