KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) sepakat menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (Melaka) Sabtu ini.
Keputusan tersebut diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media di ibu pejabat parti tersebut di sini hari ini.
“Jadi keputusan yang telah dicapai ialah untuk menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri daripada Perikatan Nasional,” katanya.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah merupakan calon PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Beliau akan berdepan saingan tiga penjuru dalam usaha merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu kali ini.
Turut bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hasan.
Terdahulu, BN menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri sekiranya parti tersebut diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada PRN Melaka.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan berkata pemilihan tersebut dilakukan berikutan Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka dan bebas daripada sebarang kontroversi. - Getaran, 18 November 2021

