web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Konsep Malaysian Malaysia: DAP Tempelak Pendirian PAS Hipokrasi Terang-Terangan

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Sep 2022 6:53PM

DAP menempelak kenyataan dua pemimpin tertinggi PAS berkenaan konsep Malaysian Malaysia menyifatkan pendirian mereka sebagai hipokrasi terang-terangan. - Gambar fail Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – DAP menempelak kenyataan dua pemimpin tertinggi PAS berkenaan konsep Malaysian Malaysia atau ‘Malaysia milik rakyat Malaysia’ dan menyifatkan pendirian mereka sebagai hipokrasi terang-terangan.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pemimpin PAS harus muhasabah diri kerana gelagat tersebut sudah jelas menggambarkan pendirian mereka yang tidak tetap dan menunggang agama.

“Kenyataan pemimpin PAS ini jelas sebuah hipokrasi terang-terangan. Mengapa demikian? Adakah PAS lupa bagaimana suatu ketika dahulu mereka ‘menghalalkan’ kerjasama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR)?

“Apabila sudah tidak bersama PR, berubah pula pendirian mereka. Masa bersama guna dalil agama, masa berpisah juga guna dalil. Gelagat PAS ini sudah jelas menggambarkan mereka tidak tetap pendirian dan menunggang agama. Mereka harus muhasabah diri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Getaran melaporkan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasim menegaskan, konsep Malaysian Malaysia ditolak parti terbabit kerana ia dilihat boleh mewujudkan ‘persamaan’ merugikan Islam.

Dakwanya, konsep tersebut akan menghakis keistimewaan dinikmati orang Melayu Islam selama ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menerusi laporan sama berkata, meskipun dasar Malaysian Malaysia tersebut dilihat ‘cantik’, ia tidak realistik dan tidak sesuai dengan Malaysia.

Menurutnya, ia kerana dari segi ekonomi sebagai contoh, orang bukan Islam sudah sedia lebih maju berbanding orang Melayu Islam.

Justeru, katanya, ‘persamaan’ tersebut dilihat akhirnya tidak akan berjaya.

Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri berkata, konsep Malaysian Malaysia bukanlah perkara baharu, malah ia selaras dan sesuai dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan masyarakat majmuk negara ini.

Menurut beliau, konsep tersebut tidak menyentuh kedudukan Raja atau istana, mahupun keistimewaan orang Melayu yang jelas dijamin Perlembagaan, malah mengukuhkan kesefahaman dan perpaduan rakyat segenap lapisan.

“Jika kita amati dasar dan slogan kerajaan sebelum ini seperti Satu Bangsa Satu Negara, 1Malaysia dan yang terbaru ialah dasar Keluarga Malaysia, semua slogan dan dasar ini bertujuan menyatukan rakyat. Begitu juga dengan dasar Malaysian Malaysia.

“Malah DAP konsisten memperjuangkan seluruh rakyat khususnya segmen masyarakat yang terpinggir dan tertindas. Mungkin kerana DAP tak pernah berubah pada dasar ini, maka pelbagai fitnah dan prasangka buruk ditabur. Rakyat disuap dengan fitnah diulang-ulang,” katanya.

Jelas beliau, DAP berjuang untuk semua kaum dan lantang mengkritik sistem yang menindas dan membela masyarakat terpinggir.

“Sebagai contoh semua hal ehwal masyarakat Orang Asli di Semenanjung perlu melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), tetapi kenapa ini tidak pula berlaku kepada kaum Bumiputra di Sabah dan Sarawak?

“Satu lagi contoh, anak-anak kaum lain, selain Melayu sukar memperoleh biasiswa atau memasuki institusi pengajian tinggi awam atau peluang bekerja dalam sektor awam. Bukankah lebih baik jika jurang ini dapat ditambah baik?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia memayungi seluruh rakyat yang taat dan setia, justeru golongan bukan Islam yang tidak mengkianati negara amat wajar serta berhak mendapat peluang tersebut.

Katanya, walaupun lebih 60 tahun UMNO memerintah, masih ramai orang Melayu ketinggalan dan miskin berbanding masyarakat bukan Melayu.

“Apa yang pasti, selain usahawan Melayu berjaya yang gigih, satu lagi kelompok Melayu kaya raya ialah pemimpin UMNO yang bergelumang dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Malah PAS yang merupakan musuh nombor satu UMNO kini bekerjasama.

“Mereka meraih kuasa dengan menabur fitnah dan benih kebencian kepada kaum lain. Mereka menggunakan helah, menarik simpati orang Melayu melalui pelbagai pelencongan fakta, antaranya menunggang isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) yang maksudnya pun mereka tak faham.

“Kita ambil contoh di mana rakyat Palestin ditekan dan ditindas, mereka berjuang menuntut pembebasan tanah, mereka bangkit melawan kezaliman serta diskriminasi. ICERD itulah mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam kenyataan PAS dan sekutunya yang mendakwa pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi kesan tidak baik kepada orang Melayu.

“Adakah mereka memejamkan mata terhadap apa yang kerajaan pimpinan mereka lakukan? Judi bertambah, pertandingan bina badan wanita pun wujud, di Kelantan tiada panggung wayang tapi di Kedah ada pula, semuanya bercelaru.

“Selain itu, indeks persepsi rasuah meningkat tahun 2019 pada tangga ke-51, tahun 2020 naik ke tangga 57. Pelaburan langsung asing FDI menurun dan eksport barangan buatan negara juga menurun.

“Bagi PAS, mengekalkan jawatan itu penting berbanding pelaksanaan dasar yang dilaung-laungkan dahulu,” katanya.

Konsep Malaysian Malaysia yang menjadi prinsip asas DAP, menunjukkan parti itu menolak ketuanan terhadap mana-mana kaum.

Ia turut membawa maksud DAP menolak dasar dan amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum, agama atau gender serta mengabaikan satu daripada kepentingan itu yang dianggap diskriminasi. – Getaran, 20 September 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 2 bulan yang lalu

Selepas KJ, Hishammuddin Juga Mahu Kembali Bersama UMNO - Asyraf Wajdi

2

Politik 5 bulan yang lalu

‘Nantikan Keputusan Mahkamah Projek Terowong Dasar Laut’, Mat Hasan Sindir DAP 

3

Semasa 1 tahun yang lalu

DAP Ketandusan Pemimpin India

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Pengganti Chow Kon Yeow Di Pulau Pinang Jadi Tanda Tanya

Sorotan

1

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

2

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

3

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

4

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

5

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

6

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

Disyorkan untuk anda

Politik 6 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

Luar Negara 1 hari yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran

Luar Negara 7 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka  Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 12 minit yang lalu

Tengkorak Manusia Ditemui Dalam Jaring Nelayan Di Perairan Johor

oleh Sophia Ahmad