Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Acap Kali Derhaka Kepada Raja, Benarkah PAS Pejuang Bangsa dan Agama?

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Jun 2022 8:00PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Di sebalik kisah penubuhannya sejak 70 tahun lalu itu, PAS cukup sinonim dengan agenda memperjuangkan Islam dan perpaduan ummah yang menjadi ‘slogan’ serta kata azimat sering dilaungkan parti berkenaan.

Agenda itu sememangnya ‘menyerap’ dalam minda kebanyakan rakyat apabila setiap kali melihat bendera atau mendengar nama PAS, perkara pertama terlintas di fikiran adalah ia sebuah parti Islam.

Sebagai sebuah parti Melayu Islam, pastinya PAS turut dilihat memiliki ciri atau ‘budi bahasa’ seperti diterapkan agama termasuk saling menghormati pihak lain, khususnya institusi beraja di Malaysia.

Bagaimanapun, sejak 13 tahun lalu, agenda tersebut ibarat tersasar daripada landasan perjuangannya apabila PAS seolah-olah sering mencetuskan kemelut antara parti itu dengan Raja Melayu.

2009 - Enggan Terima Titah Sultan Letak Jawatan

Polemik PAS dengan institusi berkenaan mula dilihat ketika krisis politik Perak sekitar tahun 2008, iaitu sewaktu parti itu masih bersama DAP dan PKR yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Ia susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP dan PKR mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas, sehingga menyaksikan kerajaan PR Perak tumbang.

Namun tanggal 6 Februari 2009, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menjadi Menteri Besar dari PAS bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tiba-tiba tanpa mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika itu.

Sultan Azlan Shah bukan sahaja tidak memperkenankannya, malah menitahkan Mohammad Nizar bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) meletakkan jawatan serta-merta atau kedudukan itu dianggap sudah dikosongkan jika mereka gagal berbuat demikian.

Mohammad Nizar Jamaluddin
Mohammad Nizar Jamaluddin

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan apabila Mohammad Nizar dilihat angkuh dengan titah Sultan selepas enggan melepaskan jawatan Menteri Besar, walaupun ia secara rasminya disandang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Mohammad Nizar dilaporkan berkata, beliau yakin masih secara sah memegang jawatan terbabit seperti termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Lucunya, ‘pasukan’ beliau turut meneruskan persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok hujan-hujan pada tahun 2009 yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara dan peristiwa itu tidak mungkin dilupakan rakyat, sehingga menggelarkannya ‘Kerajaan Bawah Pokok’.

“Kita tidak menolak titah Sultan tapi kita memohon kepada baginda untuk mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perak,” kata Mohammad Nizar.

2009 - Halang konvoi Raja Muda Hadir Angkat Sumpah Menteri Besar

Lebih menyedihkan, ketika majlis mengangkat sumpah jawatan Zambry sebagai Menteri Besar, lebih 2,000 penyokong PR mengadakan perhimpunan sebagai usaha menghalang acara itu yang berlangsung di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada 6 Februari.

Mereka bertindak biadap apabila kenderaan membawa Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dibaling objek, termasuk cuba dihalang beberapa individu yang berbaring di atas jalan.

Namun, selepas polis membuat tangkapan ke atas beberapa peserta perhimpunan itu, didapati ada antara mereka bukan anak jati Perak, selain seorang daripada kumpulan terbabit adalah rakyat Indonesia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menyelar tindakan pemimpin PAS terbabit dan menegaskan beliau perlu sedar bahawa orang Melayu mempunyai Raja dan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah negeri.

“Kedaulatan sesebuah negeri itu terletak kepada Raja-raja. Oleh itu, adalah wajar, wajib dan semestinya bagi kita patuh dan menjunjung tinggi titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja kita.

“Jadi, sewajarnya kita tidak mengingkarinya, jika tidak, kita akan ditafsirkan sebagai melanggar atau ingkar, sekali gus menderhaka kepada Raja,” katanya.

2009 - PAS Saman Sultan Perak

Tidak berpuas hati apabila jawatannya sebagai Menteri Besar diberhentikan, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang bertindak nekad menyaman Sultan Azlan Shah atas dakwaan baginda membelakangi Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Melalui peguamnya, Karpal Singh, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 10 Februari 2009 kerana pelantikan Zambry Abdul Kadir didakwa tidak sah, selain wujud dua Menteri Besar pada satu masa dan menimbulkan krisis Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata, Sultan Azlan Shah diberi kuasa melalui Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan harus mematuhinya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian pada 11 Mei 2009, memutuskan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar sah Perak selepas digugurkan daripada jawatan tersebut selama kira-kira tiga bulan.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim atas alasan Mohammad Nizar tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN, malah tiada undi tidak percaya diusulkan terhadapnya yang boleh menyebabkan beliau hilang kepercayaan majoriti ADUN mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selain pemecatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tidak disokong Perkara sama.

Bagaimanapun, selepas memulakan kembali tugasnya sebagai orang nombor satu kerajaan negeri itu, ia ditarik semula secara tiba-tiba apabila hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali meluluskan penangguhan pelaksanaan keputusan bagi mendengar rayuan Zambry dan permohonan Mohammad Nizar pada 21 Mei.

Keesokannya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar hujah mereka memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak sah, sekali gus mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas hujah Abdul Aziz terkhilaf dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti DUN.

Enggan mengalah, Mohammad Nizar pada 19 Jun 2009 memohon rayuan agar keputusan Mahkamah Rayuan itu dibatalkan.

Justeru, pada 5 November 2009, panel lima hakim, iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong bersidang di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar hujah daripada tiga pihak, iaitu Mohammad Nizar; Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan peguam, Datuk Cecil Abraham, sebelum menangguhkan keputusannya hingga ke tahun seterusnya.

Tanggal 9 Februari 2010, diumumkan bahawa Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Zambry adalah Menteri Besar Perak sah.

2020 - Wakil Rakyat PAS Batal Menghadap Sultan Perak

Tidak terhenti di situ, ‘penderhakaan’ PAS terhadap Istana berterusan ketika berlaku usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN pada penghujung 2020.

Berikutan krisis itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitahkan wakil daripada ADUN BERSATU dan PAS negeri untuk menghadap baginda berhubung kemelut politik berkenaan.

Bagaimanapun, tiga wakil rakyat PAS pada 8 Disember 2020 membatalkan rancangan untuk menghadap Sultan Perak yang sepatutnya berlangsung di Istana Kinta, Ipoh selepas menerima arahan daripada pucuk pimpinan parti.

Susulan itu, netizen di media sosial menyelar tindakan PAS dengan menyifatkan parti itu bertindak menderhakai Sultan Nazrin apabila tiga ADUN mereka membatalkan arahan terbabit pada saat akhir untuk mengadap baginda.

2021 - PAS Bohong Agong Perkenan Pembatalan Ordinan Darurat

Selain itu, hubungan PAS dan Istana dilihat keruh membabitkan isu Ordinan Darurat apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 26 Julai tahun lalu, mengesahkan ordinan tersebut sudah dibatalkan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sebaliknya Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita kerana apa diperkenan dan dititahkan baginda kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai tahun lalu supaya pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataannya bercanggah serta mengelirukan di Parlimen,” katanya.

Kenyataan Takiyuddin itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, khususnya orang Melayu serta UMNO dan menjadi antara punca tumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

2022 - Putar Belit Titah Sultan Selangor Berhubung Isu Bon Odori

Terbaharu, kemelut PAS tercetus pula dengan Istana berhubung isu festival kebudayaan Jepun, Bon Odori sejurus sesi menghadap pimpinan PAS negeri dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Situasi itu susulan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilaporkan berkata, kenyataan dikeluarkan Setiausaha PAS negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir, berhubung sesi menghadap itu seperti disiarkan di sebuah portal berita adalah tidak tepat.

Kenyataan itu membuktikan rupanya-rupanya PAS ‘memutar belit’ kononnya Sultan menitahkan umat Islam supaya tidak menghadiri Bon Odori.

Hakikatnya, Mohamad Munir menjelaskan, pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya menyatakan mengenai pendirian baginda tidak menyekat Bon Odori yang akan diadakan di Selangor pada 16 Julai ini kepada Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Katanya, Sultan Selangor juga menyatakan pandangan baginda bahawa Bon Odori hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Sultan Selangor berpandangan festival tersebut hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam,” katanya.

Keberanian PAS mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan menokok tambah cerita itu sangat mengejutkan kerana membabitkan titah Sultan.

Tetapi, ia mungkin sebagai tindakan terdesak parti itu selepas menerima amaran Sultan Selangor bahawa baginda tidak mahu pihak tertentu, terutama ahli politik, menggunakan isu berkaitan sensitiviti agama untuk kepentingan peribadi dan populariti.

Amaran itu dikeluarkan Sultan Sharafuddin selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad cuba menghalang umat Islam daripada menyertai Bon Odori memandangkan acara itu didakwa masih mempunyai unsur ritual Buddha.

‘Penipuan’ dibuat PAS berhubung titah Sultan Selangor itu yang turut dilihat sebagai usaha berterusan untuk menghalang umat Islam ke acara Bon Odori, menerima kecaman daripada rakyat kerana dianggap cuba melawan baginda dan tidak selari dengan agenda berteraskan agama kononnya didukung parti.

Justeru, PAS seharusnya bermuhasabah dan memperbaiki hubungan parti itu dengan pihak Istana jika mahu mendapatkan sokongan orang Melayu yang dikenali sebagai sebuah bangsa mendaulatkan sistem pemerintahan Beraja. - Getaran, 20 Jun 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 hari yang lalu

Pesta Songkran: ‘Dulu Haram, Sekarang Halal Pulak?’ - Netizen

2

Politik 1 bulan yang lalu

Ada Pihak Cuba Suburkan Sentimen Benci Raja, Mahu Malaysia Jadi Republik - Aktivis

3

Politik 2 bulan yang lalu

PAS Harus Terima Kenyataan, Pembatalan 16 Peruntukan EJSK Bukti Kelemahan DUN Kelantan

4

Politik 4 bulan yang lalu

AMANAH Perlu Pendekatan Baharu Bagi Tangani Strategi PAS

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Semasa 6 jam yang lalu

SPRM Sahkan Dr Mahathir Disiasat

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Helikopter: Kesemua Mangsa Diberikan Penghormatan Terakhir Ikut Istiadat TLDM

Semasa 19 jam yang lalu

Permohonan Pekebun Musang King Cabar Notis Kosongkan Tanah Ditolak

Luar Negara 1 hari yang lalu

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara