KULIM – Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mohamad Sofee Razak dipilih parti itu sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai, selepas proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ditangguhkan di kawasan itu, susulan kematian mengejut penyandangnya, M Karupaiya minggu lalu.
Nama beliau disenarai pendek, selepas perbincangan panjang diadakan mengenai sama ada calon Melayu, Cina atau India perlu diletakkan di kerusi itu.
Parlimen Padang Serai yang dikategorikan pinggir bandar Kulim, menyaksikan 133,867 pengundi yang layak dengan 70 peratus daripadanya adalah Melayu, 15 peratus India dan 11 peratus Cina.
Sofee adalah ‘pemimpin lama’ PKR di Kedah dan pernah bertanding pada tahun 2014 di kerusi Kuala Ketil di kawasan pengundian Baling.
Beliau juga adalah seorang pengulas sosial dan menulis mengenai situasi politik semasa negara.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar menggesa orang ramai berkumpul di hadapan Kulim Central Mall bagi menyokong PH mengiktiraf sumbangan mendiang Karupaiya, di atas usaha bersungguh-sungguh beliau berkhidmat kepada pengundi.
Beliau berharap pengundi Padang Serai menolak pendekatan Perikatan Nasional (PN) yang cenderung berkempen dengan menyemai ekstremisme.
Memandangkan hari pengundian itu akan diadakan selepas keputusan PRU-15 diketahui dan menyaksikan Parlimen tergantung, pencalonan esok dijangka menarik bagi melihat siapa dipilih mewakili parti lawan untuk bertanding menentang Sofee.
Barisan Nasional (BN) dikatakan akan mengadakan kerjasama untuk membentuk pentadbiran menerusi Kerajaan Persekutuan, dengan bantuan rakan politiknya di Borneo. – The Vibes, 24 November 2022

.jpg)